Adil bererti meletakkan sesuatu
pada tempatnya, iaitu memutuskan semua perkara di atas dasar kebenaran yang
digariskan oleh Islam dan bukan kerana mengikut hawa nafsu.
Disebutkan dalam hadits riwayat
Imam Abu Daud daripada Hanasy bahawa Ali ‘alaihissalam berkata:
“Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa sallam mengutusku ke Yaman sebagai hakim, lalu aku berkata, “ Wahai
Rasulullah, apakah engkau akan mengutusku sementara aku masih muda dan tidak
memiliki ilmu mengenai pengadilan?” Kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya
Allah akan memberi petunjuk kepada hatimu, dan meneguhkan lisanmu. Apabila ada
dua orang yang berbalah duduk di hadapanmu maka janganlah engkau memberi
keputusan sehingga engkau mendengar dari orang yang lain, sebagaimana engkau
mendengar dari orang yang pertama, kerana sesungguhnya keputudan akan lebih
jelas bagimu.” Ali berkata: “Setelah itu aku tetap menjadi hakim atau aku tidak
merasa ragu dalam memberikan keputusan.”
Contoh dalam aspek kepimpinan, Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa sallam merupakan seorang pemimpin yang sangat jujur dan
adil di kalangan umat manusia. Sekiranya baginda tidak adil dalam kepimpinan
baginda, pasti rakyat membenci dan bangkit menentang mereka. Keadilan yang
baginda amalkan terserlah apabila baginda sendiri mengatakan bahawa baginda
sanggup menghukum anak baginda Fatimah dengan hukum hudud sekiranya dia
melakukan maksiat sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadits yang
diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha, Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang maksudnya:
“Demi Allah, seandainya
Fatimah binti Muhammad mencuri, aku sendiri akan memotong tangannya.”
Seorang pemimpin yang adil,
sepatutnya tidak boleh terpengaruh dengan kedudukan orang yang akan dihukum
sama ada mereka itu orang yang disenangi atau dibenci, mempunyai kaitan
kekeluargaan ataupun orang lain.
Keadilan merupakan dasar ajaran
Islam yang mesti ditegakkan. Sebaliknya, apabila keadilan diketepikan dan
diabaikan, perpecahan dan kehancuran di kalangan umat pasti akan berlaku. Sebab
itulah baginda menyeru seluruh umat baginda terutama para pemimpin dan hakim
untuk sentiasa berlaku adil, dan telah menyatakan kedudukan dan keistimewaan
pemimpin yang adil di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana yang
disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada
Zuhair, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang
berlaku adil, kelak di sisi Allah berada di atas mimbar yang terbuat dari
cahaya, di sebelah kanan ar-Rahman ‘Azza wa jalla, iaitu orang -orang yang
berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka.”
Petikan daripada: Buku Bercermin Pada Akhlak Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam, Pusat Da'wah Islamiah