Wednesday, December 27, 2023

Shalawat Tafrijiyah



Salah satu bentuk sighah bacaan atau amalan bershalawat kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang disusun oleh para ulama’ yang bersumber ijtihad atau ilham dari Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah Shalawat Tafirijiyah.

Tafrijiyah (تفريجية) bermaksud “terbuka sehingga menjadi lapang” atau “penyelesai masalah”. Shalawat Tafrijiyah juga dikenali sebagai Shalawat al-Kamilah (الكاملة) yang bermakna “sempurna, penuh dan lengkap”, dan juga disebut Shalawat an-Nariyah (النارية) bermakna “terkupas”.

Shalawat Tafrijiyah merupakan salah satu daripada shalawat yang dibaca sebagai doa serta tawassul dalam beribadah. Shalawat Tafrijiyah ini sering dibaca dan diamalkan bagi memohon agar dipermudahkan segala urusan, dihindari dari segala kesempitan, memohon agar diberikan husnul khatimah dan dimakbulkan hajat.

Tawassul Dalam Shalawat Tafrijiyah

Menurut majoriti ulama’ Ahli Sunnah wal Jamaah, tawassul adalah sebahagian daripada ajaran agama yang disyariatkan berdasarkan dalil-dalil dari al-Qur’an, hadits-hadits dan amalan yang diwarisi dari para ulama’.  Tawassul berasal dari perkataan ‘wasilah’ bermaksud ‘perantara’. Maka tawassul bererti memohon terhasilnya manfaat atau terhindar mudharat dengan permohonan doa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui perantara atau wasilah dengan menyebut nama Nabi atau wali.

Telah disebutkan dalam sebuah hadits khusus mengenai tawassul, iaitu hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dalam kitabnya Jami’at-Tirmidzi dari ‘Uthman bin Hanif Radhiallahu ‘anhu, ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengajarkan doa ini:

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ

Maksudnya:

Ya Allah, sungguh aku memohon padaMu dan menghadap kepadaMu dengan (bertawassul pada) NabiMu Muhammad, Nabi yang membawa rahmat.

Melalui Shalawat Tafirjiyah ini, kita memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui berkat kemuliaan Baginda Shallallahu ‘alaihi wa sallam, seluruh ahli keluarga  dan para sahabatnya pada setiap detik, dan hembusan nafas bilangan setiap makhluk yang dicipta oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan disimpulkan dalam enam perkara:

        1.    Menghuraikan segala masalah yang terikat dan tersimpul.

        2.    Menyelesaikan segala kesukaran yang dihadapi.

        3.    Menunaikan segala hajat yang dipohon.

        4.    Menyampaikan segala impian dan cita-cita.

        5.    Memohon husnul khatimah pada akhir hayat.

    6.   Memohon rezeki yang melimpah ruah dari langit dengan turunnya hujan yang     

              menyuburkan tanah dan tanaman.

Faedah dan Kelebihan

Menurut Imam Jalaluddin as-Suyuthi Rahimahullah, terdapat 40 faedah shalawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di antara kebaikan pengamal Shalawat Tafrijiyah ini adalah:

    1.    Allah akan melenyapkan kesedihan, kesulitan serta bahaya yang menimpa dirinya.

   2.   Allah akan memudahkan segala urusan hidupnya.

 3.   Dipancarkan nur (cahaya) dalam hatinya dan juga ditinggikan martabatnya.

 4.   Suaranya didengari serta pandangan dan pendapatnya diterima ramai.

   5.   Dia dilindungi daripada segala bencana dan malapetaka.

   6.   Dia sentiasa dicintai oleh semua orang.

   7.   Segala yang dihajati akan dimakbulkan Allah.

   8.  Dimurahkan rezekinya, dijauhkan daripada kelaparan dan kemiskinan.

Berdasarkan penghuraian di atas, beberapa fadhilat dapat diperolehi bagi sesiapa yang membaca dan mengamalkan Shalawat Tafirjiyah ini, antaranya:

1.   Sesiapa yang mengamalkannya sebanyak 11 kali setiap hari, maka akan dilimpahkan rezeki yang luas, yang tidak putus-putus dan mencapai martabat yang tinggi.

