Tuesday, December 01, 2020

QADHA’ DAN QADAR KETENTUAN ALLAH

 

 


Qadha’ bermaksud perkara yang terjadi ke atas manusia seperti suka dan duka, kaya dan miskin. Manakala maksud bagi qadar ialah ketetapan dan ketentuan daripada Allah Subhanahu Wata'ala atas setiap makhluk. Percaya kepada Qadha’ dan Qadar adalah salah satu rukun Iman yang wajib diimani termasuklah redha dan rela menerima ketentuan yang telah ditentukan Allah Subhanahu wa Ta’ala samada berupa nikmat ataupun musibah. Ini adalah sifat mu’min sejati yang akan menerima Qadha’ dan Qadar Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan lapang dada dan senang hati. Berbeza pula dengan manusia yang kurang imannya yang hanya akan bersyukur di kala senang tetapi sebaliknya akan merasa kecewa dan tidak sabar ketika ditimpa musibah dan kesusahan sepertimana sabda Rasulullah dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim iaitu yang bermaksud :

“Betapa ajaibnya orang-orang yang beriman itu. Sesungguhnya semua perkara adalah baik bagi mereka dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mu’min. Jika memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya dan jika ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya.”

Sifat ini adalah tanda cinta dan mahabbah hambaNya yang memang mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sifat redha itu akan dapat melahirkan keimanan dan ketaqwaan dalam diri hambaNya dan ia merupakan satu sifat mulia yang amat dituntut oleh agama Islam.

Sebagai umat Islam, kita percaya bahawa hanya Allah Subhanahu wa Ta’ala sahajalah yang memiliki kuasa mutlak dalam menentukan segala urusan di dunia ini. Sekaligus menyedarkan bahawa manusia itu adalah hambaNya yang lemah dan sentiasa memerlukan kepada bantuan Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam segenap hal. Begitu juga hikmah di sebalik qadha’ dan Qadar itu, agar kita sentiasa berusaha dan ta’at kepadaNya. Keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala itulah sebenar-benar nikmat yang agung dan mulia dan merupakan kunci kebahagiaan sejati sepertimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Tarmizi, Rasulullah   bersabda yang bermaksud :

“Bila Allah cinta kepada satu kaum, mereka diuji, barangsiapa redha menerima ujian itu, Allah redha pula kepadanya. Dan barangsiapa yang marah (tidak redha), maka Allah pun murka kepadanya.”

FAHAMAN YANG SALAH MENGENAI QADHA’ DAN QADAR

1. Mempercayai bahawa semua kejahatan dan kesusahan yang menimpa diri kerana takdir Allah semata-mata, bukan kesilapan diri. Misalnya, segala keburukan dan kejahatan seseorang telah Allah tentukan sejak azali lagi, tiada siapa yang dapat melawannya. Perkara ini tidak betul kerana Allah berfirman dalam surah Infithar ayat 13-14 yang bermaksud :

 

﴿إِنَّ ٱلۡأَبۡرَارَ لَفِي نَعِيمٖ وَإِنَّ ٱلۡفُجَّارَ لَفِي جَحِيمٖ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya lagi ta’at tentulah berada di dalam syurga Na’im, dan sesungguhnya orang-orang yang berdosa tentulah berada di dalam neraka Jahim.”

 

2. Menyerah sepenuhnya kepada takdir Allah kerana malas berusaha dan berikhtiar.

Misalnya, mempercayai segala sesuatu itu telah ditentukan oleh Allah samada seseorang itu menjadi miskin, kaya atau sebagainya. Oleh itu, seseorang tidak perlu bersusah payah dan berusaha. Perkara ini tidak betul kerana Allah telah menetapkan sesuatu sejak azali beserta sebab yang akan menjadi penyebabnya, segalanya bergantung kepada usaha dan ikhtiar manusia.

Jika manusia itu ingin mencapai sesuatu hajat atau cita-cita perlulah ia ada usaha dan ikhtiar , berdoa dan bertawakal atau berserah diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Selepas itu, hendaklah ia redha sama ada hasil yang akan diterima baik mahupun di sebaliknya, janganlah berkata sesuatu yang menandakan rasa tidak puas hati dan tidak redha jika apa yang  diharapkan tidak tercapai dan belum dikabulkan.

Rasulullah bersabda, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah Radiallahu ‘Anhu ia berkata: sabda Rasulullah :

“Jikalau engkau terkena oleh sesuatu musibah, maka janganlah engkau berkata: Andai kata saya mengerjakan begini, tentu akan menjadi begini dan begitu. Tetapi berkatalah: Ini adalah takdir daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan apa sahaja yang dikehendaki olehnya tentu dia melaksanakannya, sebab sesungguhnya ucapan andai kata itu membuka pintu godaan syaitan.”

Oleh itu, marilah kita membersihkan jiwa kita dengan sentiasa redha dalam apa jua keadaan apatah lagi terhadap ketentuan yang telah ditetapkan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Jadikanlah diri kita insan yang benar-benar beriman dan bertaqwa, ta’at dan tawadhu’ ke atas perintah dan laranganNya. Mudah-mudahan kita mendapat ketenangan jiwa dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.