Saturday, June 16, 2012

ISRA’ MI’RAJ RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM









Bulan Rejab adalah di antara bulan-bulan yang mulia dalam Islam. Dalam bulan ini telah mencatatkan satu sejarah penting bagi seluruh umat Islam iaitu berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada 27 Rejab. Oleh itu pada setiap menjelang hari tersebut, seluruh umat Islam meraikannya dengan rasa kesyukuran dan penuh kegembiraan bagi mengingati peristiwa yang menakjubkan dan luar biasa tersebut. Ini termasuklah juga negara kita Brunei Darussalam yang meraikannya pada setiap tahun dengan mengadakan pelbagai majlis ilmu dan keagamaan.



Dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj, terdapat beberapa hikmat yang boleh dijadikan pengajaran yang amat berguna sekali untuk umat Islam antaranya ialah :

Pertama :

Agar manusia sentiasa mewujudkan hubungan dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala, di kala senang dan susah. Ini kerana hanya Allah Subhanahu wa Ta'ala sahajalah yang mampu memberi pertolongan dan menghilangkan rasa kesedihan dan kesusahan dalam diri manusia. Sebagaimana kita lihat sejarah sebelum terjadinya Isra’ dan Mi’raj, baginda telah ditimpa musibah tetapi baginda tetap meneruskan dakwah dalam menyebarkan agama Islam. Ia memberi pengajaran kepada kita agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi ketika menerima ujian yang berupa musibah serta kepayahan dan sebagainya.

Kedua :

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu juga adalah untuk memperlihatkan akan kebesaran Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaanNya benar-benar tumbuh dalam jiwa manusia.

Ketiga :

Dalam perjalanan Isra’ dan Mi’raj, baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah dibawa melihat keadaan syurga dan neraka. Di dalam syurga baginda melihat kenikmatan yang bakal diperolehi oleh hamba-hamba Allah yang beriman. Manakala di dalam neraka pula baginda menyaksikan pelbagai bentuk penyeksaan yang amat dahsyat lagi mengerikan yang disediakan untuk orang-orang yang menlanggar perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala.


Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyaksikan banyak kejadian yang bakal diterima oleh manusia berdasarkan amal perbuatan yang dilakukan semasa hayat di dunia. Ada yang menerima kenikmatan di dalam syurga dan ada pula yang menerima penyeksaan di dalam neraka.


Adapun antara kenikmatan di dalam syurga yang diperlihatkan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah mengenai segolongan orang menanam benih padi, pada ketika itu juga ia akan membuahkan hasil dan kejadian itu akan berlaku secara berterusan. Itulah ganjaran yang bakal diperolehi oleh orang yang suka mengimpakkan (membelanjakan) harta bendanya di jalan Allah.



Selain itu Baginda juga tercium bau yang sangat harum dan Jibril menjelaskan bahawa itu adalah bau Mashitah yang telah rela mengorbankan diri demi mempertahankan aqidah dan keimanan terhadap Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Manakala di dalam neraka pula, baginda melihat banyak kejadian ngeri yang merupakan balasan bagi orang-orang yang membuat dosa, antaranya baginda melihat segolongan orang yang memukul-mukul kepala mereka sendiri sehingga hancur, akan tetapi selepas itu, kepala itu akan bercantum semula dan kembali seperti sediakala. Kemudian mereka memukul kepala lagi hingga hancur dan kejadian itu akan terus berlaku secara berulang-ulang. Azab tersebut adalah bagi orang yang suka melengah-lengahkan sembahyang sehingga habis waktu sembahyang.


Selain itu baginda juga menyaksikan segolongan lelaki dan wanita yang memotong satu potongan daging salah seorang daripada mereka, kemudian mereka meletakkan potongan daging tersebut pada mulut salah seorang daripada mereka itu dan berkata kepadanya, 'Makanlah sepertimana aku makan'. Itu adalah gambaran bagi orang yang mengumpat, pencela serta pengadu domba.




Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyaksikan banyak kejadian yang bakal diterima oleh manusia akibat dari perbuatan yang tidak mengikut dan mematuhi perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kalau direnungkan, semua kejadian yang telah diperlihatkan itu patut menjadi iktibar dan peringatan kepada kita supaya sentiasa berpegang kepada ajaran agama Islam. Tidak dinafikan kita tidak terlepas dari membuat kesilapan kerana itulah kita wajib bertaubat dan menginsafi apa jua perbuatan yang melanggar perintah Allah Subhanahu waTa'ala. Sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pengampun kepada hamba-hambaNya.


Oleh itu marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari gambaran-gambaran yang diperlihatkan di sepanjang peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu sebagai panduan dan pembimbing menuju kebaikan dan kesempurnaan, semoga dengan demikian kita selamat dari segala bencana dan malapetaka dunia dan selamat dari azab api neraka..



Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Israa' ayat 60:


وَإِذْ قُلْنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِالنَّاسِ وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلاَّ فِتْنَةً لِّلنَّاسِ وَالشَّجَرَةَ الْمَلْعُونَةَ فِي القُرْآنِ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلاَّ طُغْيَاناً كَبِيراً


Tafsirnya:

"Dan ingatlah tatkala Kami wahyukan kepadamu wahai Muhammad, bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia dengan ilmuNya dan KekuasaanNya dan tiadalah Kami menjadikan pandangan pada malam Mi’raj yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia dan demikian juga Kami jadikan pohon kayu yang dilaknat di dalam al-Quran dan Kami beri mereka takut dengan berbagai-bagai amaran maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau".


*MB-3*

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan