Saturday, July 21, 2012

Ramadhan Karim


Alhamdulillah bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan limpah kurnianya, kita diberi kesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadhan. Inilah yang selalu kita doakan agar dipertemukan dibulan yang penuh berkat.
اللهُمَّ بَارِك لَنَا في رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا فِي رَمَضَانَ
Ertinya: “Ya Allah berkatilah kami dibulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”

Ramadhan ialah bulan yang ke 9 dalam bulan Islam. Ia merupakan bulan yang penuh dengan limpah rahmat dan penuh keberkatannya. Dan juga merupakan satu bulan yang sentiasa ditunggu dengan penuh kegembiraan.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ .... (185)
Tafsirnya: “Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan sebagai keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

“Ramadhan Kaim” seringkali dikatakan oleh masyarakat Arab sebagai penghormatan atas datangnya bulan Ramadhan, bulan yang penuh rahmat dan keampunan. Bulan Ramadhan digelar Karim kerana bulan ini adalah bulan yang istimewa dan menyimpan banyak anugerah Allah yang dikhususkan bagi umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya terbuka luasnya pintu taubat dan ampunan serta dilipatgandakan pahala-pahala kebaikan, disamping rahsia agung yang terdapat pada malam lailatul qadar.

Perlu diketahui,apabila seseorang itu mengucapkan atau mengatakan “ Ramadhan Karim” maka hendaklah kita membalasnya dengan ucapan “Allahu Akram” (Allah Maha Pemurah). Jawaban ini patut diucapkan agar kita sedar bahawa Allah adalah zat yang maha pemurah lagi maha dermawan atas segala anugerah yang tak terhitung selama kita hidup di dunia ini.

Semoga Allah menerima ibadah puasa kita dan semua amalan-amalan yang bakal kita lakukan disepanjang bulan Ramadhan. Dan semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala membantu kita untuk meneruskan amalan-amalan kita, bukan setakat dibulan Ramadhan sahaja akan tetapi secara berterusan sepanjang tahun, biarpun sedikit sebagaimana dalam hadits Aisyah Radhiallahu anha yang berkata :
عن عائشة رضى الله عنها قالت: قال النبي صلى الله عليه وسلم :وَإِنَّ أَحَبَّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ مَا دَامَ وَإِنْ قَلَّ
Maksudnya: “Baginda bersabda: Amalan yang paling disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”

*MB2*

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan