Tuesday, June 19, 2012

Sholat dalam peristiwa Isra' Mi'raj


Adapun salah satu pengajaran yang dapat kita ambil dari peristiwa Isra’ dan Mi’raj ialah pengajaran mengenai sholat dan mukjizat Isra’ dan Mi’raj. Apabila Mi’raj Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan jasad dan rohnya ke langit sebagat suatu mukjizat, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala menjadikan umat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam Mi’raj pada setiap hari sebanyak lima kali. Di mana roh dan hati mereka pergi menemui Allah bagi memastikan mereka bebas dari kekangan hawa nafsu dan menyaksikan keagungan Allah, kekuasaan serta keesaanNya sehingga mereka menjadi orang yang mulia di atas permukaan bumi ini.

Adapun kemuliaan yang diperolehi bukan dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan, tetapi dengan jalan kebaikan dan ketinggian, jalan kesucian dan kemuliaan serta jalan sholat. Dan tidaklah sholat itu sekadar pergerakan yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuah sekolah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup, hiruk-piruk dan kejahatannya.

Sholat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian.Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memfardhukan sholat ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya ia menjadi penghubung dengan hadrat-Nya, peringatan tentang keagungan-Nya dan tanda kesyukuran hamba-Nya atas nikmat yang dicurahkan-Nya.
Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila sholat dijadikan sebagai kepala ibadah. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan sholat secara sempurna dengan khusyuk dan merendahkan diri kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa sifat mendekatkan diri kepada-Nya.

Sesiapa yang telah mencapai mendekatkan diri kepada Allah, akan berasa takut kepada-Nya, bertakwa kepada-Nya, menunaikan perkara yang menjurus kepada keredaan-Nya, berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan bersyukur dengan nikmat-Nya.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala  dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23:
إِنَّ الْإِنْسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا (19) إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا (20) وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا (21) إِلَّا الْمُصَلِّينَ (22) الَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَاتِهِمْ دَائِمُونَ (23)
Tafsirnya: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil; Kecuali orang yang mengerjakan sholat, Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sholat mereka.
Seorang hamba yang memelihara sholatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada mendekatkan diri kepada Allah dalam kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara sholatnya dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Tuhannya

Wahai kaum Muslimin! Bertakwalah kalian kepada Allah dan peliharalah sholat serta tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan khusyuk. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikannya walaupun disebabkan kesejukan dan juga kesibukan pekerjaan. 

Bersungguh-sungguhlah sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan sholat Subuh pada waktunya tatkala kalian berseronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga bersungguh-sungguhlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan sholat Asar kerana terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan. Berhati-hatilah kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, kemewahan dan pekerjaan tidak menyibukkan kalian dari menunaikan sholat. 

Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, dalam surah al-Nur ayat 37 dan 38:
رِجَالٌ لَا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ (37) لِيَجْزِيَهُمُ اللَّهُ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا وَيَزِيدَهُمْ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ (38)
Tafsirnya:  Lelaki yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleg perniagaan atau berjualbeli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan sholat dan membayar zakat, mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya hati dan pandangan menjadi gusar. Agar Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan dan menambahi limpah kurniaan-Nya dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung (jumlahnya).
 
Banyak lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj terutamanya beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bagi menunjukkan kepada kita tentang ketinggian martabat Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam. Semoga kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga kita dapat menghayati hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa agung, Isra’ dan Mi’raj. Amin Ya Rabal Alamin.

*MB2*

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan