Tuesday, June 05, 2012

BUKAN SEKADAR CERITA



gambar asal diambil dr http://syukran.wordpress.com

“Psst psst… Eh bukan jua ah! Jua ganya kan bercerita… si anu atu bah, yang sumbing bibirnya…”

Umpatan… ani tah yang selalu berlaku di mana sahaja dan dilakukan oleh siapa sahaja. Bukan saja oleh kaum Hawa, bahkan juga oleh kaum Adam. Bukan saja bagi yang muda, bahkan turut dilakukan oleh yang tua. Perbuatan mengumpat boleh saja dilakukan dengan terang-terangan yakni dengan kata-kata yang cukup jelas dalam perbualan atau secara sindiran, bahkan ia juga boleh dilakukan secara diam iaitu dengan cara meniru perbuatan dan isyarat anggota tubuh badan. Hatta umpatan juga boleh berlaku dengan hasil penulisan contohnya menyebut keburukan seseorang sehingga dapat dibaca oleh orang lain dan kejadian seperti ini lazim berlaku di media-media cetak contohnya suratkhabar atau majalah dan sebahagianya berlaku melalui kaedah penyiaran (online) seperti facebook.

Walaupun pada zahirnya ia tidak kelihatan seperti mengumpat, akan tetapi para ulama berpendapat bahawa kaedah mengumpat ini luas dan termasuk jua perbuatan mengumpat iaitu dengan cara menyebut bahagian badannya (tempang, botak), agamanya (fasiq, derhaka, khianat), sifatnya (tidak beradab, pentingkan diri), yang berhubung dengan isteri/suaminya, ibubapanya atau keluarganya, akhlaknya (buruk perangai, sombong, keras hati, suka merunggut), yang berhubung dengan pakaiannya (ketinggalan zaman, hapak, lusuh) dan lain-lain perkara yang dapat kitani kiaskan daripada penerangan ini.

Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam apabila ditanyakan apa yang dimaksudkan dengan  ‘ghibah’ atau mengumpat ini, baginda menjelaskan di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anh:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ قِيلَ أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ قَالَ إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ اغْتَبْتَهُ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ
Maksudnya:
Bahawasanya Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apakah kamu tahu apa dia ‘ghibah’?”
Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasulnya lebih mengetahui”
Baginda bersabda: “Menyebutkan engkau akan sesuatu yang tidak disenangi atau disukai oleh saudaramu mengenai dirinya”
Kemudian baginda ditanya, “Bagaimana jika yang ku sebut itu memang benar ada padanya?”
Baginda menjawab: “Jika apa yang kau ucapkan itu memang ada padanya bererti kau telah mengumpatnya. Jika apa yang kau sebut itu tida benar ada padanya bererti kau telah mengada-adakannya (memfitnah)”
(صحيح مسلم، الباب: تحريم الغيبة، الجزء: 12، الصفحة: 476)

Dari apa yang telah dinukilkan oleh baginda Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam, itulah pengertian ‘ghibah’ yang sebenar. Jadi, apa saja perkara yang disebutkan sebagaimana antaranya telah dijelaskan di atas, apabila ianya tidak disukai atau boleh menyinggung perasaan apabila didengar oleh saudara muslim tersebut, maka adalah ia termasuk dalam perbuatan mengumpat.

Hukum haram perbuatan mengumpat ini adalah menurut ijma’ ulama dan dalilnya jelas telah dinyatakan di dalam al-Quran, firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلاَ تَجَسَّسُوا وَلاَ يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ
Tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah berdosa. Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Janganlah janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu patuhilah larangan tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”
(al-Hujurat : 12)
وَيْلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ
Tafsirnya:
“Kecelakaan besar bagi setiap pengumpat lagi pengkeji”
(al-Humazah : 1)

Perbuatan mengumpat bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh atau ringan di dalam Islam. Hal ini adalah berikutan dari apa yang telah disebutkan oleh Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam di dalam hadits baginda yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anh:

قُلْتُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَسْبُكَ مِنْ صَفِيَّةَ كَذَا وَكَذَا قَالَ غَيْرُ مُسَدَّدٍ تَعْنِي قَصِيرَةً فَقَالَ لَقَدْ قُلْتِ كَلِمَةً لَوْ مُزِجَتْ بِمَاءِ الْبَحْرِ لَمَزَجَتْهُ قَالَتْ وَحَكَيْتُ لَهُ إِنْسَانًا فَقَالَ مَا أُحِبُّ أَنِّي حَكَيْتُ إِنْسَانًا وَأَنَّ لِي كَذَا وَكَذَا
Maksudnya:
“Aku berkata kepada Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam: “Cukuplah engkau katakan kepada Shaffiyah begini… begini.”
Sebahagian perawi hadis ini mengatakan: -yang dimaksudkan ‘Aisyah, ia pendek-
Nabi Shallallhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya kamu telah mengucapkan suatu kalimat yang sekiranya dimasukkan ke air laut, ia sanggup merubahnya.”
‘Aisyah berkata lagi: “Kepada Nabi Shallallhu ‘alaihi wasallam pernah kuceritakan tentang seseorang. Nabi Shallallhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku tidak suka kepadaku diceritakan tentang seseorang dan sesungguhnya aku begini dan begini.”

(سنن أبى داود، الباب: فى الغيبة، الجزء: 13، الصفحة: 19)

Adapun maksud ‘sekiranya dimasukkan ke air laut, ia sanggup merubahnya’ adalah kerana dahsyat dan busuknya ‘ghibah’ yang amat hina di sisi Allah. Hadis ini merupakan peringatan yang besar tentang ghibah dan akibatnya. Dan kedahsyatan buruknya perbuatan ‘ghibah’ ini mengikut pendapat Imam Nawawi bahawa beliau belum pernah menemui hadits yang sangat mencela tentang sesuatu sehinggakan demikian kerasnya, padahal Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى﴿3﴾إِنْ هُوَ إلاَّ وَحْيٌ يُوحَى﴿4﴾
Tafsirnya:
“Dia (Muhammad) tidak memperkatakan sesuatu (yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan hawa nafsunya. Segala yang diperkatakannya itu hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.”
(an-Najm : 3-4)

Kesimpulannya, tiap-tiap ungkapan bagi sesuatu yang dapat diertikan sebagai kekurangan pada diri saudara muslim yang lain adalah 'ghibah' (umpatan) yang diharamkan dan wajib dijauhi. Selain daripada itu, ia juga merupakan riba yang paling besar sepertimana yang disebutkan oleh baginda Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan dari Sa'id bin Zaid:
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ مِنْ أَرْبَى الرِّبَا الإِسْتِطَالَةَ فِي عِرْضِ الْمُسْلِمِ بِغَيْرِ حَقٍّ

Maksudnya:
“Daripada Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya riba yang paling besar ialah memperdengarkan (membicarakan sehingga didengar orang) tentang peribadi seorang muslim yang bukan menjadi haknya.”
(سنن أبى داود، الباب: فى الغيبة، الجزء: 13، الصفحة: 20)

MB-1

2 comments:

  1. Bismillah: As-Salamu 'Alakum. Terimakasih. Al-hamdulillah.

    ReplyDelete
  2. wa'alaikumussalam wa rahmatullahi wa barakatuh..

    ReplyDelete

Silakan untuk sebarang pertanyaan