Wednesday, July 29, 2020

MEMINDAH DAGING KORBAN KE NEGERI LAIN




Pada dasarnya keharusan memindah daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain adalah bergantung kepada jenis ibadat korban yang dilakukan iaitu sama ada ibadat korban wajib atau sunat.

Kedua-dua ibadat korban ini mempunyai perbezaan hukum apabila dagingnya hendak dipindahkan ke negeri lain.

As-Sayyid al-Bakri ad-Dumyathi Rahimahullahu Ta’ala menjelaskan di dalam kitabnya Hasyiah I’anah  ath-Thalibin bahawa di dalam kitab an-Nihayah telah diputuskan mengenai memindahkan daging korban dari negeri tempat korban itu dibuat hukumnya adalah haram sepertimana juga dalam hal memindah zakat, sama ada korban itu korban sunat atau korban wajib. Adapun yang dimaksudkan dengan korban sunat itu ialah bahagian yang wajib disedekahkan kepada  fakir dan miskin.

Untuk lebih jelas, berikut diterangkan hukum memindah daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain mengikut jenis ibadat korban :

·       Korban Wajib :
Kesemua daging korban wajib daripada binatang yang disembelih itu wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin dalam keadaan mentah. Oleh itu, haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada negeri tempat binatang korban itu disembelih. Inilah pendapat jumhur ‘ulama asy-Syafi’iyyah.

Apa yang perlu dibuat dalam hal ini, daging daripada binatang korban wajib itu wajib diagihkan kesemuanya kepada golongan fakir dan miskin di negeri (tempat) di mana binatang korban itu disembelih.

·       Korban Sunat :

Dalam korban sunat pula, terdapat bahagian daripada daging korban itu yang sunat dimakan atau dihadiahkan oleh orang yang berkorban dan terdapat juga bahagian yang wajib disedekahkan.

Dalam hal ini, bahagian atau hak orang yang berkorban itu sahaja yang harus dipindahkan ke negeri lain, sementara bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin pula wajib disedekahkan di negeri tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain.

Gambaran bahagian daging korban sunat yang boleh dipindahkan ke negeri lain itu adalah seperti berikut:

Dalam korban sunat adalah disunatkan membahagi daging binatang korban tersebut kepada tiga bahagian:

1.       Sepertiga (1/3) untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin.

Diwajibkan bagi orang yang berkorban untuk menyedekahkan sebahagian daripada daging korban sunat dalam keadaan mentah, iaitu tidak dimasak, kepada fakir dan miskin untuk dimiliki oleh golongan ini.

Oleh kerana bahagian (1/3) adalah untuk disedekahkan dan diagihkan kepada fakir dan miskin di negeri (tempat) binatang korban disembelih, maka haram ia dipindahkan ke negeri lain.
2.       Sepertiga (1/3) untuk dirinya sendiri.

Sunat hukumnya orang yang berkorban memakan sebahagian daripada sepertiga sembelihan korban sunatnya sebagai mengambil berkat. Bahagian ini harus dipindahkan ke negeri lain.
3.       Sepertiga (1/3) untuk dihadiahkan kepada orang kaya.

Orang yang berkorban sunat, harus menghadiahkan sebahagian daging korban sunatnya kepada orang kaya seperti ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan seumpamanya daripada kalangan orang Islam. Bahagian ini juga harus dipindahkan ke negeri lain.

Oleh yang demikian, sebagaimana yang dijelaskan bahawa bahagian yang hanya boleh dipindahkan ke negeri lain itu ialah bahagian daging untuk dirinya sendiri dan bahagian dihadiahkan kepada orang kaya. Manakala bahagian yang diperuntukkan kepada fakir dan miskin wajib diagihkan kepada fakir dan miskin yang berada di tempat orang itu menyembelih dan haram dipindahkan ke negeri lain.

MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN DI LUAR NEGERI

Selain daripada memindahkan daging korban ke negeri lain, tidaklah salah jika ingin melakukan ibadat korban di negeri yang dirasakan ramai orang yang lebih berhak menerima bahagian daging korban tersebut. Malah adalah diharuskan memindahkan wang dari satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban.

Perkara berkorban dan aqiqah di luar negeri ini pernah ditanyakan kepada Syeikh Mohammad bin Sulaiman al-Kurdi Rahimahullah Ta’ala sepertimana disebutkan dalam kitab Hasyiah I’anah ath-Thalibin. Pada masa itu telah menjadi kebiasaan orang-orang Jawi (kepulauan Melayu) berwakil kepada seseorang untuk membeli na’am (seperti lembu dan kambing) di Makkah untuk dijadikan aqiqah dan korban dan sedangkan orang yang hendak beraqiqah atau berkorban itu berada di negeri Jawi (di negerinya).

