Tuesday, June 19, 2012

KEDUDUKAN MIMPI MENURUT AL-QURAN DAN SUNNAH.


Perkara mengenai mimpi seringkali dibangkitkan dan merupakan perkara yang paling banyak menimbulkan rasa ingin tahu di kalangan kitani. Di dalam membincangkan peristiwa Isra’ Mi’raj perkara mimpi pun turut disebutkan terutama sekali dalam membincangkan adakah baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diisra’kan dalam keadaan jaga atau mimpi? Dan hal ani telah dibincangkan di keluaran yang lalu...

Pada menegakkan pendapat Aisyah yang mengatakan bahawa baginda diisra’kan dengan keadaan tidur (mimpi), pernah diberikan alasan dengan berhujjahkan firman Allah surah al-Isra’ ayat 60 ini:

وَإِذْ قُلْنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِالنَّاسِ وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلاَّ فِتْنَةً لِلنَّاسِ
وَالشَّجَرَةَ الْمَلْعُونَةَ فِي الْقُرْآنِ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلاَّ طُغْيَانًا كَبِيرًا (60)
Tafsirnya:
“Dan (ingatlah) ketika Kami mewahyukan kepadamu (wahai Nabi Muhammad):  “Sesungguhnya Tuhanmu (ilmu dan kekuasaanNya)meliputi sekalian manusia.” Dan Kami tidak menjadikan pandangan (pada malam Mi’raj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai ujian bagi manusia dan (demikian juga) pokok (zaqqum) yang dilaknat di dalam al-Quran. Dan Kami menakutkan mereka, namun yang demikian itu tidak menambah (ketakutan) kepada mereka melainkan (menambah) kederhakaan yang melampau.

Akan tetapi hujjah ini dibantah dengan firman Allah surah al-Isra’ ayat 1:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً...

Tafsirnya :
“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam...”

Jadi para al-Mufassirin (ahli tafsir) berpendapat, dengan mengatakan bahawa jika dalam keadaan tidur, tidak mungkin disebut perkataan “diperjalankan”. Selain itu, pandangan mata sering juga disebut ‘ar-Ru’ya’ (mimpi) sebagaimana yang dikemukakan oleh Ibnu ‘Abbas, yang mana pandangan mata itu apa yang diperlihatkan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada malam baginda “diperjalankan”.[1]

Apa makna ar-Ru’ya?
ar-Ru’ya bermakna suatu keadaan yang mulia dan mempunyai tingkatan yang tinggi. Hal ini dapat kitani fahami dari hadits baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Bukhari di dalam kitab beliau; ‘Shahih Bukhari’:

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: لَمْ يَبْقَ مِنْ النُّبُوَّةِ إِلاَّ الْمُبَشِّرَاتُ، قَالُوا وَمَا الْمُبَشِّرَاتُ قَالَ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ[2]

Maksudnya:
“Sesungguhnya Abu Hurairah berkata, aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak ada yang tersisa selepas kenabian kecuali khabar gembira”. Maka bertanya sahabat: “Apa dia khabar gembira itu?”, bersabda baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Mimpi yang baik”.

Dan disebutkan juga perkara mimpi ini di dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam  yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam ‘Shahih Muslim’:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: كَشَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ السِّتَارَةَ وَالنَّاسُ صُفُوفٌ خَلْفَ أَبِي بَكْرٍ فَقَالَ:
 أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّهُ لَمْ يَبْقَ مِنْ مُبَشِّرَاتِ النُّبُوَّةِ إِلاَّ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ يَرَاهَا الْمُسْلِمُ أَوْ تُرَى لَهُ أَلاَ وَإِنِّي نُهِيتُ أَنْ أَقْرَأَ الْقُرْآنَ رَاكِعًا أَوْ سَاجِدًا فَأَمَّا الرُّكُوعُ فَعَظِّمُوا فِيهِ الرَّبَّ عَزَّ وَجَلَّ وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا فِي الدُّعَاءِ فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ[3]

Maksudnya:
“Dari Ibnu ‘Abbas berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membuka tirai, lantas baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melihat orang ramai berbaris-baris di belakang Abu Bakar, maka baginda bersabda: “Hai sekalian manusia, sesungguhnya tidak terdapat lagi berita-berita gembira tentang kenabian kecuali mimpi yang baik, yang dialami oleh seorang muslim, atau diperlihatkan baginya (mimpi itu), dan sesungguhnya aku telah dilarang dari membaca al-Quran ketika rukuk dan sujud. Adapun ketika rukuk maka kamu agungkanlah Allah, dan ketika kamu bersujud bersungguh-sungguhlah (perbanyakkanlah) berdoa, sebenarnya doa kamu (pada ketika itu) akan diterima Allah.”

Adapun selain daripada perkara mimpi, hadits ini juga sebenarnya merupakan hujjah yang melarang kita untuk membaca ayat suci al-Quran ketika melakukan rukuk dan sujud serta saranan agar memperbanyakkan doa ketika melakukan sujud kerena sebahagian ulama berpendapat bahawa waktu kita bersujud itulah waktu kita paling dekat dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Kita perhatikan lagi hadits ini...

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ تَحَلَّمَ بِحُلْمٍ لَمْ يَرَهُ كُلِّفَ أَنْ يَعْقِدَ بَيْنَ شَعِيرَتَيْنِ وَلَنْ يَفْعَلَ وَمَنْ اسْتَمَعَ إِلَى حَدِيثِ قَوْمٍ وَهُمْ لَهُ كَارِهُونَ أَوْ يَفِرُّونَ مِنْهُ صُبَّ فِي أُذُنِهِ الآنُكُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَمَنْ صَوَّرَ صُورَةً عُذِّبَ وَكُلِّفَ أَنْ يَنْفُخَ فِيهَا وَلَيْسَ بِنَافِخٍ[4]


Maksudnya:
“Dari Ibnu 'Abbas, dari Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa menyatakan dia bermimpi padahal tidak, maka dia akan dibebani untuk menyatukan dua biji gandum padahal dia tak akan dapat melakukannya. Dan barangsiapa yang mencuri dengar pembicaraan suatu kaum padahal mereka tidak menyukai baginya (telah menyingkir untuk menghindarinya), maka akan dituang ke dalam telinganya cairan tembaga pada hari kiamat. Dan barangsiapa yang mengambar (melukis, menenun atau mengukir) maka dia akan disiksa dan dibebani untuk menghidupkannya padahal dia tidak akan mampu.”

Dengan hadits di atas, kitani perlu sedar dan menginsafi bahawa kitani sebagai umat Islam dilarang sama sekali berbuat dusta ke atas perkara-perkara yang berkaitan dengan mimpi. Termasuklah di sini hal yang kurang wajar seperti mereka-reka, mempersendakan atau mem’paibun’kan mimpi.

Jadi pada keseluruhannya, berdasarkan daripada hadits-hadits yang telah dibawakan itu tadi, dapatlah kitani fahami bahawa mimpi mempunyai nilai penting di dalam Islam. Ia banyak kali disebutkan di dalam al-Quran, contohnya seringkali disebutkan di dalam surah Yusuf, sebagaimana yang sering kitani dengar kisah hidup Nabi Allah Yusuf 'alaihissalam. Begitu juga banyak disebutkan di dalam hadits-hadits baginda Rasulullah Shallallhu 'alaihi wasallam antaranya sepertimana yang telah disebutkan tadi.

Oleh yang demikian, kitani perlu berhati-hati serta percaya bahawa mimpi ada yang benar dan dapat dipercayai... contohnya saja sebagaimana yang dinyatakan di awal-awal tadi, iaitu hadits dari Ibnu ‘Abbas berkenaan dengan mimpi baik seorang muslim. Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga telah membahagikan mimpi menjadi beberapa bahagian. Ini dapat diketahui berdasarkan hadits yang diriwayatkan dari Muhammad bin Sirin, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

عَنْ  مُحَمَّدُ بْنُ سِيرِينَ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُ:
 قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ تَكْذِبُ رُؤْيَا الْمُؤْمِنِ وَرُؤْيَا الْمُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ وَمَا كَانَ مِنْ النُّبُوَّةِ فَإِنَّهُ لاَ يَكْذِبُ 
قَالَ مُحَمَّدٌ وَأَنَا أَقُولُ هَذِهِ قَالَ وَكَانَ يُقَالُ: الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ حَدِيثُ النَّفْسِ وَتَخْوِيفُ الشَّيْطَانِ وَبُشْرَى مِنْ اللَّهِ فَمَنْ رَأَى شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلاَ يَقُصَّهُ عَلَى أَحَدٍ وَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ قَالَ وَكَانَ يُكْرَهُ الْغُلُّ فِي النَّوْمِ وَكَانَ يُعْجِبُهُمْ الْقَيْدُ وَيُقَالُ الْقَيْدُ ثَبَاتٌ فِي الدِّينِ[5]

Maksudnya :

“Dari Muhammad bin Sirin, sesungguhnya dia mendengar Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda : “Jika telah menghampiri zaman, mimpi seseorang yang beriman itu hampir-hampir tidak dusta dan mimpi seorang mukmin adalah juz dari 46 juz kenabian, dan sesungguhnya juz kenabian itu bukanlah dusta, Muhammad bin  Sirin berkata : “Dan beliau mengataka: “Mimpi ada tiga :

  1. Percakapan (bisikan) jiwa,
  2. dan bisikan setan (yang menakut-nakuti)
  3. dan kabar gembira dari Allah.

Maka barangsiapa bermimpi sesuatu yang dia benci janganlah menceritakannya pada seseorang dan hendaklah berdiri lalu melakukan sembahyang, Abu Hurairah berkata, “Dan beliau membenci al-Ghulu (mimpi tangan yang terikat di leher) ketika tidur dan mereka telah dikagumkan dengan perkara yang berkaitan (agama) dan dikatakan perkara yang berkaitan bererti ketetapan dalam agama.”

Jadi, janganlah kitani cuba memperkecilkan jika ada di antara kitani yang beria-ia membenarkan mimpi yang dialaminya kerana ulama berpendapat bahawa membenarkan mimpi yang dapat dipercaya adalah diperbolehkan dan mimpi itu mempunyai penafsiran atau maksud tersirat yang baik, dan mungkin ada yang tidak memerlukan penafsiran. Dalam mimpi yang baik, Allah memperlihatkan kuasaNya meliputi keindahan, rahmat, hidayah dan kelembutan yang mampu memberikan kegembiraan kepada mukmin yang bermimpi. Mengenai hal ini, ulama bersepakat dan tidak mengingkari akan mimpi yang benar kecuali dia seorang pendusta atau orang mu’tazilah.[6]

Adapun jenis mimpi yang pertama sepertimana yang dinyatakan di dalam hadits iaitu ‘Bisikan Jiwa’. Ia merupakan gambaran dari keinginannya atau pengaruh dari apa yang terjadi pada dirinya dalam hidupnya. Kebanyakan manusia bermimpikan sesuatu dalam tidurnya apa yang menjadi bisikan hatinya, apa yang memenuhi fikirannya atau apa yang berlaku pada dirinya ketika ia dalam keadaan terjaga, sehinggakan perkara tersebut terbawa-bawa ke dalam tidurnya.

Manakala jenis yang kedua iaitu gangguan dari syaitan yang bertujuan untuk menakut-nakutkan manusia. Hal ini terjadi karena syaitan dapat menggambarkan dalam tidur seseorang perkara yang menakutkan sehinggakan seseorang itu berada dalam kesedihan dan bermurungan.

Para ulama sebenarnya berbeza pendapat mengenai hakikat mimpi yang benar. Ada yang mengatakan, mimpi yang benar itu adalah mengetahui bahagian-bahagian tertentu yang tidak dihalang oleh apapun, contohnya mimpi itu datang ketika tidur yang nyenyak. Maka dari itu, kebanyakan mimpi yang benar itu terjadi di akhir malam kerana sedikitnya tidur, dan untuk itu Allah memberikan bagi orang yang memiliki mimpi yang benar pengetahuan, dan menjadikan apa yang dia lihat menjadi nyata dan difahami secara benar.



*MB-1*











[1] Tafsir al-Qurthubi, Ta’liq: Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, Takhrij: Mahmud Hamid Utsman, Pustaka Azzam -  Jakarta, 2008, Jld: 10, m.s: 519-520
[2]  صحيح البخارى، رقم: 6475، الباب: المبشرات،341/21
[3] صحيح المسلم، رقم: 738، الباب: النهى عن قرأة القرأن فى الركوع، 22/3
[4] صحيح البخارى، رقم: 6520، الباب: من كذب فى حلمه، 426/21
[5] صحيح البخارى، رقم: 3597، الباب: حديث الإسراء، 271/12
[6] Tafsir al-Qurthubi, Ta’liq: Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, Takhrij: Mahmud Hamid Utsman, Pustaka Azzam -  Jakarta, 2008, Jld: 9, m.s: 283

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan