­

Saturday, November 30, 2024

Adil Terhadap Anak-Anak

Islam sangat menitikberatkan hak dan kedudukan setiap manusia agar setiap individu itu mendapat keistimewaan masing-masing dengan adil tanpa memudharatkan individu yang lain berlandaskan hukum syara’.

Begitu juga perihal anak. Anak merupakan zuriat yang diamanahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada setiap pasangan suami isteri yang dikurniakanNya. Mereke mempunyai hak tersendiri yang perlu dipenuhi dan dipelihara oleh ibu bapa mereka agar perlindungan dan kebajikan mereka sentiasa terjamin. Jika pasangan suami isteri itu dikurniakan anak yang ramai, mereka wajib memperlakukan anak-anak mereka secara adil dalam semua aspek kerana keadilan itu menjadi tonggak keharmonian dan kesejahteraan dalam sesebuah keluarga, masyarakat dan negara.

Imam al-Baihaqi dalam kitab sunannya meriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang terjemahannya:

“Berlaku adillah antara anak-anak kamu! Berlaku adillah antara anak-anak kamu!”

Dalam hal kehidupan berkeluarga, ibu bapa dilarang untuk membeza-bezakan setiap anak sama ada anak lelaki atau anak perempuan. Anak lelaki mahupun anak perempuan anak ni’mat kurniaan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan berguna kepada ibu bapa di dunia dan di akhirat kelak. Oleh itu, anak-anak wajib dilayan secara adil sejak kecil lagi supaya  mereka dapat menikmati dan menghayati erti hakikat keadilan sehingga mereka membesar nanti akan menjadi manusia yang adil dalam semua tindak tanduk mereka.

Keadilan ini pula merupakan tali penghubung kasih sayang antara anak-anak sesame mereka dan anak-anak dengan ibu bapa. Ketidakadilan antara anak-anak pasti akan menumbuhkan kebencian antara anak-anak dan akan menimbulkan permusuhan antara mereka dengan ibu bapa mereka itu sendiri. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam surah an-Nahl ayat 90 yang terjemahannya:

“Sesungguhnya Allah memerintahkan supaya (kamu) berlaku adil dan berbuat kebaikan serta membantu (dan mengukuhkan silaturahim) kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepada kamu supaya kamu sentiasa beringat.”

Dalam konteks ini, adil terhadap anak-anak di antaranya adalah merangkumi:

1)      Kasih Sayang

Sifat kasih sayang adalah fitrah semula jadi yang Allah Subhanahu wa Ta’ala kurniakan dalam naluri setiap insan dan ia amat penting dalam membina sebuah keluarga yang kukuh, bahagia dan harmoni. Hubungan keluarga itu bergantung kepada ikatan mesra dan kasih sayang antara ibu dan bapa dengan anak-anak mereka.

Perasaan ini dapat ditonjolkan melalui tindakan ibu dan bapa itu sendiri seperti:

i.                     Bercakap dengan kata-kata yang baik,

ii.                   Menunjukkan sifat kelembutan dan kesopanan serta

iii.                 Memberikan kegembiraan kepada mereka.

Justeru, tuntutan agama untuk berlaku adil kepada anak-anak dengan mengambil kira sudut perasaan, emosi dan hak mereka untuk mendapatkan kasih sayang.

Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, seorang anak lelaki datang kepadanya lalu dia mengambilnya, menciumnya dan meletakkan anak lelaki tersebut di atas pangkuannya. Kemudian seorang anak perempuannya pula datang kepadanya tetapi dia hanya mengambil dan meletakkannya di atas pangkuannya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pun bersabda:

“Mengapa kamu tidak memperlakukan kedua-duanya secara adil?”

(Terjemahan Makna Hadits Imam al-Baihaqi)

 Ibu bapa tidak boleh bersikap pilih kasih kepada salah seorang atau sebahagian daripada anak-anak mereka kerana sikap ini tidak baik untuk perkembangan psikologi anak-anak hingga memicu rasa sedih, kecewa dan iri hati dalam diri mereka.

Ibu bapa perlu membahagikan kasih sayang secara sama rata agar tidak berlaku berat sebelah. Masing-masing anak itu ada keistimewaan mereka tersendiri.Ada yang mungkin pandai dari segi akademik, jaguh dalam bersukan, ringan tangan membantu kerja-kerja rumah dan begitu juga seterusnya.

2)      Pemberian/Hadiah

Konsep keadilan dan kesamarataan dalam Islam adalah meletakkan sesuatu perkara sesuai pada tempat, waktu dan kadarnya tanpa dilebihkan atau dikurangkan serta tidak diawalkan atau dilewatkan.

Ibu dan bapa tidak boleh melebihkan pemberian kepada sebahagian anak mereka tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan dari anak-anak yang lain malah melebihkan pemberian kepada sebahagian anak berbanding anak yang lain juga tidak sepatutnya berlaku kerana akan mengakibatkan permusuhan dan terputusnya silaturrahim.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab shahihnya ada menyatakan:

Bahawa suatu hari ketika an-Nu’man bin Basyir berada di atas mimbar, dia berkata: “Suatu hari bapaku memberi kepadaku satu pemberian.” Lalu ‘Amrah binti Rawahah (Isteri kepada Basyir dan ibu kepada Nu’man) berkata: Saya tidak redha (pemberian ini) sehinggalah kamu terlebih dahulu menjadikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam saksi terhadapnya. Lalu bapaku pergi berjumpa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan berkata: “ Sesungguhnya saya telah berikan kepada anak saya Bersama ‘Amrah bin Rawahah ini satu pemberian, akan tetapi ‘Amrah meminta saya menjadikan tuan sebagai saksi wahai Rasulullah.” Tanya Baginda kepada beliau: “Engkau telah beikan kepada semua anakmu pemberian yang sama?” Jawab beliau: “Tidak.” Baginda bersabda : “Bertaqwalah kamu kepada Allah dan berlaku adillah di antara anak-anakmu.” Kata Nu’man: Lalu bapa saya pulang dan menarik semula pemberiannya.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaih wa sallam sendiri menitikberatkan dan menuntut ibu bapa agar bersikap adil dengan kesemua anak-anak mereka dalam hal pemberian supaya tidak mengetepikan hak anak-anak yang lain. Apa jua yang berbentuk pemberian atau hadiah daripada ibu bapa kepada anak-anak mereka, mestilah diberikan secara adil dan sama rata tanpa memilih anak mana yang untuk didahulukan apalagi sekiranya pemberian atau hadiah tersebut hanya untuk anak yang tertentu sahaja.

Melebihkan sebahagian anak dalam pemberian berbanding anak yang lain adalah haram melainkan jika dibenarkan oleh syara’ seperti ketidakmampuan dan keperluan.

3)      Pendidikan

Anak-anak hendaklah dibentuk berlandaskan ajaran al-Qur’an dan as-Sunnah serta dibina atas dasar ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Ibu dan bapa bertanggungjawab memastikan aqidah dan akhlak anak-anak mereka tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Ibu dan bapa juga hendaklah menjadi contoh tauladan yang baik kepada anak-anak mereka dengan memberikan bimbingan dan nasihat kepada mereka sejak dari kecil lagi berlandaskan ajaran agama Islam supaya aqidah dan iman mereka terus teguh dan mantap serta tidak akan diganggu oleh sebarang anasir kemungkaran dan kezaliman.

Pembentukan dan pengaplikasian Pendidikan ini perlu sejajar meliputi setiap anak-anak tanpa ada yang terkecuali atau hanya segelintir anak sahaja. Sebagai contoh, Ibu bapa mendidik anak-anak mereka untuk mengerjakan sembahyang dari kecil tanpa memilih anak-anak yang tertentu sahaja.

Ibu bapa juga jangan mengambil remeh dalam pengurusan anak-anak mereka dengan menangguh-nangguhkan dalam memberikan pengajaran.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mengerjakan sembahyang ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika mereka berumur sepuluh tahun serta pisahkanlah mereka dari tempat tidur mereka.

(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Imam Abu Daud)

Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak mereka untuk berbuat baik dan berperilaku yang baik tetapi janganlah secara berlebihan atau keras dalam membuat sebarang tindakan.

Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Seorang mu’min itu bukanlah orang yang suka mencela, melaknat, berperilaku keji dan suka berkata kasar.

(Terjemahan Makna Hadits Imam at-Tirmidzi)

Di samping itu anak-anak perlulah dididik dengan pergaulan yang baik sesama mereka. Anak-anak yang lebih kecil perlu dididik agar menghormati saudaranya yang lebih tua dan sebaliknya saudara yang lebih tua perlu bersikap tolak ansur dan belas kasihan terhadap adik-adik yang lebih kecil. Sikap seperti ini adalah amat penting bagi memastikan keharmonian dalam sesebuah keluarga.

Kesimpulan

Anak-anak adalah pelengkap kebahagiaan dalam kehidupan berumahtangga. Anak yang salih menjadi penyejuk dan permata hati ibu bapa yang juga akan menjadi saham akhirat yang tidak ternilai untuk mereka. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Apabila seseorang meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak yang shalih yang selalu mendoakan kedua ibu bapanya.

(Terjemahan Hadits Riwayat Imam Muslim)

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Sesungguhnya seseorang itu diangkat darjatnya di dalam syurga, lalu dia berkata: “Dari manakah semua ini?” Maka dikatakan kepadanya: “Dari anakmu yang memintakan ampun untukmu.”

(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Imam Ibnu Majah)


Petikan dari Majalah al-Huda April 2024M/1445H, Pusat Da'wah Islamiah 

Wednesday, October 09, 2024

SAIYINDA ALI BIN ABI THALIB

 


·       Sayidina Ali Bin Abi Thalib dilahirkan pada tahun Gajah, lebih kurang 610 Masehi, 23 tahun sebelum hijrah. Para sejarahwan mengatakan bahawa beliau lahir di lingkungan Ka’bah. Sayidina Ali Bin Abi Thalib ialah saudara sepupu Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Beliau dilahirkan di dalam Masjidil Haram tiga tahun  sebelum Nabi Muhammah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam berkahwin dengan Sayidatina Khadijah. Selepas kelahirannya Rasulullah mengambil, mengasuh dan memperlakukannya seperti anak sendiri.

·       Sayidina Ali memiliki rupa paras yang menarik, tampan dan kacak. Beliau seorang yang mulia, suka berjenaka dan lemah lembut  terhadap orang yang lemah terutamanya kaum wanita, suka memberi maaf kepada musuh dan sesiapa yang bersalah terhadapnya. Beliau mula bertindak sebagai pengawal peribadi Rasulullah ketika beliau baru berusia sekitar 13 ke 14 tahun.

·       Sayidina Ali merupakan orang yang terakhir yang berhijrah ke Madinah. Beliau telah ditugaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam untuk menggantikan baginda di atas tempat tidurnya di malam hari untuk mengelirukan orang -orang kafir Quraisy Makkah. Ketika itu, orang-orang Quraisy sudah sepakat untuk membunuh Rasulullah, namun Allah telah mewahyukan kepada baginda akan rancangan mereka dan memerintahkan supaya baginda berhijrah Sayidina Abu Bakar. Sayidina Ali menggantikan tempatnya dengan hati yang penuh rela dan gembira.

·       Kasih sayang Rasulullah terhadap Sayidina Ali tidak berbelah bagi. Ini terbukti bila baginda menerima lamaran Ali terhadap puterinya Sayidatina Fatimah Az-Zahra. Mereka ditunangkan sebelum Perang Badar, tetapi hanya dikahwinkan 3 bulan sesudahnya. Ketika itu Sayidina Ali berusia 21 tahun dan Sayidatina Fatimah berumur 18 tahun. Perkahwinan mereka berjalan dengan baik dan bahagia. Mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Sayidina Hasan dan Sayidina Husin Radhiallahu ‘anhuma, cucu kesayangan Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam.

·       Sayidina Ali selalu hadir dalam setiap peperangan bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam kecuali Perang Tabuk, kerana beliau ditugaskan oleh Rasulullah untuk menggantikan tugas baginda di Madinah. Sayidina Ali dilantik menjadi khalifah kaum muslimin pada tahun 34 Hijrah selepas berlakunya pembunuhan Usman. Perlantikan beliau adalah atas permintaan sebahagian besar rakyat, memandangkan ciri-ciri kepimpinan yang ada pada beliau.

·       Pada 19 Ramadhan tahun 40 Hijrah, sewaktu sembahyang Subuh di Kuffah, beliau membangunkan orang-orang yang tidur di masjid untuk membawa mereka berjemaah bersama, salah seorang daripadanya ialah Ibnu Muljam. Ketika mengimamkan sembahyang dalam sujud beliau, pedang Ibnu Muljam menimpa kepala Sayidina Ali dan tetakannya sangat dalam.Ibnu Muljam melarikan diri dan dikejar oleh beberapa Jemaah yang lain, walaupun terganggu, Sayidina Ali menyelesaikan juga sembahyangnya. Setelah selesai beliau tersandar di tangan anak-anak beliau iaitu Sayidina Hasan dan Sayidina Husin. Beliau hidup dua hari lagi selepas kejadian tersebut. Kehidupan beliau sejak permulaan sehingga akhirnya penuh dengan perbuatan mulia, beliau melantik anaknya Sayidina Hasan sebagai Khalifah selepasnya. Beliau dikebumikan di Najaf, kira-kira dua batu dari Kuffah menurut wasiatnya.


Petikan daripada Majalah Muslimin, 2014

Wednesday, September 18, 2024

HAMZAH BIN ABDUL MUTHALIB (PENGHULU PARA SYUHADA)

 

·       Hamzah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf al-Quraisyi atau dipanggil dengan Abu Hamzah dan digelar juga sebagai Sayyid asy-Syuhada’.

·       Dilahirkan di Makkah dua tahun sebelum kelahiran Rasulullah. Beliau merupakan bapa saudara Rasulullah.

·       Semasa Perang Badar, beliau memperlihatkan keberaniannya yang luar biasa dalam mengalahkan pihak musuh. Disebabkan keberaniannya ini lah beliau mendapat gelaran أسد الله (singa Allah) dan أسد الرسول (singa Rasulullah).

·       Dalam perang kedua iaitu Perang Uhud, pihak musyrikin telah merancang untuk membunuh beliau kerana beliau telah banyak membunuh sanak saudara mereka.

·        Isteri Abu Sufyan, Hindun, menaruh dendam terhadap beliau kerana beliau telah membunuh ayah Hindun.

·       Hindun mengupah seorang hamba bangsa Habsyi yang bernama Wasyi untuk membunuh Hamzah dengan memberi ganjaran untuk membebaskannya serta hadiah yang istimewa.

·      Wasyi melemparkan tombaknya tepat ke dada Hamzah.

·       Hindun mencari mayat  Hamzah untuk melepaskan dendamnya. Lalu dia membelah dada Hamzah dan menggigit jantung beliau.

·      Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam menangis dengan pemergian Hamzah kerana dengan kewafatan Hamzah maka berakhirlah keperkasaan dan kekebalan Singa Allah.

 

Petikan daripada Majalah Muslimin Februari 2017

Wednesday, September 04, 2024

Shalawat Ke Atas Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam Bukti Kecintaan Umat Islam


Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam Surah al-Ahzab ayat 56:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّۚ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا٥٦

"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya bershalawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Bershalawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan."

Demikianlah firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang menerangkan bahawa Allah dan para malaikat bershalawat kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam. Maksud shalawat Allah kepada Nabi Muhammad ialah pujian dan pengagungan Allah kepada Baginda. Sementara maksud shalawat para malaikat ialah mendoakan keberkatan kepada baginda. Ayat di atas dilanjutkan dengan perintah agar kita umat Islam turut bershalawat kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam.

Bershalawat kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah salah satu bukti kecintaaan seseorang kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Bershalawat kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam merupakan ibadat yang mulia dan terpuji yang tidak sewajarnya dipandang ringan oleh setiap umat Islam. Sebagai tanda mengasihi Rasulullah juga, setiap umat Islam berkewajipan mengasihi dan mencintai Rasulullah dengan menjalani kehidupan berdasarkan sunah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Ini sesuai dengan kedudukan shalawat itu sendiri yang memiliki berbagai fadhilat di sisi Allah. Ia mengandungi pelbagai kelebihan dan mendapat syafa’at dari Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

"Barangsiapa yang bershalawat ke atasku sekali, Allah akan bershalawat ke atasnya sepuluh kali."

(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Imam Muslim)

Dan diriwayatkan daripada 'Abdullah bin Mas'ud Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa sallam bersabda :

"Seutama-utama manusia di sisiku pada hari Kiamat adalah orang yang paling banyak bershalawat ke atasku."

(Terjemahan Makna Hadits Hasan Gharib Riwayat Imam at-Tirmidzi)

Justeru itu marilah kita sentiasa bershalawat kepada baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaih wa sallam yang akan menjadi bukti kecintaan kita kepada baginda.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ


Tuesday, August 20, 2024

JADILAH BELIA AL-FATIH

 


Siapakah al-Fatih? Baginda adalah Sultan Muhammad al-Fatih, seorang khalifah kerajaan Uthmaniyyah ke-7 yang telah membuka kota Konstantinopel. Menurut riwayat, baginda adalah seorang belia pencinta ilmu yang sangat kuat peribadinya, berani, bijak serta sentiasa tawadhu’ dan kuat beribadat.

Kehebatannya terserlah dengan menguasai pelbagai ilmu dalam beberapa bidang antaranya seperti ketenteraan, sains, kejuruteraan, falsafah dan Matematik. Selain itu baginda dapat menguasai pelbagai Bahasa seperti Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki dan Farsi. Baginda sentiasa menjadikan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai pegangan dan panduan teguh dalam mengatur strategi pentadbiran. Sultan Muhammad al-Fatih menjadikan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam sebagai ikon dan tempat rujukan yang paling disanjungi. Akhirnya di bawah kepimpinan baginda, Kota Konstantinopel telah berjaya ditawan oleh kerajaan Islam pada masa itu. Kehebatan baginda diakui oleh ahli sejarah barat sehingga baginda digelar sebagai “Grand Seigneur” iaitu pemimpin agung.

Selain daripada peribadi Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam, inilah juga contoh seorang belia, pemimpin yang patut dicontohi oleh belia muslim pada masa ini. Lebih-lebih lagi dengan kepesatan era globalisasi kini sentiasa mencabar dan kadangnya menjejaskan kualiti akhlak dan peribadi manusia.

Oleh yang demikian, para belia Islam hendaklah menyediakan benteng dengan meletakkan Islam sebagai cara hidup iaitu dalam cara berfikir dan bertindak. Para belia hendaklah meletakkan aqidah dan Syariah sebagai landasan, berakhlak mulia serta sentiasa menjaga halal dan haram dalam setiap tindakan. Percayalah, dengan teras kehidupan Islam, para belia in sha Allah akan dapat menyelamatkan diri mereka dari terpesong ke lembah kemungkaran dan seterusnya masa depan negara akan dipimpin oleh pencinta ugama, bangsa dan negara.

Justeru itu, marilah sama-sama menghayati ciri-ciri tokoh-tokoh Islam terdahulu khasnya dalam membentuk masa depan generasi belia. Jadilah belia al-Fatih yang akan sentiasa memberi sumbangan kepada ugama Islam dan seterusnya contoh yang dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia.

Wednesday, July 17, 2024

Masih Ada Allah Tempat Mengadu

Cabaran dan dugaan adalah merupakan fitrah kehidupan.  Tidak dinafikan kadang-kadang kita sebagai manusia akan hilang pertimbangan dalam menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan yang mendatang. Namun walau sebesar manapun dugaan hidup yang dihadapi maka kita sebagai umat Islam hendaklah menghadapinya dengan penuh kesabaran kerana setiap dugaan yang datang itu merupakan ujian Allah Subhanahu wa Ta’ala bagi meningkatkan martabat seseorang di sisi-Nya.

Dalam isu kesihatan mental, Islam sangat menitikberatkan kesihatan mental kerana perkara tersebut merupakan asas kepada kesejahteraan seseorang individu. Untuk memiliki mental yang sihat, seseorang individu itu memerlukan rohani yang sihat sebagai peneraju utama.

Justeru, cara untuk mendapatkan rohani yang sihat dan hati yang tenteram adalah dengan melakukan perkara yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan menjauhi perkara yang haram. Sebagai umat Islam, keperluan rohani perlulah diisikan dengan sentiasa mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala di setiap saat iaitu dengan mendirikan sembahyang serta amalan-amalan yang lain yang dianjurkan oleh Islam seperti puasa, berzikir dan sebagainya. Sesungguhnya memiliki kepercayaan dan keyakinan yang utuh terhadap Maha Pencipta akan menjadikan seseorang itu merasa lebih tenang, tenteram dan redha kerana adanya Allah tempat berdoa dan mengadu.

SEMBAHYANG

Sembahyang adalah ibadat yang paling utama. Allah Subhanahu wa Ta’ala memberikan satu jaminan kepada orang yang melakukan sembahyang dengan khusyuk dan bersungguh-sungguh bahawa dia tidak akan terjerumus kepada perbuatan yang keji dan mungkar. Pastinya, orang yang teguh imannya tetap saja akan meyakini kebenaran janji Allah Subhanahu wa Ta’ala ini dan mempercayai bahawa melalui sembahyang pasti akan dikurniakan ketenangan, jalan dan bantuan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Rasulullah juga menekankan bahawa orang yang berjaya dan menang adalah mereka yang sentiasa menjaga sembahyangnya dan sebaliknya bagi mereka yang melalaikannya. Imam at-Tirmidzi dalam kitab jami’nya meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ

Maksudnya:

Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada Hari Kiamat daripada sekalian amalnya ialah sembahyangnya. Jika sembahyangnya baik maka dia akan berjaya dan menang, jika sembahyangnya rosak maka dia akan rugi serta menyesal.

Sembahyang merupakan tali penghubung antara hamba dengan Rabbnya. Dengan yang demikian, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam menganjurkan umatnya agar memperbanyakkan doa dalam sujud. Luahkanlah setiap permasalahan kita, merintihlah dan berinteraksilah kepada Allah kerana pastinya Allah Subhanahu wa Ta’ala Maha Mendengar setiap doa dan rintihan hambaNya. Malah, jumhur ulama’ juga mengatakan bahawa, pada waktu sujud, berdoalah sebanyak-banyaknya kerana hati kita sangat akrab atau hampir denganNya.  Keadaan sujud juga dikatakan ialah waktu yang paling dekat antara hamba dengan penciptaNya.

Imam Muslim dalam kitab shahihnya meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِن رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ، فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Maksudnya:

"Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya, ialah dikala hamba itu sedang sujud (dihadapan Allah), oleh itu perbanyakkanlah doa dalam sujud."

Selain itu, Rasulullah juga menggalakkan umatnya untuk berqiyaamullail dan memperbanyakkan sembahyang-sembahyang sunat terutamanya pada waktu berkenaan. Imam at-Tirmidzi dalam kitab jami’nya meriwayatkan daripada Abu Umamah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:  

عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأْبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَهُوَ قُرْبَةٌ لَكُمْ إِلَى رَبِّكُمْ وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمَنْهَاةٌ عَنِ الْإِثْمِ

Maksudnya :

Hendaklah kamu berqiyaamullail (bertahajjud) kerana ia merupakan perjalanan orang shalih sebelum kamu. Sesungguhnya qiyaamullail mendekatkan kamu kepada Allah, menghalang melakukan dosa, kifarah di atas kejahatan dan mencegah penyakit daripada badan.

PERBANYAKKAN ZIKIR, ISTIGHFAR DAN MEMBACA AL-QUR’AN

Zikir juga merupakan satu terapi rohani yang sangat besar manfaatnya. Zikir boleh didefinisikan sebagai apa-apa yang disebut oleh lidah, sampai kepada hati, dan mendekatkan diri kita kepada Allah. Zikir juga merupakan pujian dan sanjungan  kepada Allah yang terdiri daripada nama-nama dan sifat-sifatNya. Zikir adalah ibadah yang paling mudah untuk dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa perlu berwudhu dan boleh dilakukan ketika kita sedang melakukan aktiviti lain.

 Ketenangan akan datang dengan berzikir secara istiqamah atau konsisten. Justeru, memperbanyakkan zikir antaranya mengucapkan tasbih (سُبْحَانَ الله), tahmid (اَلْحَمْدُلله), takbir    (اللهُ أكْبَر), tahlil (لَا إِلَٰهَ إِلَّا الله), istighfar (أَسْتَغْفِرُالله) dan lain-lain adalah satu kaedah untuk melahirkan jiwa yang sihat selain mampu menghilangkan kerisauan, memberikan ketenangan dan ketenteraman hati kepada pengamalnya. Amalan ini amat dititikberatkan oleh baginda Rasulullah Shalllallahu ‘alaihi wa sallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dalam kitab jami’nya, daripada Abu ad-Darda’, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam sabdanya :

 

أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أعْمَالِكُم، وَأَزْكَاها عِنْدَ مَلِيكِكُم، وأرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ، وخير لكم من إنْفَاق الذهب والفضة، وخير لكم من أن تَلْقَوا عَدُوَّكُمْ فَتَضْرِبُوا أعْنَاقَهُمْ ويَضْرِبوا أعْنَاقَكُم؟» قالوا: بلى، قال: ذكر الله -تعالى

Maksudnya:

Mahukah kamu aku khabarkan akan suatu amal kebajikan yang paling
baik bagi kamu, paling meningkatkan kedudukan kamu, paling disenangi oleh
Tuhanmu, bahkan lebih baik daripada menafkahkan emas dan perak dan lebih
mulia daripada perang dengan musuh kamu, baik ketika kamu kalah atau ketika
kamu menang? Jawab mereka: "Mahu, wahai Rasulullah". Sabda Baginda:
“Berzikirlah kepada Allah”.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengajar kita supaya sentiasa bermunajat, berdoa dan memohon kepada yang Maha Esa ketika senang atau susah agar bantuan Allah Subhanahu wa Ta’ala itu sentiasa ada bersama kita. Kita hendaklah sentiasa memohon kepada Allah dan meletakkan segala pergantungan kepadaNya termasuklah mengadukan hal, meminta perlindungan dan keselamatan daripadaNya. Sesungguhnya hanya kepada Allah jualah tempat hambaNya bergantung dan berserah sepenuhnya kerana Allah adalah sebaik-baik tempat bersandar.

Imam al-Bukhari dalam kitab shahihnya meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

 

إنَّ للهِ تَعَالَى مَلائِكَةً يَطُوفُونَ فِي الطُّرُقِ يَلْتَمِسُونَ أهْلَ الذِّكْرِ ، فِإِذَا وَجَدُوا قَوْمَاً يَذْكُرُونَ اللهَ – عَزَّ وَجَلَّ، تَنَادَوْا : هَلُمُّوا إِلَى حَاجَتِكُمْ ، فَيَحُفُّونَهُمْ بِأَجْنِحَتِهِم إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا.

Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang berkeliling di jalan mencari orang yang berzikir. Apabila mereka bertemu kelompok orang yang berzikir kepada Allah, mereka pun saling memanggil: Kemarilah kepada apa yang kamu hajatkan. Maka para malaikat menaungi mereka dengan membentangkan sayap-sayap mereka sehingga ke langit dunia.”

Terdapat pelbagai zikir yang boleh diamalkan yang berkait dengan konteks kesihatan mental. Antaranya Imam Abu Daud dalam kitab sunannya meriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya:

Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada penyakit sopak, gila (al-junun), kusta, dan penyakit-penyakit yang buruk.

Selain itu, Rasulullah juga menyarankan umatnya agar memperbanyakkan istighfar. Istighfar adalah salah satu bentuk zikir yang mempunyai pelbagai manfaat. Imam Abu Daud dalam kitab sunannya meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya:

Sesiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, dan daripada setiap kebimbangannya itu kelapangan dan dikurniakan kepadanya rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka.

Antara kaedah memiliki hati yang tenang juga adalah dengan membaca, memahami, menghayati isi kandungan al-Qur’an. Setiap huruf yang dibaca akan diberi balasan satu kebaikan. Setiap kebaikan dilipatkan menjadi sepuluh sebagaimana yang diterangkan dalam hadits tentang keutamaan membaca al-Qur’an yang lazim kita dengar adalah hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dalam kitab sunannya daripada ‘Abdullah Ibnu Mas‘ud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

 

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Maksudnya:

Siapa saja membaca satu huruf dari Kitabullah (Al-Qur’an), maka dia akan mendapat satu kebaikan. Sedangkan satu kebaikan dilipatkan kepada sepuluh semisalnya. Aku tidak mengatakan alif lam miim satu huruf. Akan tetapi, alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf.

 

BERSANGKA BAIK KEPADA ALLAH

Setiap hambaNya yang beriman hendaklah redha menerima kehendak dan ketentuan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan yakin bahawa dugaan tersebut memiliki hikmah yang besar.  Hendaklah bersabar menghadapinya tanpa keluh kesah malahan yakin bahawa ia adalah rahmat dariNya yang memberi peluang kepada seseorang untuk membersihkan diri dari dosa.

Imam Abu Daud dalam kitab sunannya meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu Nabi Muhammad Shallallahu ‘anhu wa sallam mengajar umatnya agar bersangka baik dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang merupakan salah satu daripada bentuk pemikiran positif :

إنّ حُسْنَ الظَّنِّ بِاللهِ تَعَالَى مِن حُسْنِ الْعِبَادَة

Maksudnya :

Sesungguhnya berprasangka baik kepada Allah bahagian dari ibadah kepada Allah.

Begitu juga, kita hendaklah sentiasa positif dan bersangka baik kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana setiap kesulitan itu pasti ada solusinya. Bagi umat Islam, mereka ada kekuatan akidah, iaitu keimanan kepada qadha’ dan qadar. Kita juga hendaklah percaya bahawa setiap ujian Allah itu telah ditetapkan menurut kemampuan hamba-Nya. Apa-apa pun perkara yang menimpa kita, Insya Allah ia akan menjadi kebaikan kalau dihadapi dengan sikap positif dan ikhtiar yang diikuti dengan doa yang berterusan.

Jelas bagi umat Islam, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah menggariskan panduan yang cukup bermakna. Justeru, jadikanlah setiap keresahan dan kegundahan hati sebagai isyarat untuk kita lebih memperbanyakkan amalan,zikir, istighfar dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Semoga apapun dugaan yang kita hadapi itu akan lebih memantapkan hubungan kita dengan Maha Pencipta, Allah Subhanahu wa Ta’ala. Aamin Ya Rabbal ‘aalamiin.

 

 


Thursday, June 27, 2024

SUMBANGAN HARTA UNTUK MEMBANTU

           


Bila Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi kita harta dan rezeki yang lebih ia bukanlah untuk kita mewah berbelanja, tetapi untuk kita lebih memberi. Ini kerana dalam setiap rezeki atau harta yang kita perolehi itu terdapat juga hak orang lain. Oleh itu, kita tidak boleh membelanjakannya sesuka hati atau sewenang-wenangnya walaupun kita memperolehinya melalui usaha keras.

Perlu diingat bahawa harta yang kita miliki sebenarnya bukanlah milik kita sepenuhnya bukanlah milik tetapi adalah milik Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mutlak. Harta dan rezeki yang kita miliki merupakan amanah daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada kita yang harus digunakan dengan sebaik-baiknya.

Harta dan rezeki yang diperolehi bukan hanya digunakan untuk kepentingan diri kita tetapi ia boleh dimanfaatkan atau diinfaqkan ke jalan yang diredhai Allah iaitu dengan cara bersedekah, menderma, mengeluarkan zakat atau waqaf. Di dalam Islam kita amat digalakkan untuk bersedekah dan membantu hamba Allah yang lain. Anjuran membelanjakan harta di jalan Allah ada dijelaskan dalam al-Qur’an sepertimana firmanNya dalam Surah al-Munafiqun ayat 10:

﴿وَأَنفِقُواْ مِن مَّا رَزَقۡنَٰكُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَ أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوۡلَآ أَخَّرۡتَنِيٓ إِلَىٰٓ أَجَلٖ قَرِيبٖ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّٰلِحِينَ١٠

“Dan belanjakanlah sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada kamu sebelum kematian datang kepada salah seorang daripada kamu lalu dia pun berkata. “Ya Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau tangguhkan kematianku hingga beberapa waktu lagi supaya aku dapat bersedekah dan aku termasuk dalam golongan orang-orang salih.”

Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala suka kepada orang-orang yang membelanjakan hartanya bagi membantu orang yang miskin, disedekahkan kepada orang yang memerlukannya atau dibelanjakan bagi kepentingan Islam. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 195:

﴿وَأَنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ١٩٥

“Dan belanjakanlah (harta yang ada pada kamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu sengaja menjerumuskan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan. Dan berbuat baiklah kamu kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.”

Sebenarnya infaq atau membelanjakan harta dengan bersedekah, menderma mengeluarkan zakat atau waqaf bukan sahaja dapat membantu golongan fakir miskin dan membantu orang yang memerlukan, bahkan ia juga dapat membantu diri kita sendiri. Melalui amalan infaq ini dapat melatih jiwa seseorang itu untuk menjadi orang yang belas kasihan, berkasih saying, jauh dari bersifat pentingkan diri sendiri dan sebagainya. Amalan infaq ini boleh mengelakkan kita daripada sifat kedekut, bakhil dan tamak. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 272:

﴿۞ ... وَمَا تُنفِقُواْ مِنۡ خَيۡرٖ فَلِأَنفُسِكُمۡۚ وَمَا تُنفِقُونَ إِلَّا ٱبۡتِغَآءَ وَجۡهِ ٱللَّهِۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِنۡ خَيۡرٖ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ٢٧٢

“Dan apa jua harta yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (pahalanya) untuk diri kamu sendiri. Dan kamu tidak pula membelanjakan (sesuatu) melainkan kerana mengharapkan keredhaan Allah. Dan apa jua harta yang kamu belanjakan, akan disempurnakan (ganjaran pahalanya) kepada kamu. Dan kamu pula tidak dianiaya (tidak dikurangkan pahala).”

Adapun berinfaq adalah sebagai tanda syukur dan ni’mat, rezeki yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada kita. Ia juga merupakan salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala sepertimana dijelaskan dalam surah at-Taubah ayat 99:

﴿.... إِنَّهَا قُرۡبَةٞ لَّهُمۡۚ سَيُدۡخِلُهُمُ ٱللَّهُ فِي رَحۡمَتِهِۦٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٩٩

“Ketahuilah sesungguhnya apa yang mereka belanjakan itu ialah suatu jalan yang mendekatkan mereka kepada Allah. Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmatNya (syurga). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.

Amalan membelanjakan harta di jalan Allah adalah termasuk kategori jihad di jalan Allah yang akan membawa keuntungan pahala berlipat ganda. Ini kerana amalan infaq merupakan suatu perjuangan membasmi kemiskinan, kefakiran dan kedhaifan umat Islam. Amalan infaq di jalan Allah ini mempunyai darjat yang tinggi dan mendapat balasan yang sangat besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala antaranya:

 

·         Dibalas Berlipat Ganda

Sebesar apa pun harta yang kita belanjakan di jalan Allah tidak akan mengurangi harta, malah Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menggantikan dan menambah hartanya dengan berlipat ganda. Jaminan Allah dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 261:

﴿مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنۢبُلَةٖ مِّاْئَةُ حَبَّةٖۗ وَٱللَّهُ يُضَٰعِفُ لِمَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ٢٦١

“Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah samalah seperti (menanam) sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan Allah menggandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurniaNya) lagi Maha Mengetahui.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala lagi dalam surah Saba’ ayat 39:

﴿قُلۡ إِنَّ رَبِّي يَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن يَشَآءُ مِنۡ عِبَادِهِۦ وَيَقۡدِرُ لَهُۥۚ وَمَآ أَنفَقۡتُم مِّن شَيۡءٖ فَهُوَ يُخۡلِفُهُۥۖ وَهُوَ خَيۡرُ ٱلرَّٰزِقِينَ ٣٩

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku meluaskan kurnia rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya antara hamba-hambaNya dan menyempitkannya (kepada sesiapa yang dikehendakiNya), dan apa sahaja yang kamu belanjakan (untuk kebaikan) maka Allah akan menggantikannya dan Dialah sebaik-baik pemberi rezeki.”

Ayat di atas merupakan jaminan bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menggantikan setiap harta yang dibelanjakan di jalan yang diredhaiNya. Umat Islam tidak perlu takut harta berkurang kerana infaq. Sebaliknya berinfaqlah sebanyak mungkin kerana ganjaran infaq di jalan Allah biarpun sedikit ianya amat besar nilainya di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Begitulah hebatnya infaq di jalan Allah, kerana Allah menjanjikan banyak fadhilat di sebalik kedermawaan seseorang yang rajin berinfaq.

·         Salah satu tanda Orang bertaqwa

Orang-orang yang menginfaqkan hartanya di jalan Allah termasuk dalam golongan orang-orang yang beriman dan bertaqwa sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 3:

﴿ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ٣

“Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib (yang tidak kelihatan oleh mereka seperti hari Kiamat, syurga dan neraka), dan mereka mendirikan sembahyang (dengan sempurnanya) dan membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka.

Alangkah besarnya ganjaran bagi orang-orang yang suka membelanjakan sebahagian rezeki dan hartanya dengan hati yang ikhlas dan hanya mengharapkan keredhaan Allah semata-mata. Orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah tanpa akan takut menjadi miskin, akan memperoleh rahmat yang menakjubkan dalam kehidupan mereka. Yakinlah bahawa setiap harta yang diberikan di jalan Allah itu akan beroleh pahala dan ganjaran daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Dalam amalan berinfaq ini, kita dilarang menyebut-menyebut atau mengungkit0ungkit sumbangan kita itu, kerana perbuatan yang demikian boleh merosakkan amalan berinfaq sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 262:

﴿ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ لَا يُتۡبِعُونَ مَآ أَنفَقُواْ مَنّٗا وَلَآ أَذٗى لَّهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ٢٦٢

“Orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan ungkitan dan tiada pula menyakiti (perasaan penerima), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidaklah ada ketakutan atas mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Kesimpulannya, infaq adalah amalan mulia. Berinfaq dengan penuh keikhlasan akan menjanjikan ganjaran pahala buat kita semua. Setiap perbuatan yang baik akan dibalas dengan kebaikan. Amalan infaq ini merupakan salah satu amalan yang dituntut untuk dihayati dalam kehidupan seharian sebagaimana sering dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Baginda amat terkenal sebagai seorang yang pemurah dan dermawan. Sesiapa sahaja yang dating meminta pertolongan kepadanya pasti akan dibantu oleh baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Baginda sangat menjunjung tinggi golongan pemurah dan dermawan yang membelanjakan hartanya kearah kebaikan. Inilah amalan mulia yang patut dicontohi dan dihayati oleh setiap umat Islam pada hari ini. Oleh itu, janganlah kita kedekut untuk mengeluarkan sebahagian rezeki kita untuk membantu orang yang memerlukannya. Ingatlah dalam setiap rezeki yang kita perolehi itu terdapat juga hak orang lain. Jadi, apalah salahnya jika berkongsi dengan orang lain.

Marilah kita beramal dengan menghulurkan sedekah sama ada dengan harta benda atau wang kepada yang memerlukan atau menderma wang kepada dana anak-anak yatim agar dapat meringankan beban mereka, atau kepada tabung-tabung masjid bagi menjaga dan memperkukuhkan lagi tempat-tempat suci agar terus berperanan sebagai pusat kebajikan. Kita juga boleh membantu saudara kita di Palestin yang sedang ditindas oleh musuh-musuh mereka dengan menderma ke Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin. Semoga dengan usaha ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka dan mempereratkan ikatan di antara umat Islam. Dan semoga dengan beramal sedekah ini akan menjadi saham kita di akhirat nanti dan mendekatkan diri kita lagi dengan Ilahi.