Monday, April 10, 2023

BERINFAQ DI BULAN RAMADHAN

 

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah at-Taubah ayat 103 yang tafsirnya :

Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka. Dan doakanlah mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi sebab ketenteraman jiwa mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Amalan infaq termasuklah ibadah zakat yang kita tunaikan di bulan Ramadhan ini akan dapat membersihkan diri dan memperelokkan puasa kita daripada pencemaran dosa dan maksiat. Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjanjikan ganjaran yang besar kepada hambanya yang berzakat dan bersedekah berbeza dengan bulan-bulan yang lain.

Setiap amalan yang dilakukan di dalam bulan Ramadhan, sama ada ibadah wajib atau sunat akan dikurniakan Allah Subhanahu Wa Ta’ala ganjaran pahala yang berganda-ganda, termasuklah memberi makan kepada orang yang hendak berbuka puasa.

Dalam bulan Ramadhan juga, Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah mensyariatkan kepada kita zakat fitrah. Zakat Fitrah difardhukan bertujuan untuk membantu fakir dan miskin agar mereka dapat sama-sama bergembira dan menikmati makanan semasa menyambut Hari Raya. Janganlah kita bakhil untuk menginfaqkan sedikit harta kita di bulan Ramadhan yang penuh rahmatNya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Ali ‘Imran ayat 180 yang tafsirnya:

Dan janganlah sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kurnia kemurahanNya (enggan mengeluarkan harta di jalan Allah dan tidak mahu membayar zakat) menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka.   Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari Kiamat kelak. Dan kepunyaan Allah jualah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.

 

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan