gambar asal diambil dr http://syukran.wordpress.com |
“Psst psst… Eh bukan jua ah! Jua ganya kan
bercerita… si anu atu bah, yang sumbing bibirnya…”
Umpatan… ani tah yang selalu berlaku di mana sahaja dan
dilakukan oleh siapa sahaja. Bukan saja oleh kaum Hawa, bahkan juga oleh kaum Adam. Bukan saja bagi yang muda, bahkan turut dilakukan oleh yang tua. Perbuatan
mengumpat boleh saja dilakukan dengan terang-terangan yakni dengan kata-kata
yang cukup jelas dalam perbualan atau secara sindiran, bahkan ia juga boleh dilakukan secara diam iaitu dengan cara meniru perbuatan dan isyarat anggota tubuh badan. Hatta umpatan juga boleh berlaku
dengan hasil penulisan contohnya menyebut keburukan seseorang sehingga dapat
dibaca oleh orang lain dan kejadian seperti ini lazim berlaku di media-media
cetak contohnya suratkhabar atau majalah dan sebahagianya berlaku melalui kaedah penyiaran
(online) seperti facebook.
Walaupun pada zahirnya ia tidak kelihatan
seperti mengumpat, akan tetapi para ulama berpendapat bahawa kaedah mengumpat
ini luas dan termasuk jua perbuatan mengumpat iaitu dengan cara menyebut bahagian
badannya (tempang, botak), agamanya (fasiq, derhaka, khianat), sifatnya (tidak
beradab, pentingkan diri), yang berhubung dengan isteri/suaminya, ibubapanya
atau keluarganya, akhlaknya (buruk perangai, sombong, keras hati, suka
merunggut), yang berhubung dengan pakaiannya (ketinggalan zaman, hapak, lusuh)
dan lain-lain perkara yang dapat kitani kiaskan daripada penerangan ini.
Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam apabila
ditanyakan apa yang dimaksudkan dengan ‘ghibah’
atau mengumpat ini, baginda menjelaskan di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh
Abu Hurairah Radhiallahu ‘anh:
أَنَّ
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ
قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ
قِيلَ أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ قَالَ إِنْ كَانَ فِيهِ مَا
تَقُولُ فَقَدْ اغْتَبْتَهُ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ
Maksudnya:
Bahawasanya Rasulullah Shallallhu ‘alaihi
wasallam bersabda: “Apakah kamu tahu apa dia ‘ghibah’?”
Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasulnya
lebih mengetahui”
Baginda bersabda: “Menyebutkan engkau akan
sesuatu yang tidak disenangi atau disukai oleh saudaramu mengenai dirinya”
Kemudian baginda ditanya, “Bagaimana jika yang
ku sebut itu memang benar ada padanya?”
Baginda menjawab: “Jika apa yang kau ucapkan itu
memang ada padanya bererti kau telah mengumpatnya. Jika apa yang kau sebut itu
tida benar ada padanya bererti kau telah mengada-adakannya (memfitnah)”
(صحيح مسلم، الباب: تحريم الغيبة، الجزء: 12، الصفحة: 476)
Dari apa yang telah dinukilkan oleh baginda Rasulullah
Shallallhu ‘alaihi wasallam, itulah pengertian ‘ghibah’ yang sebenar. Jadi, apa
saja perkara yang disebutkan sebagaimana antaranya telah dijelaskan di atas,
apabila ianya tidak disukai atau boleh menyinggung perasaan apabila didengar
oleh saudara muslim tersebut, maka adalah ia termasuk dalam perbuatan mengumpat.
Hukum haram perbuatan mengumpat ini adalah
menurut ijma’ ulama dan dalilnya jelas telah dinyatakan di dalam al-Quran,
firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ
الظَّنِّ إِثْمٌ وَلاَ تَجَسَّسُوا وَلاَ
يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا
أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ
وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ
Tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah
kebanyakkan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan
itu adalah berdosa. Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan
keaiban orang. Janganlah janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang
lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah
mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh
itu patuhilah larangan tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah.
Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”
(al-Hujurat : 12)
وَيْلٌ
لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ
Tafsirnya:
“Kecelakaan besar bagi setiap pengumpat lagi pengkeji”
(al-Humazah : 1)
Perbuatan mengumpat bukanlah perkara yang boleh
dipandang remeh atau ringan di dalam Islam. Hal ini adalah berikutan dari apa
yang telah disebutkan oleh Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam di dalam
hadits baginda yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anh:
قُلْتُ
لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَسْبُكَ مِنْ صَفِيَّةَ كَذَا وَكَذَا قَالَ
غَيْرُ مُسَدَّدٍ تَعْنِي قَصِيرَةً فَقَالَ لَقَدْ قُلْتِ كَلِمَةً لَوْ مُزِجَتْ
بِمَاءِ الْبَحْرِ لَمَزَجَتْهُ قَالَتْ وَحَكَيْتُ لَهُ إِنْسَانًا فَقَالَ مَا
أُحِبُّ أَنِّي حَكَيْتُ إِنْسَانًا وَأَنَّ لِي كَذَا وَكَذَا
Maksudnya:
“Aku berkata kepada Rasulullah Shallallhu
‘alaihi wasallam: “Cukuplah engkau katakan kepada Shaffiyah begini… begini.”
Sebahagian perawi hadis ini mengatakan: -yang
dimaksudkan ‘Aisyah, ia pendek-
Nabi Shallallhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya
kamu telah mengucapkan suatu kalimat yang sekiranya dimasukkan ke air laut, ia
sanggup merubahnya.”
‘Aisyah berkata lagi: “Kepada Nabi Shallallhu ‘alaihi wasallam pernah kuceritakan tentang seseorang. Nabi Shallallhu ‘alaihi
wasallam bersabda: “Aku tidak suka kepadaku diceritakan tentang seseorang dan
sesungguhnya aku begini dan begini.”
(سنن أبى داود، الباب: فى الغيبة، الجزء: 13، الصفحة: 19)
Adapun maksud ‘sekiranya dimasukkan ke air
laut, ia sanggup merubahnya’ adalah kerana dahsyat dan busuknya ‘ghibah’ yang
amat hina di sisi Allah. Hadis ini merupakan peringatan yang besar tentang
ghibah dan akibatnya. Dan kedahsyatan buruknya perbuatan ‘ghibah’ ini mengikut
pendapat Imam Nawawi bahawa beliau belum pernah menemui hadits yang sangat
mencela tentang sesuatu sehinggakan demikian kerasnya, padahal Allah Subhanahu
wa Ta’ala berfirman:
وَمَا
يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى﴿3﴾إِنْ
هُوَ إلاَّ وَحْيٌ يُوحَى﴿4﴾
Tafsirnya:
“Dia (Muhammad) tidak memperkatakan sesuatu
(yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan hawa nafsunya. Segala yang
diperkatakannya itu hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.”
(an-Najm : 3-4)
Kesimpulannya, tiap-tiap ungkapan bagi sesuatu yang dapat diertikan sebagai kekurangan pada diri saudara muslim yang lain adalah 'ghibah' (umpatan) yang diharamkan dan wajib dijauhi. Selain daripada itu, ia juga merupakan riba yang paling besar sepertimana yang disebutkan oleh baginda Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan dari Sa'id bin Zaid:
عَنْ
النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ مِنْ أَرْبَى
الرِّبَا الإِسْتِطَالَةَ فِي عِرْضِ الْمُسْلِمِ
بِغَيْرِ حَقٍّ
Maksudnya:
“Daripada Rasulullah Shallallhu ‘alaihi
wasallam bersabda: “Sesungguhnya riba yang paling besar ialah memperdengarkan
(membicarakan sehingga didengar orang) tentang peribadi seorang muslim yang
bukan menjadi haknya.”
(سنن أبى داود، الباب: فى الغيبة، الجزء: 13، الصفحة: 20)
MB-1
Bismillah: As-Salamu 'Alakum. Terimakasih. Al-hamdulillah.
ReplyDeletewa'alaikumussalam wa rahmatullahi wa barakatuh..
ReplyDelete