2.  Sesiapa yang mengamalkannya setiap hari sebanyak 41 kali, 100 kali atau lebih , maka dia akan terhindar dari segala kesulitan, kesusahan dan kesedihan, dipermudahkan urusannya duniawi dan ukhrawi, hatinya akan disinari cahaya, darjatnya akan ditinggikan, keadaannya akan diperbaiki, rezekinya akan diluaskan, pintu-pintu kebaikan akan dibukakan, kata-katanya akan terlaksana, akan terjaga dari segala hal yang tidak dikehendaki, terhindar dari kefakiran, akan dicintai manusia dan sebagainya.

3.  Sesiapa yang mengamalkannya sebanyak 313 kali, maka akan tersingkap segala rahsia, dan dia dapat melihat apa yang diingininya dan tercapai permintaannya.

4.   Sesiapa yang mengamalkannya sebanyak 1,000 kali, maka ia akan mendapatkan anugerah yang tidak dapat disifatkan dengan suatu sifat apapun, yang tidak pernah dilihat oleh pandangan mata, tidak pernah terdengar oleh telinga, yang tidak dapat dibayangkan oleh manusia.

5. Sesiapa yang mengamalkannya sebanyak 4,444 kali, maka keinginannya akan tercapai dan permintaannya akan dikabulkan dengan segera sesuai dengan apa yang dimintanya.

6.  Shalawat Tafrijiyah yang lebih dikenali sebagai Shalawat an-Nariah di kalangan orang-orang Maghribi adalah merupakan shalawat yang terbukti mujarab untuk memohon hujan (istisqa’), atau menyembuhkan orang yang sakit, atau menghasilkan sesuatu yang diingini, atau menolak sesuatu yang menakutkan dengan cara berhimpun dalam satu majlis bagi membaca shalawat ini sebanyak 4,444 kali.

 Lafaz Shalawat Tafrijiyah



 Maksudnya:

Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu yang sempurna dan kesejahteraanMu yang penuh kepada  penghulu kami Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam. Semoga dengan berkat baginda semua kesulitan dapat dihilangkan, semua kesusahan dapat dilenyapkan, semua keperluan dapat dipenuhi, semua keinginan dan husnul khatimah dapat dicapai serta dicurahkan air hujan (rahmat) dengan berkat wajah (keperibadian) baginda yang mulia. Semoga rahmatMu dan kesejahteraanMu itu juga dilimpahkan kepada para keluarga dan sahabat baginda dalam setiap kerdipan mata (detik) dan hembusan nafas bahkan dengan sebanyak bilangan semua yang diketahui olehMu.

Petikan dari Majalah al-Huda, 2022

Saturday, December 02, 2023

AYAT AL-QUR'AN SYIFA' SEGALA PENYAKIT

 



Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Isra’ ayat 82:

“Dan Kami menurunkan daripada al-Qur’an suatu penawar (bagi penyakit rohani dan jasmani) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan al-Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim (orang-orang kafir) selain kerugian.”

Ayat ini menjelaskan bahawa ayat –ayat al-Qur’an itu mengandungi ubat dan rahmat bagi orang yag beriman. Syifa’ atau ubat yang terkandung dalam al-Qur’an al-Karim bersifat umum sama ada ia ubat bagi sakit rohani ataupun jasmani. Inilah penawar yang berkesan untuk umat Islam kerana al-Qur’an itu adalah kalam Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mengandungi kelebihan dan keagungan serta situasi kehidupan manusia di dunia mahupun di akhirat malah tidak datang kepadanya apa-apa pun kebatilan.

Al-Qur’an adalah umpama makanan bagi hati atau jiwa manusia. Penyakit-penyakit di dalam hati seperti kejahilan, kesombongan, perasaan riya’, hasad dengki dan sebagainya boleh disembuhkan dengan ayat al-Qur’an. Misalnya jika dihayati dan dibacakan dengan ayat-ayat yang menjelaskan tentang kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, kita akan insaf bahawa kita ini hanya hamba yang sangat kerdil di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maka kita akan tunduk dan sentiasa muhasabah diri demi memperbaiki lagi nilai-nilai akhlak yang mulia. Al-Qur’an akan menjadi penyembuh sekaligus menjadi rahmat yang membawa kita kepada keimanan, memberi hikmah dab melahirkan keinginan untuk mencari kebaikan.

