Thursday, May 07, 2015

Peranan Institusi Keluarga Dalam Melahirkan Generasi al-Quran

Dalam sesebuah institusi keluarga, ibu bapa merupakan orang yang pertama memberikan didikan terawal kepada anak-anak mereka. Ibubapa hendaklah mempunyai sifat atau keperibadian yang mulia untuk dijadikan sebagai role model atau contoh ikutan yang baik bagi anak-anak mereka. Setiap ibu bapa memang mengimpikan anak-anak mereka kelak akan menjadi anak-anak yang salih dan salihah. Merekalah pewaris yang bakal memanjangkan amal kedua ibubapanya walaupun kedua-duanya sudah tiada. Sebagaimana yang telah disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Imam at-Tirmidzi daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ صَدَقَةٌ جَارِيَةٌ وَعِلْمٌ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٌ صَالِحٌ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya
Apabila seseorang meninggal dunia,maka terputuslah segala  amalannya kecuali tiga pekara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak salih yang selalu mendoakan kedua ibubapanya.

Dalam hal ini anak-anak yang salih dan salihah adalah aset yang bakal membuahkan kebahagiaan ibu bapa di dunia dan di akhirat, justeru itu, ibubapa perlu ingat bahawa anak-anak adalah amanah daripada Allah Subhanahu Wata’ala yang mana menuntut tanggungjawab mereka untuk melaksanakan tugas dalam mendidik dan membentuk mereka dengan sesempurnanya terutama dalam memberikan didikan agama.

Di antara didikan yang perlu diberikan ialah dengan mengajarkan al-Quran. Ibu bapa hendaklah mengajarkan al-Quran kepada anak-anak mereka agar kelak menjadi generasi yang benar-benar beriman dan bertaqwa, membesar sebagai seorang muslim dan muslimah yang sentiasa terdidik dengan panduan al-Quran. 

Oleh yang demikian ibu bapa perlu terlebih dahulu menjadi seorang yang celik al-Quran dan turut melengkapkan diri mempelajari serta mendalami al-Quran supaya dapat mendidik anak-anak dengan kaedah yang betul. Oleh itu ibu bapa hendaklah sentiasa mencari  kaedah atau cara yang mudah untuk mereka mendekatkan diri dengan al-Quran demi kepentingan misi untuk sama-sama melahirkan generasi yang mengamalkan al-Quran. Antara kaedah-kaedah tersebut ialah: 

  • Ibu bapa hendaklah membiasakan diri untuk sentiasa membaca al-Quran. Dengan cara ini anak-anak juga akan dapat mengikut rentak mereka. Alunkanlah selalu bacaan ayat-ayat suci al-Quran di dalam rumah, bilik-bilik tidur,kereta dan sebagainya
  • Seandainya ibu bapa tidak mahir dalam membaca al-Quran maka dapatkanlah atau cari guru yang mampu membantu mereka untuk lancar dan mahir dalam membaca al-Quran dengan betul dan tepat.
  • Ibu bapa hendaklah mengkhususkan atau meluangkan masa untuk berkumpul bersama keluarga bagi bertedarus al-Quran. Dengan cara ini juga dapat merapatkan hubungan kekeluargaan.
  • Biasakan anak-anak untuk berinteraksi dengan al-Quran.
  • Semarakkan kehidupan berkeluarga dengan bercerita kisah-kisah tauladan para nabi yang disebutkan dalam al-Quran sebagai motivasi bagi anak-anak dalam membina akhlak dan keperibadian mereka.
  • Ibu bapa hendaklah membiasakan diri untuk mendengar dan menonton bacaan ayat-ayat suci al-Quran bersama anak-anak sama ada di radio atau televisyen.
  • Membacakan ayat-ayat suci al-Quran ditelinga anak-anak sebelum mereka tidur dan mengajarkan mereka untuk membaca potongan ayat-ayat al-Quran sebelum tidur.
  • Ibu bapa hendaklah mempunyai sikap sabar, ikhlas, tekun dan tabah dalam membentuk anak-anak berjiwa al-Quran. Walaupun rasanya berat untuk dilaksanakan, akan tetapi ianya adalah tanggungjawab yang wajib dilaksanakan. Allah subhanahu wata’ala akan memberikan ganjaran pahala bagi sesiapa yang melaksanakan tanggungjawab tersebut. Ini telah dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Baihaqi iaitu daripada Abu Hurairah radhialllahu’anhu baginda bersabda:
مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ فِي شَبِيْبَتِهِ اِخْتَلَطَ الْقُرْآنُ بِلَحْمِهِ وَدَمِهِ ، وَمَنْ تَعَلَّمَهُ فِي كِبَرِهِ فَهُوَ يَنْفَلِتُ مِنْهُ وَلاَ يَتْرُكُهُ ، فَلَهُ أَجْرُهُ مَرَّتَيْن ِ
Maksudnya:
Barangsiapa yang mempelajari al-Quran ketika masih muda, maka al-Quran itu akan menyatu dengan daging dan darahnya. Dan barangsiapa yang mempelajari al-Quran ketika dewasa, sedangkan ilmu itu akan lepas darinya dan tidak melekat pada dirinya (akan diajarkannya kepada orang lain), maka ia mendapatkan ganjaran pahala dua kali.






No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan