Wednesday, January 08, 2025

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA PUSAT DA’WAH ISLAMIAH DAN UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI


Pulaie, Rabu, 08 Rejab 1446 bersamaan 08 Januari 2025– 

Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah melakar sejarah apabila menandatangani Memorandum Persefahaman bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pagi tadi. Majlis penandatanganan memorandum tersebut telah berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Da’wah Islamiah. 

Antara objektif memorandum persefahaman tersebut dibuat ialah untuk meneroka bidang-bidang bersesuaian dan amalan-amalan terbaik bagi mewujudkan hubungan kerjasama dua hala yang menjurus ke arah kecemerlangan perkhidmatan Jabatan / Institusi dan sumber tenaga manusia yang dinamik dan unggul. Ia juga bertujuan untuk mewujudkan usaha berterusan dalam meninggikan dan menyerlahkan syi’ar Islam dengan memantapkan organisasi Jabatan dan memperkasakan sumber tenaga kerja bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Pembukaan Rasmi Pusat Da’wah Islamiah pada 1 Muharram 1406 bersamaan 16 September 1985 iaitu untuk menjadikan Islam sebagai “UGAMA YANG UTAMA” di Negara Brunei Darussalam dan seterusnya menjadikan Pusat Da’wah Islamiah sebuah institusi perkembangan dakwah Islam. Dan untuk mencapai ke arah tujuan itu, Baginda menyarankan untuk diadakan kerjasama dan pertukaran maklumat-maklumat dengan negara-negara Islam yang lain berhubung dengan perkembangan Islam secara teratur dan berkesan. 

Memorandum Persefahaman ini juga bertujuan untuk menjana minda, bertukar-tukar idea, berkongsi maklumat dan percambahan fikiran dalam bidang al-Qur’an, as-Sunnah, Aqidah dan Da’wah begitu juga untuk memperkasa dan menampilkan keilmuan lebih ramai sumber tenaga manusia dari kalangan anak tempatan sejajar dengan merealisasikan dan menjunjung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam semasa keberangkatan tidak berjadual ke Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. 

Tetamu Khas bagi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman ini ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Pusat Da’wah Islamiah; Yang Mulia Professor Dato’ Dr Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali; Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Penolong Pengarah Pusat Da’wah Islamiah, serta pegawai-pegawai kanan Pusat Da’wah Islamiah dan Dekan-Dekan Universiti Islam Sultan Sharif Ali. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Naqib bin Haji Awang, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah. Seterusnya Ucapan Alu-aluan daripada Yang Mulia Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Pusat Da’wah Islamiah. Diikuti dengan Ucapan daripada Professor Dato’ Dr Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali. Atur cara majlis juga dimuatkan dengan tayangan video korporat Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Pusat Da’wah Islamiah.

Menandatangani bagi pihak Pusat Da’wah Islamiah ialah Yang Mulia Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Pusat Da’wah Islamiah dan disaksikan oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Penolong Pengarah Pusat Da’wah Islamiah. Manakala bagi pihak Universiti Islam Sultan Sharif Ali ialah Yang Mulia Professor Dato’ Dr Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, Dekan Fakulti Usuluddin dan disaksikan oleh Yang Mulia Dr Ahmad Baha bin Mokhtar, Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali. 

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman ini turut disaksikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali. 

-TAMAT-