Monday, April 10, 2023

BERINFAQ DI BULAN RAMADHAN

 

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah at-Taubah ayat 103 yang tafsirnya :

Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka. Dan doakanlah mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi sebab ketenteraman jiwa mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Amalan infaq termasuklah ibadah zakat yang kita tunaikan di bulan Ramadhan ini akan dapat membersihkan diri dan memperelokkan puasa kita daripada pencemaran dosa dan maksiat. Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjanjikan ganjaran yang besar kepada hambanya yang berzakat dan bersedekah berbeza dengan bulan-bulan yang lain.

Setiap amalan yang dilakukan di dalam bulan Ramadhan, sama ada ibadah wajib atau sunat akan dikurniakan Allah Subhanahu Wa Ta’ala ganjaran pahala yang berganda-ganda, termasuklah memberi makan kepada orang yang hendak berbuka puasa.

Dalam bulan Ramadhan juga, Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah mensyariatkan kepada kita zakat fitrah. Zakat Fitrah difardhukan bertujuan untuk membantu fakir dan miskin agar mereka dapat sama-sama bergembira dan menikmati makanan semasa menyambut Hari Raya. Janganlah kita bakhil untuk menginfaqkan sedikit harta kita di bulan Ramadhan yang penuh rahmatNya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Ali ‘Imran ayat 180 yang tafsirnya:

Dan janganlah sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kurnia kemurahanNya (enggan mengeluarkan harta di jalan Allah dan tidak mahu membayar zakat) menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka.   Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari Kiamat kelak. Dan kepunyaan Allah jualah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.

 

Saturday, April 01, 2023

TAKUT AKAN ALLAH (AL-KHAUF)

 


بسم الله الرحمن الرحيم

Takut akan Allah (Al-Khauf) ialah hati rasa gementar dan hati rasa kecut terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, serta hati rasa takut akan kemurkaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Perkara yang mendorong rasa takut akan Allah itu ialah iman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, yang terbit daripada mengenal Allah, iaitu mengetahui akan segala sifat-sifat kesempurnaan Allah, dan sifat-sifat ketuhanan bagi zat Allah, serta kekuasaan dan kebesaran Allah Subhanahu wa Ta’ala yang menjadikan segala alam ini.

Hasil yang utama daripada rasa takut kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala ialah berusaha untuk menjaga dan memelihara diri daripada mendapat kemurkaan Allah iaitu dengan cara mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

Kelebihan orang yang takut akan Allah Subhanahu wa Ta’ala ada empat iaitu:

1)      Allah mengurniakan petunjuk (hidayah)

2)      Allah mengurniakan rahmat, seperti firmanNya dalam surah al-A’râf ayat 154 yang tafsirnya :

 

“…..terdapat petunjuk dan rahmat untuk orang-orang yang merasa gerun kepada Tuhan mereka.”

 

3)      Allah mengurniakan ilmu. Sepertimana firmanNya dalam surah Fâthir ayat 28 yang tafsirnya :

 

“…Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hambaNya hanyalah ‘ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

 

4)      Allah mengurniakan keredhaan, seperti firmanNya dalam surah al-Bayyinah ayat 8 yang tafsirnya :

 

“…Allah redha terhadap mereka dan mereka pula redha terhadapNya. Yang demikian itu ialah (ganjaran) bagi orang yang takut kepada Tuhannya.”