Adapun di antara ayat al-Qur’an yang selalu dijadikan penawar adalah surah al-Fatihah yang mempunyai banyak fadhilat yang sangat besar,


antaranya sebagai ubat kepada segala penyakit dan penawar kepada racun. Begitu juga bacaan ayat-ayat yang lain seperti Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Naas

kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah mengubati orang yang sakit dan gila dengan surah-surah tersebut.Selain itu, surah-surah tersebut juga berperanan sebagai pelindung dan kubu pemelihara. Inilah yang selalu diamalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam setiap malam sebelum baginda tidur. 

Selain berubat dengan bacaan ayat-ayat al-Qur’an, makanan seperti kurma, air zamzam dan madu juga dipercayai mengandungi khasiat yang tinggi untuk kesihatan tubuh badan.

Sebagai umat Islam, kita hendaklah percaya dan yakin bahawa yang menyembuhkan segala penyakit itu hanyalah Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kita hendaklah berdoa dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan tidak bergantung selain daripadaNya. 

Tanpa dinafikan lagi, sebilangan orang berikhtiar menjumpai para ulama’ dan orang-orang yang alim untuk berubat, namun ada juga segelintir individu yang menjumpai bomoh 

yang menggunakan kaedah yang menyalahi syara’ seperti mengaburi bacaan ayat al-Qur’an pada permulaan sahaja tetapi disertai dengan kata-kata yang tidak difahami. Tidak kurang juga jampi-jampian yang memuja makhluk halus.

Begitu juga usaha untuk berubat itu termasuk melalui perubatan moden. Ubat-ubatan dan perjumpaan-perjumpaan doctor itu adalah sebagai satu medium usaha dan ikhtiar kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Menurut ramai sarjana perubatan dan juga ulama’ Islam, perubatan Islam tidak banyak bezanya dengan perubatan moden dari segi amalannya. Walau bagaimanapun, perkara besar yang membezakan di antara kedua-duanya adalah perubatan Islam berasaskan wahyu dan tauhid kepada Allah. Manakala perbuatan moden hanya berteraskan kepada sains semata-mata.

Oleh itu, dalam kita berusaha mencari penawar bagi mengubati dan merawat penyakit yang dihidapi, kita hendaklah juga mementingkan cara kita berubat iaitu hendaklah ubat atau penawar itu halal dan mengelakkan daripada syirik serta tidak melanggar batas dan syari’at Islam. Begitu juga dari segi pengkonsumnian ubat, di mana ia akan menjadi tidak bermanfaat jika dikonsumni dengan melebihi batas bahkan boleh menimbulkan penyakit lain yang memudharatkan tubuh badan.

Namun kesembuhan itu tergantung juga kepada izin Allah. Maka kita hendaklah  memperbanyakkan doa-doa dan mengamalkan ayat-ayat  dari al-Qur’an atau doa-doa tertentu sebagai jalan untuk sembuh daripada penyakit. Akan tetapi, sebahagian ulama’ berpendapat penyembuhan itu tidak akan berlaku kecuali bagi orang-orang yang beriman.

Walau apapun ujian yang melanda ingatlah bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala sentiasa bersama kita selagi kita ingat kepadaNya. Kita tidak pernah keseorangan dalam kehidupan ini  kerana Allah itu dekat dengan kita jika kita sentiasa mengingatiNya. Walau bagaimanapun orang yang membiarkan jiwanya terus menerus dalam kegelapan  adalah orang yang menganiaya dirinya sendiri kerana mereka tidak mahu mengubat jiwa dengan al-Qur’an.

Oleh yang demikian, kita hendaklah mensyukuri ni’mat kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan menjaga permakanan dan melakukan olahraga  yang seimbang supaya kita boleh terus meningkatkan amal ibadat kepadaNya.





Dipetik dari Majalah al-Huda, Terbitan Pusat Da'wah Islamiah.
Disediakan oleh: Dyg Qairunnisa binti Haji Jalil



Tuesday, October 31, 2023

QUDWAH DAN QIADAH TELADAN KEPIMPINAN

 



Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam surah ash-Shaff ayat 2-3

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفۡعَلُونَ كَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ

Terjemahan Makna Ayat :

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak lakukannya?

Sangat besar kebencian dan kemurkaan di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang kamu tidak lakukannya.

Menurut Islam tugas kepimpinan itu adalah merangkumi semua tugas bersepadu. Segala sesuatu yang dilaksanakan oleh pemimpin adalah sentiasa terikat dengan nilai-nilai yang ditentukan oleh Islam bagi menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Nilai-nilai utama yang ditentukan oleh Islam bagi menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat, ialah pemimpin itu mestilah taat kepada Allah dan mencontohi kepimpinan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaih wa sallam itu adalah contoh  pimpinan yang terbaik. Islam juga menghendaki seorang pemimipin itu berakhlak tinggi, berwibawa, sabar, tegas, bertanggungjawab, bijak merancang dan bijak melaksanakan tugas serta membuat apa yang dikatakannya.

Seorang pemimipin yang mempunyai dan mengamalkan nilai-nilai kepimpinan yang dihuraikan di atas sudah setentunya dapat memberi kesan dan contoh teladan yang posiitf kepada orang-orang bawahan atau orang-orang yang dipimpinnya akan mencontohi dan mengamalkan contoh kepimpinan itu dan menjadi penggerak utama dan aspirasi kepada mereka untuk bergerak maju dan menyumbangkan khidmat bakti mereka ke jalan yang diredhai Allah demi kepentingan bangsa, agama dan negara.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 44:

۞أَتَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبِرِّ وَتَنسَوۡنَ أَنفُسَكُمۡ وَأَنتُمۡ تَتۡلُونَ ٱلۡكِتَٰبَۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ

Terjemahan Makna Ayat:

Adakah patut kamu menyuruh orang lain supaya mengerjakan kebajikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca Kitab (Taurat). Maka tidakkah kamu menggunakan akal (untuk berfikir)?

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 21:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا 

Terjemahan Makna Ayat :

Demi sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kebahagiaan) hari Akhirat serta   banyak berzikir mengingat Allah.

Kepimpinan melalui teladan dengan sifat-sifat baginda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang mulia seperti amanah, siddiq (benar), tabligh dan fathanah amat mempengaruhi masyarakat. Sifat dan peribadi yang baik seseorang pemimpin itu akan dikenang sampai bila-bila oleh orang-orang yang di bawah pemimpinnya.Perkara makruf akan bertambah dan perkara yang munkar berkurangan dan semakin hilang.

Kejayaan sesebuah organisasi berkait rapat dengan kualiti kepimpinan ketua organisasi. Oleh itu, sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dalam sesebuah organisasi hendaklah membuat perubahan yang hasanah daripada mundur dan ke belakang menuju ke arah kecemerlangan dan maju jaya mengikut landasan yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

 

 

Wednesday, October 04, 2023

NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WA SALLAM PERINTIS USAHAWAN & PERNIAGAAN ISLAM


بسم الله الرحمن الرحيم

Kelahiran Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam merupakan peristiwa yang tiada bandingannya dalam Sejarah umat manusia kerana kehadiran baginda telah membuka zaman baru dalam Pembangunan peradaban dunia bahkan pembawa rahmat bagi sekalian makhluk di muka bumi ini.

Baginda merupakan contoh individu yang mempunyai potensi yang sangat besar sehinggakan seorang penulis Barat, Michael H.Hart menyatakan dalam bukunya yang bertajuk “100 Tokoh Individu Yang Paling Berpengaruh Di Dunia” telah meletakkan nama baginda pada kedudukan yang pertama di antara serratus tokoh yang disenaraikan. Ini kerana baginda merupakan satu-satunya manusia yang memiliki kejayaan yang paling hebat di dalam dua bidang sekali gus iaitu ukhrawi dan duniawi.

Kejayaan baginda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam sememangnya telah banyak dibahaskan oleh para Sejarah sama ada ahli Sejarah Islam mahupun Barat. Salah satu sisi kejayaan baginda adalah kegiatan baginda sebagai seorang pedagang (peniaga) namun kehidupan baginda sebagai pedagang (peniaga) ini kurang mendapat perhatian di kalangan ulama.

Sejarah Awal

Sejak zaman kanak-kanak hingga mencecah usia dewasa, baginda dikenali oleh Masyarakat sebagai seorang yang memiliki keperibadian yang luhur. Ketinggian akhlak baginda membuatkan bangsa Arab khususnya kaum Quraisy merasa kagum. Dalam catatan Sejarah telah menyebutkan bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam ketika berumur lapan tahun, baginda tinggal bersama bapa saudaranya Abu Thalib selepas kematian datuk dan ibunya. Abu Thalib merupakan ketua suku bani Hashim dan hidup dalam keadaan sederhana. Justeru, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam mula belajar hidup berdikari dengan mengembala kambing di padang pasir dan ketika berusia dua belas tahun, buat pertama kalinya baginda mengikut bapa saudaranya Abu Thalib yang merupakan seorang saudagar untuk berdagang ke Syam.

Apabila telah dewasa, baginda mula menjalankan perdagangan sendiri di Makkah kerana baginda sedar bahawa bapa saudara baginda mempunyai tanggungan lain dan menyara sebuah keluarga yang besar. Oleh itu, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan persendirian di Makkah dengan membeli barang-barang di sebuah pasar dan menjualnya kepada orang lain.

Sebenarnya baginda telah memulakan kerjaya bidang dalam perniagaan lebih awal berbanding perniagaan yang dijalankan baginda dengan modal daripada isteri baginda Saiyidatina Khadijah. Perkara ini telah disahkan oleh beberapa peristiwa yang berlaku yang menunjukkan bahawa baginda pernah menjalankan perniagaan secara perkongsian dengan beberapa orang peniaga sebelum terlibat dengan perniagaan Saiyidatina Khadijah.

Sejarah Perkembangan

Saiyidatina Khadijah merupakan seorang Wanita Makkah yang sanagt kaya dan menjalankan perniagaan beliau melalui wakil-wakil beliau dalam pelbagai bidang.Walaupun beliau mempunyai modal (harta) yang banyak tetapi tidak dapat mengusahakannya sendiri. Justeru itu, beliau memerlukan seseorang yang jujur dalam menjalankan perniagaannya dengan modal berkenaan. Ketika Abu Thalib mencadangkan  kepada beliau untuk menjadikan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai orang yang boleh dipercayai bagi menjalankan perniagaannya, cadangan  itu disambut baik oleh Saiyidatina Khadijah.

Beliau mendapat tahu baginda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam seorang yang rajin, sangat tekun bekerja, jujur, boleh dipercayai dan boleh membawa keuntungan.Baginda juga  diberikan gelaran al-Amin atau ash-Shiddiq yang bererti orang yang dipercayai dan bagi Masyarakat Kota Makkah, tidak ada orang yang boleh dipercayai lebih daripada baginda. Maka Saiyidatina Khadijah telah melantik baginda untuk menjalankan  beberapa perdagangan ke beberapa buah pasar di utara  dan Selatan Semenanjung Arab. Baginda dibayar melalui hasil perniagaan sebagai upah dan kadang kala dibayar atas dasar untung sebagai rakan perniagaan.

Pada usia 25 tahun, bermula dengan mengambil upah membawa barang dagangan Saiyidatina Khadijah ke pasar Habsyah, baginda juga melakukan banyak perjalanan perdagangan dengan modal beliau antaranya telah biasa melakukan perjalanan perniagaan ke Kota Safa, Mushaqqar dan Hijar yang terletak di Bahrain, Syam dan bahagian timur semenanjung Arab. Kesemua perjalanan baginda ke negara-negara jiran ini adalah semata-mata kerana perdagangan dan perniagaan.

Sebelum Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam berkahwin dengan Saiyidatina Khadijiah, baginda telah pergi berniaga ke Syam, Jurasalem, Yaman dan tempat-tempat lain sebagai wakil perdagangan dan berjaya mendapat keuntungan yang luar biasa untuk Saiyidatina Khadijah. Meskipun begitu, baginda tidak pernah menyalahgunakan walau satu sen pun dari keuntungan perniagaan berkenaan.

Semasa berniaga di Negeri Syam, baginda dibantu oleh orang suruhan Khadijah bernama Maisarah. Semasa berniaga, baginda menitik beratkan sifat AMANAH, SENTIASA BENAR, BIJAKSANA dan SOPAN. Kejujuran, kesopanan dan kebijaksanaan baginda membawa keuntungan yang besar. Pengalaman bersama baginda ini diceritakan oleh Maisarah kepada Saiyidatina Khadijah yang menyebabkan beliau semakin mengkagumi dan tertarik hati dengan baginda. Beliau kemudian menghantar wakil untuk membawa hasratnya untuk bernikah dengan baginda melalui Abu Thalib. Ketika itu baginda berusia 25 tahun manakala Saiyidatina Khadijah berusia 40 tahun. Rasululah Shallallahu ‘alaihi wa sallam tetap meneruskan perniagaan perdagangan baginda seperti biasa walaupun setelah berkahwin dengan Saiyidatina Khadijah tetapi kini baginda menjadi pengurus dan rakan perniagaan isteri baginda. Baginda telah menjelajah ke serata pasar dan pusat perdagangan yang diadakan dalam dan luar negeri seperti Yaman, Bahrain, Iraq dan Syam.


Namun ketika berusia lewat tiga puluhan, baginda lebih cenderung bertafakkur dan beribadat. Baginda sering ke Gua Hira (terletak di Jabal Nur) selama berhari-hari dan berminggu-minggu untuk tujuan demikian. Walau bagaimanapun baginda masih menjalankan urusan perniagaan sebelum dan selepas kerasulan baginda.

Kesimpulan

Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam merupakan ikon usahawan dan peniaga yang Berjaya. Perkara ini dapat dilihat melalui sirah kehidupan baginda iaitu sikap berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain serta  kecerdasan pemikiran dan kemuliaan sikap yang baginda miliki yang membawa kepada kemajuan perniagaan yang baginda telah usahakan.

Bermula dengan tidak mempunyai modal untuk menjalankan perniagaan sendiri, baginda berusaha berniaga kecil-kecilan dan bersendirian di Makkah. Baginda pernah menyertai pernigaan  secara perkongsian dan juga pernah menjadi pengurus perdagangan para pelabur berdasarkan pembahagian hasil. Akhirnya baginda telah Berjaya meletakkan diri baginda sebagai saudagar yang memiliki reputasi tinggi dengan penuh ketulusan dan telah mencipta nama di kalangan Masyarakat peniaga khususnya dan di kalangan kaum Quraisy amnya.

Sudah semestinya keperibadian baginda in menjadi contoh ikutan dan khususunya  bagi mereka yang bergiat dalam bidang perniagaan. Ini kerana berniaga merupakan pekerjaan yang mulia untuk mendapatkan sumber rezeki yang baik dan halal serta merupakan sunnah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam.  

Saturday, September 16, 2023

ADAB ULAMA’ MENGHORMATI GURU

 

بسم الله الرحمن الرحيم

Guru adalah pewaris ilmu dan pewaris ilmu ialah ulama’, sementara ulama’ pula adalah pewaris para nabi.

Imam at-Tirmidzi meriwayatkan Abu Umamah al-Bahili Radhiallahu ‘anhu telah berkata:

Kelebihan orang alim (ulama’) atas ahli ibadat adalah seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di antara kamu.  Kemudian Baginda bersabda lagi: “ Sesungguhnya para malaikat dan penduduk langit dan bumi sehinggakan semut dalam lubangnya berserta ikan berselawat (berdo’a) untuk orang-orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.”