Beliau menjawab dengan berkata : “ Perbuatan sedemikian itu adalah sah dan harus berwakil membeli binatang korban dan aqiqah dan begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.” (Kitab I’anah ath’Thalibin: 2/381)
Namun begitu, dalam hal memindahkan daging korban itu juga adalah dibolehkan sekadar bahagian yang harus dipindahkan daripada korban sunat sahaja. Inilah yang dikatakan oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Rahimahullahu Ta’ala di dalam kitabnya Sabil Muhtadin ketika menukilkan perkataan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Rahimahullahu Ta’ala :

“Kata Syeikh saya, Muhammad bin Sulaiman : “Harus berwakil pada membeli na’am akan korban pada negeri yang lain dan pada menyembelih dia dan pada membahagikan dagingnya bagi segala miskin negeri itu.”

Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Rahimahullahu Ta’ala kemudian berkata : “ Maka iaitu zahir sama ada negeri Makkah atau lainnya tetapi jangan dipindahkan dagingnya dari negeri tempat berkorban kepada negeri yang lain maka iaitu haram.. dan sayugianya hendaklah yang berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil pada masalah ini wallahu a’alam. (Kitab Sabil al-Muhtadin : 228).

Kemudian Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Rahimahullahu Ta’ala berkata lagi : “Jikalau berwakil seseorang akan seseorang pada berkorban di negeri lain kerana menghasilkan murah umpamanya hendaklah disedekahkan oleh wakil akan dagingnya bagi fakir dan miskin negeri itu dan janganlah dipindahkannya akan sesuatu daripada dagingnya daripada negeri itu ke negeri yang berwakil melainkan sekadar yang sunat ia memakan dia itupun jika ada korban itu sunat (adapun) jika ada korban itu wajib maka wajiblah atas wakil menyedekahkan sekaliannya pada fakir di dalam negeri tempat berkorban itu (dan haram) atasnya memindahkan suatu daripadanya ke negeri yang lain (Kitab Sabil al-Muhtadin : 230)
والله أعلم بالصواب



Petikan daripada Irsyad Hukum 2014, Jabatan Mufti  Kerajaan.

Sunday, July 19, 2020

PEMERKASAAN DA’WAH DALAM ERA KEPIMPINAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH (BHG II)



3) PEMERKASAAN DA’WAH KEPADA PERLAKSANAAN PERATURAN ISLAM

Peranan pemimpin negara Islam adalah sebagai pemacu kepada menegakkan syariat Islam.  Justeru dalam kerajaan baginda telah digubal dan disusun beberapa peraturan yang sejajar dengan lunas-lunas Islam. Semata-mata menegakkan syariat Islam untuk meraih keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang membawa kesejahteraan kepada rakyat dan penduduknya.

i.                     Pengharaman Minuman Keras

Islam mengharamkan arak disebabkan sifatnya yang membawa banyak keburukan dan kemudharatan kepada manusia. Arak bukan sahaja boleh merosakkan fikiran dan kesihatan manusia. Malahan ia juga boleh menjadikan seseorang itu hilang pekerti dan rosak akhlak serta aqidahnya.

Justeru pada 01 Disember 1990, baginda telah memperkenankan peraturan kepada pengharaman jual beli arak ke Negara Brunei Darussalam. Peraturan ini melibatkan masyarakat Islam dan bukan Islam, malah juga melibatkan industry perdagangan, peniaga dan pembekal.

Agensi Penerbangan Di Raja Brunei lebih awal menyokong dan melaksanakan dasar ini, di mana mulai 30 November 1988 telah bertindak meniadakan sajian dan hidangan minuman arak kepada para penumpang di setiap destinasi penerbangannya. Sementara itu pengharaman arak juga berkuatkuasa di Kelab-kelab Angakatan Bersenjata Di Raja Brunei dan Polis Di Raja Brunei. Peraturan ini dilaksanakan mulai 31 Julai 1990.

ii.                   Melaksanakan Sistem Kewangan Islam

Kewangan Islam adalah sebuah rangkaian system yang lengkap lagi sempurna kerana bersumberkan wahyu Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sistem ini menjauhi amalan riba, justeru ianya lebih baik berbanding sistem kewangan konvensional. Sistem kewangan Islam menyamai prinsip keadilan dan menjauhi unsur kezaliman kepada semua pihak tidak kira bangsa mahupun agama. Semuanya mendapat hak yang saksama.

Hari ini, Negara Brunei Darussalam telah memiliki Institusi Perbankan Islam yang mengamalkan urusan perdagangan tanpa riba, tanpa penindasan dan penipuan. Kewujudannya telah memberi banyak manfaat kepada umat Islam bahkan turut dinikmati oleh masyarakat bukan Islam.

4) PEMERKASAAN DA’WAH KEPADA MENEGAKKAN KEADILAN

Sesungguhnya baginda seorang pemimpin yang mempunyai keazaman yang kuat untuk mengislamisasikan undang-undang negara. Sebagai langkah permulaan ke arah aspirasi ini, baginda berhasrat untuk menubuhkan sebuah Mahkamah Tertinggi Syari’ah dan mengemaskinikan perundangan serta  struktur kehakiman syari’ah. Pada 21 Januari 1980, baginda telah memperkenankan penubuhan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji dan mensesuaikan undang-undang Brunei dengan kehendak agama Islam. Jawatankuasa ini dinamakan “Jawatankuasa Mensesuaikan Undang-Undang Dengan Kehendak Agama Islam.” Pada tahun 1988, Kerajaan baginda telah mendatangkan seorang Pakar Perundangan Islam dari Pakistan. Dengan adanya pakar ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menubuhkan unit undang-undang yang berperanan sebagai Urusetia kerja khusus bagi membantu Jawatankuasa Mensesuaikan Undang-undang Dengan Kehendak Islam.

i.                     Undang-Undang Islam Di Brunei

Pada peringkat awal pemerintahan Kesultanan Brunei, perlaksanaan undang-undang adalah berpegang kepada hukum syara’. Dalam pemerintahan Sultan Sharif Ali perlaksanaannya sangat menonjol. Dalam pada itu, Hukum Kanun Brunei yang merupakan undang-undang Islam bertulis dan dikanunkan telah dipraktikkan secara berperingkat-peringkat dan mula digunakan secara meluas dalam zaman pemerintahan Sultan Hassan. Hukum Kanun Brunei telah menjadi asas atau panduan dalam pemerintahan baginda dan Sultan-Sultan selepas baginda bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pemerintah Negara Brunei Darussalam.Di samping itu, Hukum Kanun Brunei juga digunakan sebagai garispandu bagi menjatuhkan hukuman kepada mereka yang didapati bersalah.
Apabila Brunei secara rasmi menerima Residen Inggeris pada tahun 1906, pemerintahan colonial Inggeris mula campurtangan dengan undang-undang Islam yang telah menjadi sumber dan panduan utama dalam pembentukan masyarakat Brunei. Undang-Undang Islam mula disempitkan dan penggunaannya hanya pada isu-isu yang terhad sahaja.

Kemerdekaan yang dicapai Negara Brunei Darussalam telah membawa rahmat kepada Brunei khususnya aspek undang-undang. Kerajaan Brunei telah memainkan peranan yang bijak dengan membuat beberapa Langkah ke arah mengislamisasikan undang-undang di negara ini.

ii.                   Penubuhan Jabatan Mufti.

Perlantikan Jawatan Mufti berdasarkan undang-undang Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadhi (77). Jabatan Mufti ditubuhkan pada 01 April 1962 sejajar dengan perlantikan Mufti Kerajaan Pertama.
Pada asalnya Jabatan Mufti di bawah pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Ugama, apabila Brunei mencapai kemerdekaan dan system kementerian diamalkan dalam pentadbiran, maka pada tanggal 21 Oktober 1986, Jabatan Mufti diletakkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Syari’ah dalam Kementerian Hal Ehwal Ugama. Pada 07 November 1994, Jabatan Mufti diasingkan dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Jabatan Mufti adalah bertanggungjawab kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menyembahkan sebarang isu yang berkaitan dengan tugasan Mufti Kerajaan. Manakala objektif penubuhan Jabatan Mufti ialah mengeluarkan fatwa berdasarkan sumber hukum syara’ untuk rujukan ummah Islam dalam menyelesaikan permasalahan. Sebarang fatwa yang telah ditetapkan dan diputuskan adalah wajib dipatuhi oleh masyarakatnya.

Hakikatnya penubuhan jabatan ini merupakan hasrat yang tinggi daripada seorang pemimpin terhadap agamanya agar tegak dan terus bersemarak di bumi Brunei. Di samping memastikan bahawa setiap tindakan dan kegiatan yang dijalani sebagai umat Islam sentiasa diberikan perhatian agar mengikut dasar-dasar yang digariskan di dalam al-Qur’an al-Karim dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam.

5) PEMERKASAAN DA’WAH KEPADA MEMPERTAHAN BUMI BRUNEI SEBAGAI NEGARA ISLAM

         i.            Wawasan Negara Zikir

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1428H/ 2007M yang mahukan negara ini sentiasa dalam keamanan dan di bawah lindunganNya:
“… Brunei adalah negara yang selalu bersama-sama dengan Ar-Rahman ( Yang Maha Mengasihi) yang sentiasa berhias dengan zikir dan menjadikannya sebagai rutin kebiasaan. Kerana itu Allah pun dengan rahmatnya memalingkan kita dari sebarang kesusahan dan bencana dari pelbagai anasir yang boleh merosakkan keamanan.”
“Beta insya Allah akan terus berazam untuk menjadikan Brunei Darussalam sebuah ‘Negara Zikir’ yang sentiasa mengagungkan Allah, supaya kita selalu berada dalam perhatian dan pemeliharaanNya, sesuai dengan janjiNya di dalam surah al-Baqarah ayat 152, tafsirnya : “ Kamu ingati Aku, nescaya Aku mengingati kamu pula.”

5) PEMERKASAAN DA’WAH MENJANA KESEJAHTERAAN UMMAH

i.                     Kesejahteraan Dalam Beragama

Agama Islam menjadi dasar pentadbiran di Negara Brunei Darussalam sejak sekian lamanya dengan berpaksikan kepada aqidah Ahli Sunnah wal Jama’ah dengan berpegang kepada mazhab Syafi’e. Keberkatan dan rahmat ajaran Islam yang dipusakai sejak turun temurun itu telah mengurniakan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada pelbagai ugama, budaya, bahasa dan keturunan untuk menjalani kehidupan yang rukun, aman dan damai. Sungguhpun Islam sebagai agama rasmi dan majoritinya penduduk berugama Islam tetapi penganut lain bebas mengamalkan kepercayaan mereka masing-masing tanpa adanya diskriminasi antara penduduk Islam dan bukan Islam. Masyarakat Brunei yang beragama Islam dan bukan Islam saling bertoleransi dalam menjalani kehidupan di bumi Brunei Darussalam.

ii.                   Kesejahteraan dalam Pendidikan.

Kerajaan Negara Brunei Darussalam di bawah pemerintahan baginda sangat mengambil berat soal pendidikan rakyat dan penduduknya lebih-lebih lagi soal pendidikan agama. Kerajaan Brunei Darussalam menyediakan pendidikan yang percuma kepada seluruh rakyat baginda. Dalam erti kata lain tiada alasan dalam kalangan rakyat baginda yang keciciran untuk mendapatkan pendidikan sempurna sekaligus menjaga kesejahteraan masyarakat dalam mengharungi kemajuan dunia.

Baginda bertitah:
“… Pendidikan pada khususnya mestilah jelas, bahawa keperluan umum tidak akan mengatasi keperluan ugama. Dalam makna, pendidikan ugama juga hendaklah sama-sama diutamakan. Di peringkat asas, pendidikan ugama hendaklah sempurna, sementara di peringkat tinggi pula hendaklah mampu melahirkan ulama dan cendiakawan berwibawa. Jangan sama sekali ia kurang atau dikurangkan kerana berdasarkan fakta sejarah di mana-mana sahaja, jika pendidikan ugama lemah, maka akan lemahlah pula bangsa.”

(Petikan Titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Kebangsaan yang ke-21, pada 23 Februari 2005).

iii.                 Kesejahteraan Dalam Kemajuan dan Pembangunan

Brunei Darussalam telah melaksanakan pembangunan demi pembangunan bagi memenuhi kepentingan dan kesejahteraan kepada ummah seperti pembinaan masjid, sekolah dan hospital. Bahkan di bawah kepimpinan baginda telah didirikan perumahan dan dikurniakan kepada penduduk yang memerlukannya sehingga meningkatkan kualiti kehidupan kekeluargaan. Pembangunan yang holistik dapat dimanfaatkan oleh rakyat boleh membawa Brunei Darussalam dalam mencapai kemajuan yang seimbang menuju wawasan 2035.

Sesungguhnya dalam melaksanakan sistem pemerintahan dengan menerapkan syariat Allah Subhanahu wa Ta’ala dan sunnah RasulNya memberikan impak yang positif ke arah pembentukan negara Islam. Natijahnya akan dapat dirasai ummah yang hidup pada hari inim esok dan akan datang.

(Petikan dari Buku “Dalam Era Kepimpinan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah”, Dr Hajah Rasinah binti Haji Ahim, Terbitan Pusat Da’wah Islamiah)