Monday, July 05, 2021

‘ABDUR RAHMAN BIN ’AUF

 

 


Sahabat Rasulullah ‘Abdur Rahman bin ‘Auf dilahirkan pada tahun 581 Masihi iaitu 44 tahun sebelum Hijrah. Salasilah keturunan ‘Abdur Rahman bin ‘Auf yang selengkapnya ialah ‘Abdul Rahman bin ‘Auf bin ‘Abdul ‘Auf bin ‘Abdu bin al-Harits bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’ai bin Ghalib bin Fihr az-Zuhri al-Quraisyi.

Beliau berasal daripada keturunan Bani az-Zuhri iaitu keturunan yang sama dengan ibu Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam berdasarkan nenek moyangnya iaitu Zuhrah bin Kilab. Maka melalui talian perhubungan darah ini, ‘Abdur Rahman bin ‘Auf merupakan cucu sepupu kepada Saiyidatina Aminah binti Wahab. Keturunan beliau ini juga bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam pada Kilab bin Murrah.

‘Abdur Rahman bin ‘Auf mempunyai ramai anak dan Isteri.‘Abdur Rahman bin ‘Auf adalah seorang yang suka berniaga sehingga akhirnya beliau menjadi seorang pedagang yang paling kaya di kalangan orang muslimin dan juga merupakan sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang kaya raya. Kekayaan yang dimilikinya itu tidak membuatnya lalai dan kedekut bahkan beliau terkenal dengan seorang yang amat dermawan dan sering membelanjakan hartanya di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

‘Abdur Rahman bin ‘Auf telah memeluk agama Islam pada tahun pertama kenabian Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam melalui Abu Bakar as-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu. Beliau dicatat sebagai orang kelima yang diislamkan oleh Abu Bakar as-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu selain daripada Utsman bin ‘Aff an, az-Zubair bin al-‘Awwam, Sa’ad bin Abu Waqqas dan Thalhah bin ‘Ubaidullah. Beliau berusia 30 tahun ketika memeluk agama Islam. Dikatakan bahawa ketika Abu Bakar as-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu menawarkan agama Islam kepadanya beliau segera menerimanya tanpa berlengah-lengah.Setelah memeluk agama Islam, ‘Abdur Rahman bin ‘Auf sangat rajin berulang-alik ke rumah Arqam bin Abu al-Arqam yang terletak di kaki bukit Safa’ di deretan Jabal Abu Qubais semata-mata untuk mendapatkan pengajaran Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam di sana. Sehingga sekarang, rumah Arqam tersebut masih lagi dipelihara dengan baik di tempat asalnya.

PERJUANGAN ‘ABDUR RAHMAN BIN ‘AUF

Peperangan Badar

 ‘Abdur Rahman bin ‘Auf adalah di antara sahabat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang turut serta di dalam peperangan Badar yang terjadi pada tahun 2 Hijriah. Beliau tersenarai sebagai salah seorang pejuang Badar al-Kubra yang berani dan telah banyak menewaskan musuh-musuh Islam.Banyak jasa yang telah beliau lakukan di dalam peperangan ini. Antara jasanya yang amat besar sekali kepada perjuangan Islam adalah sebagai orang yang bertanggungjawab membawa kepada terbunuhnya Abu Jahal bin Hisyam, salah seorang pemimpin daripada suku Quraisy yang terkenal dengan penentangannya terhadap da’wah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.Peperangan UhudPeperangan Uhud terjadi selepas peperangan Badar iaitu pada tahun 3 Hijriah. ‘Abdur Rahman bin ‘Auf juga telah turut serta berjuang bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Sebagaimana para sahabat baginda yang lain, ‘Abdur Rahman bin ‘Auf juga bercita-cita untuk mati syahid. Beliau juga turut teringin untuk menjadi salah seorang daripada para syuhada’ seperti sahabat-sahabatnya yang telah terkorban ketika pertempuran dalam peperangan Badar.