(Terjemahan Makna Hadits Hasan Shahih Gharib Riwayat Imam at-Tirmidzi)

Dalam Islam, mengajarkan ilmu yang bermanfaat itu adalah suatu amalan yang dipandang tinggi dan sangat mulia.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah an-Nahl ayat 43 :

فَسۡئَلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

Terjemahan Makna Ayat:

“…Maka bertanyalah kepada orang-orang yang mempunyai pengetahuan (mengenai kitab-kitab Allah) jika benar kamu tidak mengetahui.”

 أَهۡلَ ٱلذِّكۡر bermaksud orang-orang yang mengetahui tentang Kitab-Kitab Allah. Ayat ini menjadi dalil bahawa orang-orang yang tidak mengetahui sesuatu perkara hendaklah bertany kepada orang-orang yang mengetahuinya.

Sesuai dengan ketinggian darjat dan martabat guru itu, maka tidak hairanlah bahawa para ulama’ sangat menghormati guru mereka. Di antara cara mereka memperlihatkan penghormatan mereka terhadap guru ialah:

1.      Mereka merendahkan diri terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru.

2.      Sentiasa meminta pandangan guru dalam setiap urusan mereka.

3.      Mentaati setiap arahan serta bimbingan guru.

4.      Sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan khidmat tersebut.

5.      Memandang guru dengan perasaan penuh hormat dan takzim serta mempercayai kesempurnaan keahlian dan kepakarannya dalam bidang perguruannya.

6.      Sentiasa mendampingi guru supaya mendapat berkat serta menjadikannya qudwah (ikutan).

7.      Tidak menggunakan ganti nama diri seperti ‘engkau’ dan ‘awak’ dan tidak memanggil atau meneriaki guru dari jauh. Mereka memanggil guru dengan gelaran yang penuh adab serta penghormatan misalnya : Syeikh, ustaz, cikgu dan sebagainya.

8.      Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah atau berlawan cakap dengan guru.

9.      Berterima kasih kepada guru atas segala tunjuk ajar serta bimbingannya terhadap segala kebajikan dan tegahan serta tegurannya.

10.  Jika mereka berhajat kepada guru di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga daripada tidur ataupun selesai daripada berehat.

11.  Memastikan diri mereka dalam keadaan yang sempurna dengan tubuh badan dan pakaian yang bersih.

12.  Mereka tidak meminta daripada guru untuk mengajar di waktu yang menyukarkan baginya. Begitu juga ketika guru itu sedang letih, dukacita, mengantuk dan sebagainya.

13.  Apabila mereka duduk di hadapan guru ketika belajar, mereka duduk dengan penuh tawadhu’, khusyu’ dan tenang. Memandang guru ketika dia bercakap dengan penuh perhatian. Sesungguhnya ulama-ulama salaf sangat memuliakan majlis-majlis ilmu. Mereka duduk diam dengan penuh rasa hormat dan takzim terhadap guru mereka dan tidak bercakap kecuali ketika menjawap soalan guru mereka.

14.  Mereka juga tidak menyandarkan tangan mahupun badan pada dinding dan seumpamanya ketika kehadiran guru dan tidak sekali-kali membelakanginya. Mereka juga mengurangkan percakapan tanpa keperluan dan tidak ketawa terbahak-bahak ketika kehadiran guru.

15.  Sentiasa menjaga sopan santun ketika bercakap dengan guru dan tidak menggunakan Bahasa yang boleh menyinggung perasaannya dan tidak memutus percakapannya apatah lagi di waktu guru sedang mengajar kecuali diizinkan untuk bercakap oleh guru tersebut.

16.  Mereka tidak malu bertanya jika ada kemusykilan mengenai sesuatu yang diajar dan apabila bertanya, mereka akan menjelaskan persoalan mereka itu dengan terang dan jelas.

17.  Jika guru mereka marah, maka merekalah yang akan terlebih dahulu meminta maaf.

18.  Mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah matinya atas jasa serta segala pengorbanan yang telah dicurahkannya kerana jasa-jasa pewaris para nabi yang tidak ternilai ini tidak akan dapat dibalas.

(Petikan dari buku Irsyad Hukum, 2006, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri).