Saturday, December 17, 2016

Berbuat baik kepada kedua ibu bapa; bukan adat tapi tuntutan syara!


Dalam membina hubungan sesama manusia, memelihara hubungan dengan kedua ibu bapa adalah antara perkara keutamaan  yang perlu diambil berat  melebihi dari orang lain. Ini kerana tuntutan memelihara hubungan dengan kedua ibu bapa bukanlah berdasarkan adat atau kebiasaan yang diwarisi secara turun temurun akan tetapi ia lebih merupakan tuntutan syara. Malah mentaati perintah mereka selagi mana tidak bercanggah dengan perintah Allah Subhanahu Wataala dan laranganNya.

Allah Subhanahu Wataala berfirman di dalam alQuran menerusi surah Al Ahqaf ayat15 terjemahannya:
' Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.'

Malah di dalam hadits Rasullullah ada menyebutkan bahawa berbuat baik kepada kedua ibu bapa itu adalah lebih diutamakan berbanding tuntutan berjihad kepada Allah Subhanahu Wataala,
berjihad kepada Allah Subhanahu Wataala merupakan fardhu Kiffayah sedangkan berbuat kepada kedua ibu bapa  merupakan tuntutan fardhu 'ain.
 
Antara cara berbuat baik kepada kedua ibu bapa ada dinukilkan dalam firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah al Isra ayat 23-24 terjemahannya: 
' Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau ntidak menyembah melainkan kepadaNya, semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali,  sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar)sekalipun perkataan 'ah!' dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia( bersopan santun).  Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri  kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu,  dan doakanlah  (untuk mereka, dengan berkata): ' Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.'

Jika kedua ibu bapa tersebut telah meninggal dunia sekalipun, masih ada cara untuk berbuat baik kepada mereka. Antaranya ialah:
  • Menyempurnakan  urusan jenazah mereka dengan sebaiknya menurut tuntutan syara bermula daripada memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan sehinggalah sempurna mereka disemadikan.
  •  Berdoa untuk arwah ibu bapa dengan memohonkan keampunan kepada Allah Subhanahu Wataala kerana mendoakan ibu bapa itu merupakan di antara ciri-ciri anak yang soleh  dan mendoakan mereka akan memberi manfaat kepada mereka semasa di alam barzakh. Hal ini ada diterangkan  melalui apa yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, Rasullullah bersabda yang bermaksud: ' Sesungguhnya seseorang itu diangkat darjatnya di dalam syurga, lalu dia berkata: 'Dari manakah semua ini?' Maka dikatakan kepadanya: 'dari anakmu yang memintakan ampun untukmu.' Hadits riwayat Ibnu Majah.
  • Melaksanakan atau menyempurnakan janji atau wasiat yang telah dibuat oleh arwah ibu bapa semasa mereka masih hidup.
  • Memuliakan orang-orang yang dahulunya menjadi sahabat karib atau teman arwah ibu bapa. 
  • menziarahi kubur mereka malah ia merupakan perkara sunat mengikut hukum syara' khususnya bagi kaum lelaki.

Cara membuat baik kepada kedua ibu bapa seperti yang disebutkan tadi adalah berdasarkan petunjuk yang telah diberikan oleh Rasulullah   menerusi sebuah hadits yang driwayatkan oleh  Abu Usaid Radhiallahu Anhu.

     

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan