Thursday, November 24, 2022

Nasihat dan Didikan Luqman Kepada Anaknya

 

بسم الله الرحمن الرحيم

1.       JANGAN SEKALI-KALI MENYEKUTUKAN ALLAH.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala  dalam surah Luqman ayat 13 :

 

Terjemahan Ayat :

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya semasa dia memberi pengajaran kepadanya: “Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”

Dengan ayat tersebut, Luqman mendidik anaknya dengan pengajaran dan asuhan yang baik supaya menjadi manusia yang sempurna. Mula-mula sekali Luqman telah menerapkan nilai-nilai tauhid ke dalam jiwa anaknya dengan menyuruhnya supaya menyembah Allah sahaja dan menegahnya dari menyekutukan Allah kerana perbuatan tersebut adalah syirik.

Antara tujuan Pendidikan tauhid ialah :

1.       Untuk membebaskan manusia dari perhambaan  selain dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.

2.       Untuk membersihkan rohani dan hati serta membentuk peribadi agar sentiasa berkelakuan baik dalam kehidupan.

3.       Untuk membersihkan jiwa dari mengikut kehendak hawa nafsu semata-mata sehingga lupakan Allah serta menghindarkan diri dari melakukan kemungkaran atau maksiat.

4.       Untuk meneguhkan pendirian atau istiqamah terhadap perintah Allah dengan penuh keyakinan.

 

2.       BUAT PERKARA YANG BAIK :

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Luqman ayat 16 :


Terjemahan Makna ayat :

(Luqman menasihati anaknya): “Wahai anakku! Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) walau seberat biji sawi (sekalipun tersembunyi) di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, sudah tentu Allah akan membalasnya. Sesungguhnya Allah Maha Lemah Lembut lagi Maha Teliti.”

Luqman memberitahu kepada anaknya bahawa sebarang pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang itu bukanlah sia-sia. Tiap-tiap pekerjaan yang baik serta ikhlas atau buruk sama ada besar ataupun kecil  hatta seberat biji sawi sekalipun disembunyikan di dalam gua batu yang gelap atau berada jauh di atas langIt, tidak kira bagaimana dan di mana ia dilakukan, tidak menghalang dari diketahui oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kelak di akhirat akan ditimbang dalam neraca keadilan sebelum diberikan balasan yang sewajarnya.

3.       DIRIKANLAH SEMBAHYANG, SURUHLAH BERBUAT BAIK, LARANGLAH DARIPADA PERBUATAN MUNGKAR SERTA BERSABARLAH.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Luqman ayat 17 :


Terjemahan Makna Ayat :

“Wahai anakku! Dirikanlah sembahyang dan suruhlah (manusia) berbuat yang ma’ruf serta laranglah daripada melakukan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang mesti diambil berat untuk dilaksanakan.”

Luqman mengingatkan anaknya mengenai perkara-perkara berikut :

i.                     Dirikan Sembahyang : Sembahyang adalah rukun Islam yang kedua. Sudah menjadi kewajipan seorang hamba untuk membuktikan kehambaannya terhadap Allah yang menciptanya, yang memberikan kepadanya segala macam ni’mat dan kurnia yang sangat banyak. Sembahyang merupakan suatu hubungan rohani antara hamba dengan Tuhannya. Setiap kali ia sembahyang setiap kali itulah juga ia membersihkan diri dengan memohon keampunan, meminta diperluaskan rezeki dan menyatakan kesetiaan. Di samping itu juga, sembahyang dapat memelihara diri dari segala perbuatan kejahatan dan mungkar.

ii.                   Menyuruh yang Baik Dan Meninggalkan Yang Jahat:

Mengajak orang lain berbuat apa sahaja yang mendatangkan kebaikan adalah usaha yang baik yang akan memberikan keuntungan di dunia dan di akhirat. Di samping itu, mengingatkan orang lain untuk menjauhi perbuatan maksiat juga perbuatan yang baik kerana teguran tersebut boleh menyelamatkan pelakunya dari tersasar jauh dari landasan agama.

iii.                 Bersabar:

Ketika bertugas menyuruh orang berbuat baik dan menegah dari perbuatan buruk, seseorang itu hendaklah berhati teguh dan cekal. Di samping itu, hendaklah ia membetulkan niat dengan mendasarkan tugasnya itu semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Dalam menghadapi ketiga-tiga keadaan tersebut, sifat sabar berperanan utama sebagai benteng pengawalan diri. Jika sabar tidak ada, maka akan hanyutlah kita dibuai oleh perasaan yang akhirnya akan menjerumuskan kita kepada kehancuran.

Luqman mengingatkan kepada anaknya mengenai keempat-empat perkara iaitu : dimulai dengan sembahyang dan diikuti dengan menyuruh yang baik dan meninggalkan yang jahat serta disudahi dengan sabar, dengan tujuan untuk menunjukkan bahawa kedua-duanya (sembahyang dan sabar) itu amat penting dalam mencari keredaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

4.       JANGAN BERLAGAK SOMBONG

 Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Luqman ayat 18 :


Terjemahan Makna Ayat :

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu daripada manusia (kerana memandang rendah terhadap mereka) dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka tiap-tiap orang yang sombong lagi membangga-banggakan diri.”

Dengan ayat ini Luqman mengingatkan kepada anaknya tentang beberapa tegahan :

i.           Jangan memalingkan muka dengan cara yang sombong semasa berhadapan dengan orang yang mengajak berkata-kata. Sebaliknya hadapilah dengan muka manis, tanpa memperlihatkan sebarang tanda yang tidak menyenangkan kepadanya.

ii.       Jangan berlagak sombong semasa berjalan seperti menghentak-hentak kaki untuk menunjukkan kemegahan. Sesungguhnya sifat sombong dan berlagak angkuh itu adalah dibenci oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan ianya adalah sifat tercela yang asalnya daripada sifat syaitan yang terkutuk.

Di antara tanda-tanda sombong itu ialah :

i.                     Merasa bangga melihat diri sendiri lebih maju daripada orang lain.

ii.                   Suka menonjolkan diri.

iii.                 Minta dikedepankan dalam majlis-majlis keramaian.

iv.                 Bergaya dan beraksi angkuh ketika berjalan.

v.                   Membantah teguran orang lain meskipun kata-katanya salah.

vi.                 Tidak mengendahkan nasihat atau teguran orang.

vii.                Suka menindas orang yang miskin dan lemah.

viii.              Kerap menganggap dirinya betul dan tidak pernah salah.

ix.                  Suka memuji-muji diri.

x.                   Bermegah dengan keturunan.

 

5.       BERJALAN DENGAN SEDERHANA DAN RENDAHKAN SUARA :

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Luqman ayat 19 :

 


Terjemahan Makna Ayat :

“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan dan rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”

Dalam ayat ini Luqman menasihati anaknya supaya berjalan dengan berada dan bersopan santun, iaitu tidak terlalu lambat sehingga menghalang pejalan kaki yang lain dan tidak terlalu cepat sehingga menimbulkan gangguan kepada orang yang lain. Hendaklah berjalan dengan cara yang sederhana dan patut.

Apabila bercakap pula hendaklah dengan suara yang lembut, terang, ringkas dan jelas. Jangan bertekak dan bertegang urat sehingga mengejutkan pendengar yang mungkin menimbulkan pertengkaran.

Memang tidak dapat dinafikan punca segala perselisihan dan perpecahan timbul dari kata-kata yang tidak terkawal oleh akal fikiran yang waras, lalu masing-masing mengemukakan hujjahnya dengan suara yang semakin meninggi. Akhirnya perasaan marah akan timbul sehingga tidak dapat dikawal lagi, lalu terjadilah permusuhan yang sukar untuk didamaikan.

Semoga dengan perkongsian ini kita juga akan terdorong untuk mendidik anak-anak kita sepertimana Luqman mendidik anaknya. 

آمين يا رب العالمين