Thursday, April 23, 2020

JUJUR KEPADA ALLAH DAN RASULNYA


بسم الله الرحمن الرحيم


Jujur mempunyai pengertian yang besar dalam Islam. Sifat jujur sebahagian daripada iman. Mereka yang telah hilang sifat jujurnya adalah orang yang tipis imannya. Ini kerana jujur dan iman berjalan seiring. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang. Hayati pesanan Rasulullah akibat daripada sikap jujur dan berbohong menerusi sabda baginda diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dari Abdullah dia berkata, Rasulullah bersabda :
“Hendaklah kamu bersikap jujur, kerana kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan membawa kepada syurga. Seorang yang selalu jujur dan mencari kejujuran akan ditulis Allah sebagai orang yang jujur. Dan jauhilah sifat bohong, kerana pembohongan membawa kepada kejahatan, dan kejahatan membawa ke neraka. Orang yang selalu berbohong dan mencari-cari kebohongan akan ditulis oleh Allah sebagai pembohong”.
Orang yang jujur kepada Allah dan RasulNya merupakan orang yang benar-benar beriman. Ibadahnya tidak sedikit pun berbeza sama ada ibadah itu di hadapan orang ramai mahu pun ketika dikerjakan bersendirian. Orang yang jujur kepada Allah dan RasulNya juga akan merasa malu untuk melanggar perintah Allah dan RasulNya. Sepertimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, dari Abu Hurairah dia berkata, sabda Rasulullah :
“Hendaklah kamu beribadah kepada Allah seolah-seolah kamu melihatNya. Dan ingatlah sekiranya kamu tidak melihatNya, Dia Melihatmu”.

وَاللّهُ أَعْلَمْ بِالصّوَاب

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan