Tuesday, May 29, 2012

ULANGTAHUN ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu waTa'ala kerana dikurniakan sebuah negara yang aman damai, makmur dan harmoni. Oleh sebab itu kita mestilah sentiasa menjaga kesejahteraan yang kita nikmati ini dengan sebaik-baiknya iaitu dengan memperbanyakkan syukur kepada Allah Subhanahu waTa'ala. Semoga dengan syukur itu Allah Subhanahu Wata'ala akan menambahkan dan mengekalkan nikmat-Nya, menjauhkan kita daripada sebarang malapetaka dan kemurkaan serta azab sengsara sepertimana firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam Surah Ibrahim ayat 7:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Tafsirnya: "Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu : Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras".

Untuk mencapai kesejahteraan dan keamanan di sesebuah negara atau tempat bukannya suatu pekerjaan yang mudah malah memerlukan kepada pasukan keselamatan. Alhamdulillah, di negara kita terdapat pasukan-pasukan keselamatan yang diberi amanah untuk mempertahankan kedaulatan raja, agama, bangsa dan negara dan salah satunya ialah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, di mana pada 31 Mei ini genaplah usianya 51 tahun. Maka dalam usianya yang matang itu, sudah setentunya mereka mempunyai kekuatan dan kemampuan serta persediaan yang cukup dan mampu untuk menghadapi segala rintangan dan cabaran untuk menegakkan dan mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta ini.

Sesungguhnya tugas sebagai tentera adalah amat mulia, ia bukan tugas yang mudah tetapi banyak risiko dan berat tanggungjawabnya. Anggota tentera yang menjalankan tugasnya dengan amanah dan penuh dedikasi sangatlah kita sanjung tinggi dan hormati. Apa yang lebih penting juga, tugas yang mereka pikul ini amat besar ganjarannya apatah lagi jika disertai dengan niat ikhlas kerana Allah Subhanahu waTa'ala.

Akhirnya marilah kita sama-sama berdoa semoga anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa mendapat taufik dan hidayah serta sentiasa mendapat perlindungan Allah Subhanahu waTa'ala dan kita memohon kepada Allah supaya akan tertanam dalam jiwa mereka semangat cintakan agama, bangsa dan negara dan semangat rela berkorban. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa melindungi negara kita daripada ancaman musuh dan musibah. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 200:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اصْبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَاتَّقُواْ اللّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Tafsirnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan dan bersedialah dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya mencapai kemenangan".

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan