Wednesday, July 29, 2020

MEMINDAH DAGING KORBAN KE NEGERI LAIN




Pada dasarnya keharusan memindah daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain adalah bergantung kepada jenis ibadat korban yang dilakukan iaitu sama ada ibadat korban wajib atau sunat.

Kedua-dua ibadat korban ini mempunyai perbezaan hukum apabila dagingnya hendak dipindahkan ke negeri lain.

As-Sayyid al-Bakri ad-Dumyathi Rahimahullahu Ta’ala menjelaskan di dalam kitabnya Hasyiah I’anah  ath-Thalibin bahawa di dalam kitab an-Nihayah telah diputuskan mengenai memindahkan daging korban dari negeri tempat korban itu dibuat hukumnya adalah haram sepertimana juga dalam hal memindah zakat, sama ada korban itu korban sunat atau korban wajib. Adapun yang dimaksudkan dengan korban sunat itu ialah bahagian yang wajib disedekahkan kepada  fakir dan miskin.

Untuk lebih jelas, berikut diterangkan hukum memindah daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain mengikut jenis ibadat korban :

·       Korban Wajib :
Kesemua daging korban wajib daripada binatang yang disembelih itu wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin dalam keadaan mentah. Oleh itu, haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada negeri tempat binatang korban itu disembelih. Inilah pendapat jumhur ‘ulama asy-Syafi’iyyah.

Apa yang perlu dibuat dalam hal ini, daging daripada binatang korban wajib itu wajib diagihkan kesemuanya kepada golongan fakir dan miskin di negeri (tempat) di mana binatang korban itu disembelih.

·       Korban Sunat :

Dalam korban sunat pula, terdapat bahagian daripada daging korban itu yang sunat dimakan atau dihadiahkan oleh orang yang berkorban dan terdapat juga bahagian yang wajib disedekahkan.

Dalam hal ini, bahagian atau hak orang yang berkorban itu sahaja yang harus dipindahkan ke negeri lain, sementara bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin pula wajib disedekahkan di negeri tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain.

Gambaran bahagian daging korban sunat yang boleh dipindahkan ke negeri lain itu adalah seperti berikut:

Dalam korban sunat adalah disunatkan membahagi daging binatang korban tersebut kepada tiga bahagian:

1.       Sepertiga (1/3) untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin.

Diwajibkan bagi orang yang berkorban untuk menyedekahkan sebahagian daripada daging korban sunat dalam keadaan mentah, iaitu tidak dimasak, kepada fakir dan miskin untuk dimiliki oleh golongan ini.

Oleh kerana bahagian (1/3) adalah untuk disedekahkan dan diagihkan kepada fakir dan miskin di negeri (tempat) binatang korban disembelih, maka haram ia dipindahkan ke negeri lain.
2.       Sepertiga (1/3) untuk dirinya sendiri.

Sunat hukumnya orang yang berkorban memakan sebahagian daripada sepertiga sembelihan korban sunatnya sebagai mengambil berkat. Bahagian ini harus dipindahkan ke negeri lain.
3.       Sepertiga (1/3) untuk dihadiahkan kepada orang kaya.

Orang yang berkorban sunat, harus menghadiahkan sebahagian daging korban sunatnya kepada orang kaya seperti ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan seumpamanya daripada kalangan orang Islam. Bahagian ini juga harus dipindahkan ke negeri lain.

Oleh yang demikian, sebagaimana yang dijelaskan bahawa bahagian yang hanya boleh dipindahkan ke negeri lain itu ialah bahagian daging untuk dirinya sendiri dan bahagian dihadiahkan kepada orang kaya. Manakala bahagian yang diperuntukkan kepada fakir dan miskin wajib diagihkan kepada fakir dan miskin yang berada di tempat orang itu menyembelih dan haram dipindahkan ke negeri lain.

MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN DI LUAR NEGERI

Selain daripada memindahkan daging korban ke negeri lain, tidaklah salah jika ingin melakukan ibadat korban di negeri yang dirasakan ramai orang yang lebih berhak menerima bahagian daging korban tersebut. Malah adalah diharuskan memindahkan wang dari satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban.

Perkara berkorban dan aqiqah di luar negeri ini pernah ditanyakan kepada Syeikh Mohammad bin Sulaiman al-Kurdi Rahimahullah Ta’ala sepertimana disebutkan dalam kitab Hasyiah I’anah ath-Thalibin. Pada masa itu telah menjadi kebiasaan orang-orang Jawi (kepulauan Melayu) berwakil kepada seseorang untuk membeli na’am (seperti lembu dan kambing) di Makkah untuk dijadikan aqiqah dan korban dan sedangkan orang yang hendak beraqiqah atau berkorban itu berada di negeri Jawi (di negerinya).

Beliau menjawab dengan berkata : “ Perbuatan sedemikian itu adalah sah dan harus berwakil membeli binatang korban dan aqiqah dan begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.” (Kitab I’anah ath’Thalibin: 2/381)
Namun begitu, dalam hal memindahkan daging korban itu juga adalah dibolehkan sekadar bahagian yang harus dipindahkan daripada korban sunat sahaja. Inilah yang dikatakan oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Rahimahullahu Ta’ala di dalam kitabnya Sabil Muhtadin ketika menukilkan perkataan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Rahimahullahu Ta’ala :

“Kata Syeikh saya, Muhammad bin Sulaiman : “Harus berwakil pada membeli na’am akan korban pada negeri yang lain dan pada menyembelih dia dan pada membahagikan dagingnya bagi segala miskin negeri itu.”

Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Rahimahullahu Ta’ala kemudian berkata : “ Maka iaitu zahir sama ada negeri Makkah atau lainnya tetapi jangan dipindahkan dagingnya dari negeri tempat berkorban kepada negeri yang lain maka iaitu haram.. dan sayugianya hendaklah yang berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil pada masalah ini wallahu a’alam. (Kitab Sabil al-Muhtadin : 228).

Kemudian Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Rahimahullahu Ta’ala berkata lagi : “Jikalau berwakil seseorang akan seseorang pada berkorban di negeri lain kerana menghasilkan murah umpamanya hendaklah disedekahkan oleh wakil akan dagingnya bagi fakir dan miskin negeri itu dan janganlah dipindahkannya akan sesuatu daripada dagingnya daripada negeri itu ke negeri yang berwakil melainkan sekadar yang sunat ia memakan dia itupun jika ada korban itu sunat (adapun) jika ada korban itu wajib maka wajiblah atas wakil menyedekahkan sekaliannya pada fakir di dalam negeri tempat berkorban itu (dan haram) atasnya memindahkan suatu daripadanya ke negeri yang lain (Kitab Sabil al-Muhtadin : 230)
والله أعلم بالصواب



Petikan daripada Irsyad Hukum 2014, Jabatan Mufti  Kerajaan.

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan