Monday, December 09, 2013

ADAB BERSUKAN



Sambungan dari Part 2…
ADAB BERSUKAN – (PART 3)

·         - Sukan yang tidak melalaikan.

Gaya hidup manusia yang rata-rata sibuk dengan pelbagai urusan dan tertekan oleh keadaan sekeliling membuatkan aktiviti sukan sebagai penghibur dan pelepas kekusutan yang digemari pada masa kini. Oleh itu ianya mestilah dibatasi agar tidak melalaikan dan boleh menyebabkan meninggalkan kewajipan atau tanggungjawab dan ianya hendaklah selaras dengan hokum syara’.
Firman Allah Subhanahau waTa’ala dalam Surah adz-Dzaariyaat ayat 56:

 وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Tafsirnya:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Ayat diatas menunjukkan bahawa keutamaan kita hidup di dunia ini ialah untuk beramal ibadat kepada Allah dan untuk mendapat keredhaanNya. Manakala mengambil perkara-perkara yang menghiburkan hati hanyalah sebagai sampingan sahaja, maka jika kita terlalu leka dengan hiburan seperti bersukan dengan melampaui batas ianya adalah dihukumkan haram begitu juga sekiranya sukan yang diikuti itu akan menyebabkan seseorang itu lalai hingga mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarga maka dalam situasi mengikuti sukan begini adalah haram kerana setiap tanggungjawab itu akan dipertikaikan di akhirat kelak. Ini dijelaskan dalam hadits riwayat Imam at-Tirmidzi, daripada Anas Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

اِنَّ اللهَ سَائِلُ كُلَّ رَاع عَمَّا اسْتَرْعَاهُ احْفَظَ أَمْ ضَيَّعَ

Maksudnya:

Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah dia telah memeliharanya atau mensia-siakannya.

      
      
      - Sukan yang mendatangkan manfaat.

Sebaiknya sukan yang dilakukan ada mendatangkan manfaat sama ada kepada individu itu sendiri khasnya dan kepada masyarakat atau pada Negara amnya.

Sebagai seorang insan yang dikurniakan akal fikiran, sudah setentunya setiap perkara yang hendak dilakukan akan dipertikaikan terlebih dahulu sama ada ianya bermanfaat atau tidak. Begitu juga halnya dalam bersukan, seseorang itu haruslah memikirkan apakah manfaat yang bakal diterimanya jika melakukan sukan tersebut, misalnya seseorang mengikuti lumba lari atau bermain bola sepak untuk meningkatkan stamina atau menjaga kesihatan tubuh badannya.

Oleh itu Islam amat menekankan agar adab-adab Islam dipatuhi dalam aktiviti bersukan. Sekiranya kita menghendaki aktiviti sukan sebagai satu ibadah yang diterima Allah Subhanahu waTa’ala hendaklah kita memperbetulkan niat iaitu bersukan dalam suasana yang dibolehkan dalam syariat Islam dan untuk menjaga kesihatan tubuh badan.

Monday, December 02, 2013

MENGAPA MESTI MAKANAN YANG HALAL?




Makanan bukanlah sekadar untuk mengisi perut, bahkan mempunyai ikatan dengan ibadat serta memberi kesan kepada peribadi manusia. Sebab itulah umat Islam diwajibkan untuk memastikan setiap makanan yang dipilihnya adalah dari sumber yang bersih dan halal. Hanya makanan yang halal sahaja akan menimbulkan rasa syukur dan ketaqwaan dalam diri seorang.

Selain itu, memakan makanan dan minuman yang halal, suci dan tiada najis adalah salah satu syarat agar doa dimakbulkan. Doa yang diterima adalah doa daripada jasad yang beriman, yang mana jasad itu diselimuti daging yang tumbuh daripada makanan yang halal. Dalam sebuah hadits ada menyebutkan bahawa baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

عن ابن عباس قال : تليت هذه الآية عند رسول الله صلى الله عليه وسلم : يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا[1]. فقام سعد بن أبي وقاص ، فقال : يا رسول الله ، ادع الله أن يجعلني مستجاب الدعوة ،
فقال له النبي صلى الله عليه وسلم : «يا سعد أطب مطعمك تكن مستجاب الدعوة...»

Maksudnya:
Dari Ibnu ‘Abbas berkata: Aku telah membaca ayat ini ketika berada di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”. (al-Baqarah 168) Maka berdiri Sa’ad bin Abi Waqqas, maka bertanya: “Ya Rasulullah,
doakan saya kepada Allah agar doa saya terkabul.” Rasulullah menjawab: “Wahai Sa’ad, perbaikilah makananmu, maka doamu akan terkabulkan...”[2] (Riwayat at-Thabrani).

Makanan yang halal lagi berzat amat penting dan mempunyai kesan kepada minda kerana saripati makanan bukan sahaja tunjangan utama pembentukkan otat dan daging, malahan kuasa minda. Minda, rohani dan peribadi manusia akan terbentuk sesuai dengan kesucian atau kekotoran bahan baik, halal dan suci menurut peraturan syara’ akan membentuk keperibadian yang mulia berasaskan kehidupan Islam.

Sebagai contoh ialah Imam Syafié rahimahullah, salah seorang imam besar yang terkenal dengan kepintaran, kekuatan hafalan dan mampu menghafaz al-Qur’an sejak berusia sembilan tahun. Dalam satu riwayat menceritakan bahawa beliau pernah mengalami masalah dalam menghafaz pelajarannya. Apabila beliau menceritakan kepada gurunya Syeikh Waqi’ mengenai masalah ingatannya, Syeikh Waqi’ menasihatkan agar beliau memastikan kehalalan makanannya. Imam Syafi’e kemudian bertanya kepada ibunya, adakah makanan yang diberikan kepadanya berkemungkinan termasuk yang haram. Ibunya dengan yakin mengatakan tidak ada yang haram bahkan semuanya yang baik-baik dan halal belaka. Bagaimanapun setelah disiasat, beliau mendapati susu yang telah diminumnya datang daripada seekor kambing yang makan tanaman orang lain. Perkara ini sedikit sebanyak telah memberikan kesan yang negatif kepada beliau.

Begitulah besarnya kesan makanan kepada kesihatan dan kecerdasan seseorang. Umat Islam seharusnya sedear dan peka dengan setiap rezeki yang mereka nikmati. Baik rezeki itu berupa makanan atau wang, hendaklah dipastikan kehalalannya terlebih dahulu jika mereka menginginkan  kesihatan yang baik, kemuliaan akhlak dan tahap keintelektualan yang tinggi bagi diri sendiri, keleuarga dan anak bangsa mereka.




[1]  البقرة: 168
[2] المعجم الأوسط للطبرانى، الباب:  باب الميم من اسمه: محمد، الجزء: 14، الصفخة: 261

ADAB BERSUKAN



Sambungan dari Part 1…


Adab Bersukan – (PART 2)

Menutup aurat:

Menutup aurat bukan hanya diwajibkan didalam waktu sembahyang shaja tetapi ianya dituntut dimana sahaja selagi berada ditempat terbuka atau berada dihadapan ajnabi, lelaki atau perempuan yang halal dinikahi.
Firman Allah Subhanahu waTa’ala dlm surah al-Ahzaab ayat 59:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Tafsirnya:

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Ayat tersebut menunjukkan akan pentingnya menutup aurat apatah lagi pada zaman sekarang, pengaruh dan gejala negatif semakin berleluasa. Dengan itu, adalah menjadi satu kewajiban untuk menghadkan pakaian kita dalam bersukan. Islam tidak menetapkan fesyen pakaian yang tertentu dalam bersukan tetapi apa yang penting ialah pakaian sukan tersebut hendaklah menepati syarat-syarat yang ditentukan dalam syara’.

Segala jenis sukan yang memaksa seseorang menggunakan pakaian yang bertentangan dengan hukum syara’ adalah wajib untuk dtinggalkan. Tiada alas an untuk terpaksa menggunakan pakaian-pakaian yang nipis, jarang atau ketat hanya kerana ingin mengikut adat kebiasaan atau mengelakkan panas atau inginkan keselesaan semasa bersukan.



Sukan yang tidak memudharatkan:

Firman Allah Subhanahu waTa’ala dalam surah al-Baqarah ayat 195:

وَلاَ تُلْقُواْ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Tafsirnya:
Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu kedalam bahaya kebinasaan.

Ayat ini jelas menunjukkan akan haramnya melakukan sesuatu yang boleh membawa kepada kemudharatan diri sendiri ataupun orang lain. Malahan ulama telah bersepakat bahawa apa sahaja penyebab bahaya yang menjurus kepada kehancuran adalah wajib untuk dtinggalkan begitu juga sukan-sukan yang memudharatkan dirinya sendiri atau memudharatkan orang lain.


bersambung dikeluaran akan datang.... insya Allah..

Thursday, November 21, 2013

ADAB BERSUKAN



Part 1
 
Hadits Riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

المُؤمِن القَوِي خيرٌ مِنَ المؤمن الضَّعِيف

Maksudnya:

Orang Mu’min yang kuat lebih baik daripada orang mu’min yang lemah.
Islam mengalakkan umatnya menjadi kuat dan mencari jalan untuk kuat. Kekuatan fizikal dan mental lazimnya dikaitkan dengan pemakanan dan senaman atau riadhah (sukan). Amalan bersenam atau bersukan adalah sesuatu yang amat berfaedah kepada kesihatan manusia. Ianya merupakan salah satu unsur yang menjurus kepada kecerdasan mental seperti dalam pepatah ada menyebutkan “minda yang cerdas bermula dari badan yang sihat.” Oleh itu Islam sebagai agama yang syummul amat mengambil berat mengenai kesihatan fizikal, mental dan spiritual.


Apabila individu muslim itu sihat maka ia mempunyai kekuatan, kemampuan dan fikiran yang cerdas untuk melaksanakan apa sahaja tugas yang diamanahkan kepadanya oleh Allah Subhanahu waTa’ala serta tanggungjawab yang dipikulnya dalam sebuah organisasi, unit, persatuan, rumahtangga atau masyarakat. Mereka yang aktif bersukan akan menjadikan badan sihat dan dapat menghilangkan rasa malas, kurang motivasi, mengurangkan penyakit dalam badan serta membawa kepada kecemerlangan hidup.


Pada zaman serba moden ini pelbagai jenis sukan telah diperkenalkan dan kita perlu sedar bahawa sukan pada hari ini bukan sahaja sebagai aktiviti riadhah akan tetapi ia lebih luas peranannya iaitu dikaitkan dengan ekonomi, status dan lambang kemajuan sesebuah negara. Oleh itu kita sebagai seorang muslim hendaklah mengikut adab-adab Islam dalam bersukan diantaranya ialah:


·         Bersukan mengikut fitrah:

Setiap sukan yang hendak diikuti mestilah mengikut fitrah masing-masing. Lelaki biasanya dikaitkan dengan kegagahan dan ketangkasan. Sukan seperti menunggang kuda hanya khusus untuk lelaki memandangkan ianya adalah permainan yang lasak. Manakala perempuan pula disifatkan dengan kelembutan dan keperibadiannya yang pemalu. Maka mereka diharuskan bersukan dengan apa sahaja jenis yang sesuai dengan kelembutannya seperti berlari atau berjalan kaki, asalkan ianya dibatasi dengan hokum-hukum syara’.
Disebabkan perbezaan fitrah inilah, misalnya sukan bolasepak hanya sesuai untuk lelaki kerana ianya memerlukan kelasakan, malahan perbuatan menendang bola amat tidak sesuai untuk perempuan dan bertentangan dengan fitrah yang telah ditetapkan bagi perempuan yang bersifat lemah lembut.

Bersambung dikeluaran akan datang….

  

Thursday, May 02, 2013

RASA GELISAH? INI UBATNYA...

Muhasabah diri dan renungi kisah ini...

Pada suatu hari telah datang seorang lelaki (tidak disebutkan namanya) kepada sahabat baginda Rasulullah Shallallahu álaihi wasallam bernama Ibnu Mas'ud.

Orang tersebut meminta nasihat kepada beliau dengan berkata: "Wahai Ibnu Mas'ud berikanlah aku nasihat yang dapat ku jadikan obat bagi jiwaku yang sedang gelisah. Dalam beberapa hari ini aku merasa tidak tenteram, jiwaku gelisah dan fikiranku kusut; makan tak enak, tidurpun tak nyenyak."

Maka Ibnu Mas'ud menasehatinya, katanya: "Kalau penyakit itu datang menimpamu maka bawalah hatimu mengunjungi 3 tempat, iaitu :

1) Tempat orang membaca al-Quran, engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik2 orang yang membacanya;

2) Atau engkau pergi ke tempat pengajian yang mengingatkan hati kepada Allah;

3) Atau engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau berkhalwat menyembah Allah, umpamanya di waktu tengah malam buta, di saat orang tidur nyenyak, engkau bangun mengerjakan sembahyang malam, meminta dan memohon kpd Allah ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kemurniaan hati.

Seandainya jiwa mu belum juga terubat dengan cara ini, engkau minta kpd Allah, agar diberinya hati yang lain, sebab hati yang kau pakai itu, bukan lagi hatimu."

Setelah kembali ke tempatnya, maka diamalkannya semua nasihat Ibnu Mas'ud dan selesai dia membaca al-Quran, berubahlah kembali jiwanya, menjadi jiwa yang tenang dan tenteram, fikirannya jernih, kegelisahannya hilang sama sekali.

Lakukan kerana inilah ubat yang sangat mujarab dengan izin Allah.

Wednesday, March 27, 2013

Sedapnya Makan...






السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Di dalam post kali ini, kita akan membincangkan mengenai makan dan minum. Siapa yang tidak suka makan atau minum?? pasti semua suka kan... Atau paling tidak, memang semua perlu makan atau minum untuk menjalani kehidupan terutama sekali bagi memperolehi tenaga dan kekuatan untuk tujuan melakukan ibadah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sebenarnya itulah peranan kita... sebab mengapa kita diciptakan. Firman Allah Subahanahu wa Ta’ala dalam surah az-Dzaariyat: 56

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Tafsirnya:
(Ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.


Sebelum memulakan makan atau minum atau perbuatan apa sekalipun, kita dianjurkan untuk membaca ‘Basmalah’ (بسم الله الرحمن الرحيم) di mana hal ini merupakan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan di dalam kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim:

عَنْ وَهْبِ بْنِ كَيْسَانَ سَمِعَهُ مِنْ عُمَرَ بْنِ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ كُنْتُ فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ فَقَالَ لِي يَا غُلَامُ سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

Maksudnya:
Dari Wahab bin Kaisan dari Umar bin Abi Salamah radhiallahu ‘anh, dia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadaku: “Ucapkanlah dengan nama Allah dan makanlah dengan tangan kanan”.

Bukan itu saja, baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga tidak lupa mengajar umat Islam apa yang perlu di baca jika kita terlupa atau terlalai dari membaca ‘Basmalah’ sebelum makan. Ini lah bukti ketelitian dan kesempurnaan ajaran baginda. Begitulah pekanya sikap baginda dalam memahami fitrah umat manusia.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فَإِنْ نَسِيَ أَنْ يَذْكُرَ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ

Maksudnya:
Dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika salah seorang dari kamu makan makanan, maka hendaklah membaca: “Dengan nama Allah. Jika dia lupa menyebut nama Allah di awalnya, maka hendaklah mengucapkan: Dengan nama Allah di awal dan di akhirnya”.

Keutamaan membaca ‘Basmalah’ ini amat jelas bila mana baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan tegas mengingati kesan atau akibat meninggalkan bacaan ini. Tiada apa yg lebih mengundang kebimbangan dan seribu kerugian bagi diri umat Islam itu sendiri apabila mengabaikan bacaan yang sungguh mudah dengan pendek ini.

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ وَعِنْدَ طَعَامِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يَذْكُرْ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ أَدْرَكْتُمْ الْمَبِيتَ وَإِذَا لَمْ يَذْكُرْ اللَّهَ عِنْدَ طَعَامِهِ قَالَ أَدْرَكْتُمْ الْمَبِيتَ وَالْعَشَاءَ

Maksudnya:
Dari Jabir bin ‘Abdullah, bahawa sesungguhnya aku telah mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila seseorang masuk rumahnya sambil menyebut nama Allah ketika masuk dan ketika makan, syaitan berkata (kepada teman-temannya): “Tidak ada tempat menginap bagi kamu malam ini dan tidak ada makan malam”. Dan apabila dia masuk rumah tanpa menyebut nama Allah ketika masuk, syaitan berkata: “ Kamu menemui tempat bermalam”, dan apabila tidak menyebut nama Allah ketika makan, maka syaitan berkata: “Kamu meneui tempat bermalam dan makan malam.”

Alhamdulillah, sungguh besar manfaat membaca ‘Basmalah’... jadi bagi kita yang selama ini mengamalkan bacaan ini tetapi kurang tahu manfaatnya, Subhanallah! sekarang hal ini sudah jelas. Kita telah melakukan sesuatu yang sangat tepat. Bagi yang belum, maka berusahalah untuk membiasakan diri dengan amalan ini kerana kita sebagai umat Islam yang hidup di dunia yang hanya sementara ini, tujuan kita tidak lain dan tidak bukan iaitu merebut dan berlomba-lomba untuk meraih keredhaan Allah ‘Azza wa Jalla.

Kita perlu melakukan sebagaimana yang telah dicontohkan oleh baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana sudah tentu terkandung seribu kebaikkan yang tersirat di sebalik perbuatan baginda. Kita perlu menjauhi dan memelihara diri dan ahli keluarga kita agar jangan berlaku sesuatu sebagaimana yang baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam nyatakan di hadits di atas mengenai akibat meninggalkan bacaan ‘Basmalah’.