Penggempuran Daumatul Jandal

Peristiwa penggempuran Daumatul Jandal berlaku pada bulan Sya’ban tahun 6 Hijriah. Pemimpin pasukan penggempur ini ialah ‘Abdur Rahman bin ‘Auf. Sejak baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam datang dan mendirikan negara Islam di kota Madinah, inilah kali pertama beliau dilantik dan diamanahkan oleh Rasulullah Shallalllahu ‘alaihi wa sallam untuk memimpin pasukan tentera Islam menyerbu ke daerah Daumatul Jandal. Sedangkan beliau sebelum ini tidak pernah dikenali sebagai pahlawan yang memimpin pasukan sebagaimana Khalid bin al-Walid, Saiyidina ‘Ali bin Abu Thalib, ‘Amru bin al-‘Ash, Zaid bin Haritsah dan pahlawan-pahlawan lain yang masyhur dengan kehebatan mereka dalam medan peperangan dan sebagai pemimpin pasukan yang terbaik.

Kewafatan ‘Abdur Rahman bin ‘Auf

Menurut riwayat ahli-ahli sejarah Islam, ‘Abdur Rahman bin ‘Auf meninggal dunia pada zaman pemerintahan khalifah ‘Utsman bin ‘Aff an iaitu pada tahun 31 Hijriah bersamaan tahun 652 Masihi ketika berusia 74 tahun. Terdapat juga riwayat lain yang mengatakan bahawa beliau meninggal dunia pada tahun 32 Hijrah bersamaan 652 Masihi ketika berusia 75 tahun. Meskipun beliau sering menginginkan mati syahid tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menetapkan kematian beliau di rumahnya dalam keadaan biasa di atas tilam tempat tidurnya.Jenazah beliau disembahyangkan oleh Khalifah ‘Utsman bin ‘Aff an, Saiyidina ‘Ali bin Abu Thalib, Thalhah bin ‘Ubaidullah, az-Zubair bin al-‘Awwam, Sa’ad bin Abu Waqqas dan seluruh para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang tinggal di kota Madinah. Kemudian jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi’.

Beliau meninggalkan empat orang isteri dan anak-anak yang ramai sekali. Harta peninggalannya sangat banyak berupa ladang dan binatang ternakan. Sebanyak dua puluh buah ladang ditinggalkan di lembah-lembah yang subur termasuk sebidang ladang gandum di suatu tempat bernama Jarif. Manakala binatang-binatang ternak yang beliau tinggalkan ialah sebanyak 1,000 ekor unta, 3,000 ekor kambing dan 100 ekor kuda yang diternak di kawasan perkuburan Baqi’. Sebelum kewafatannya, beliau sempat menyedekahkan sebanyak 50,000 dinar di jalan Allah. Manakala setiap seorang daripada empat isteri beliau itu pula mendapat habuan di antara 80,000 dinar sehingga 100,000 dinar selepas kewafatannya.

KEISTIMEWAAN DAN KELEBIHAN ‘ABDUR RAHMAN BIN ‘AUF

Termasuk Orang yang Terdahulu Beriman Kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam‘Abdur Rahman bin ‘Auf termasuk dalam kalangan orang yang terawal menganut agama Islam. Beliau memeluk agama Islam sebelum Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjadikan rumah Arqam bin Abu al-Arqam sebagai pusat kegiatan da’wah baginda. Ini bermakna beliau mendapat keistimewaan dan kelebihan kerana tergolong di dalam kelompok ‘as-Sabiqun al-Awwalun’ yang mulia dan terhormat di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Termasuk Ahli Syurga

Diriwayatkan daripada Imam Ahmad bahawa Sa’id bin Zaid berkata sesugguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud: Abu Bakar di syurga, dan ‘Umar di syurga, dan ‘Ali di syurga, dan ‘Utsman di syurga, dan ‘Abdur Rahman di syurga, dan Thalhah di syurga, dan az-Zubair di syurga.

Seorang yang Jujur dan Amanah

‘Abdur Rahman bin ‘Auf seorang yang selalu menghiasi dirinya dengan adab sopan dan bersikap jujur sehingga beliau sangat dipercayai. Sehinggakan disebutkan di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Harits bin Usamah, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya engkau (‘Abdur Rahman bin ‘Auf) adalah orang dipercayai di langit dan orang yang dipercayai di bumi.

Seorang yang Faqih

‘Abdur Rahman bin ‘Auf salah seorang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang faqih dalam menyelesaikan masalah agama. Sebagaimana beliau pernah menjawab pertanyaan agama ketika disoal oleh ‘Umar bin al-Khathab Radhiallahu ‘anhu mengenai hadits Rasulullah tentang keadaan seseorang yang lupa atau ragu dalam sembahyangnya.

 

 

 

 

Petikan dari majalah al-Huda, PDI