Saturday, November 30, 2024

Adil Terhadap Anak-Anak

Islam sangat menitikberatkan hak dan kedudukan setiap manusia agar setiap individu itu mendapat keistimewaan masing-masing dengan adil tanpa memudharatkan individu yang lain berlandaskan hukum syara’.

Begitu juga perihal anak. Anak merupakan zuriat yang diamanahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada setiap pasangan suami isteri yang dikurniakanNya. Mereke mempunyai hak tersendiri yang perlu dipenuhi dan dipelihara oleh ibu bapa mereka agar perlindungan dan kebajikan mereka sentiasa terjamin. Jika pasangan suami isteri itu dikurniakan anak yang ramai, mereka wajib memperlakukan anak-anak mereka secara adil dalam semua aspek kerana keadilan itu menjadi tonggak keharmonian dan kesejahteraan dalam sesebuah keluarga, masyarakat dan negara.

Imam al-Baihaqi dalam kitab sunannya meriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang terjemahannya:

“Berlaku adillah antara anak-anak kamu! Berlaku adillah antara anak-anak kamu!”

Dalam hal kehidupan berkeluarga, ibu bapa dilarang untuk membeza-bezakan setiap anak sama ada anak lelaki atau anak perempuan. Anak lelaki mahupun anak perempuan anak ni’mat kurniaan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan berguna kepada ibu bapa di dunia dan di akhirat kelak. Oleh itu, anak-anak wajib dilayan secara adil sejak kecil lagi supaya  mereka dapat menikmati dan menghayati erti hakikat keadilan sehingga mereka membesar nanti akan menjadi manusia yang adil dalam semua tindak tanduk mereka.

Keadilan ini pula merupakan tali penghubung kasih sayang antara anak-anak sesame mereka dan anak-anak dengan ibu bapa. Ketidakadilan antara anak-anak pasti akan menumbuhkan kebencian antara anak-anak dan akan menimbulkan permusuhan antara mereka dengan ibu bapa mereka itu sendiri. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam surah an-Nahl ayat 90 yang terjemahannya:

“Sesungguhnya Allah memerintahkan supaya (kamu) berlaku adil dan berbuat kebaikan serta membantu (dan mengukuhkan silaturahim) kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepada kamu supaya kamu sentiasa beringat.”

Dalam konteks ini, adil terhadap anak-anak di antaranya adalah merangkumi:

1)      Kasih Sayang

Sifat kasih sayang adalah fitrah semula jadi yang Allah Subhanahu wa Ta’ala kurniakan dalam naluri setiap insan dan ia amat penting dalam membina sebuah keluarga yang kukuh, bahagia dan harmoni. Hubungan keluarga itu bergantung kepada ikatan mesra dan kasih sayang antara ibu dan bapa dengan anak-anak mereka.

Perasaan ini dapat ditonjolkan melalui tindakan ibu dan bapa itu sendiri seperti:

i.                     Bercakap dengan kata-kata yang baik,

ii.                   Menunjukkan sifat kelembutan dan kesopanan serta

iii.                 Memberikan kegembiraan kepada mereka.

Justeru, tuntutan agama untuk berlaku adil kepada anak-anak dengan mengambil kira sudut perasaan, emosi dan hak mereka untuk mendapatkan kasih sayang.

Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, seorang anak lelaki datang kepadanya lalu dia mengambilnya, menciumnya dan meletakkan anak lelaki tersebut di atas pangkuannya. Kemudian seorang anak perempuannya pula datang kepadanya tetapi dia hanya mengambil dan meletakkannya di atas pangkuannya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pun bersabda:

“Mengapa kamu tidak memperlakukan kedua-duanya secara adil?”

(Terjemahan Makna Hadits Imam al-Baihaqi)

 Ibu bapa tidak boleh bersikap pilih kasih kepada salah seorang atau sebahagian daripada anak-anak mereka kerana sikap ini tidak baik untuk perkembangan psikologi anak-anak hingga memicu rasa sedih, kecewa dan iri hati dalam diri mereka.

Ibu bapa perlu membahagikan kasih sayang secara sama rata agar tidak berlaku berat sebelah. Masing-masing anak itu ada keistimewaan mereka tersendiri.Ada yang mungkin pandai dari segi akademik, jaguh dalam bersukan, ringan tangan membantu kerja-kerja rumah dan begitu juga seterusnya.

2)      Pemberian/Hadiah

Konsep keadilan dan kesamarataan dalam Islam adalah meletakkan sesuatu perkara sesuai pada tempat, waktu dan kadarnya tanpa dilebihkan atau dikurangkan serta tidak diawalkan atau dilewatkan.

Ibu dan bapa tidak boleh melebihkan pemberian kepada sebahagian anak mereka tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan dari anak-anak yang lain malah melebihkan pemberian kepada sebahagian anak berbanding anak yang lain juga tidak sepatutnya berlaku kerana akan mengakibatkan permusuhan dan terputusnya silaturrahim.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab shahihnya ada menyatakan:

Bahawa suatu hari ketika an-Nu’man bin Basyir berada di atas mimbar, dia berkata: “Suatu hari bapaku memberi kepadaku satu pemberian.” Lalu ‘Amrah binti Rawahah (Isteri kepada Basyir dan ibu kepada Nu’man) berkata: Saya tidak redha (pemberian ini) sehinggalah kamu terlebih dahulu menjadikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam saksi terhadapnya. Lalu bapaku pergi berjumpa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan berkata: “ Sesungguhnya saya telah berikan kepada anak saya Bersama ‘Amrah bin Rawahah ini satu pemberian, akan tetapi ‘Amrah meminta saya menjadikan tuan sebagai saksi wahai Rasulullah.” Tanya Baginda kepada beliau: “Engkau telah beikan kepada semua anakmu pemberian yang sama?” Jawab beliau: “Tidak.” Baginda bersabda : “Bertaqwalah kamu kepada Allah dan berlaku adillah di antara anak-anakmu.” Kata Nu’man: Lalu bapa saya pulang dan menarik semula pemberiannya.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaih wa sallam sendiri menitikberatkan dan menuntut ibu bapa agar bersikap adil dengan kesemua anak-anak mereka dalam hal pemberian supaya tidak mengetepikan hak anak-anak yang lain. Apa jua yang berbentuk pemberian atau hadiah daripada ibu bapa kepada anak-anak mereka, mestilah diberikan secara adil dan sama rata tanpa memilih anak mana yang untuk didahulukan apalagi sekiranya pemberian atau hadiah tersebut hanya untuk anak yang tertentu sahaja.

Melebihkan sebahagian anak dalam pemberian berbanding anak yang lain adalah haram melainkan jika dibenarkan oleh syara’ seperti ketidakmampuan dan keperluan.

3)      Pendidikan

Anak-anak hendaklah dibentuk berlandaskan ajaran al-Qur’an dan as-Sunnah serta dibina atas dasar ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Ibu dan bapa bertanggungjawab memastikan aqidah dan akhlak anak-anak mereka tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Ibu dan bapa juga hendaklah menjadi contoh tauladan yang baik kepada anak-anak mereka dengan memberikan bimbingan dan nasihat kepada mereka sejak dari kecil lagi berlandaskan ajaran agama Islam supaya aqidah dan iman mereka terus teguh dan mantap serta tidak akan diganggu oleh sebarang anasir kemungkaran dan kezaliman.

Pembentukan dan pengaplikasian Pendidikan ini perlu sejajar meliputi setiap anak-anak tanpa ada yang terkecuali atau hanya segelintir anak sahaja. Sebagai contoh, Ibu bapa mendidik anak-anak mereka untuk mengerjakan sembahyang dari kecil tanpa memilih anak-anak yang tertentu sahaja.

Ibu bapa juga jangan mengambil remeh dalam pengurusan anak-anak mereka dengan menangguh-nangguhkan dalam memberikan pengajaran.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mengerjakan sembahyang ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika mereka berumur sepuluh tahun serta pisahkanlah mereka dari tempat tidur mereka.

(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Imam Abu Daud)

Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak mereka untuk berbuat baik dan berperilaku yang baik tetapi janganlah secara berlebihan atau keras dalam membuat sebarang tindakan.

Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Seorang mu’min itu bukanlah orang yang suka mencela, melaknat, berperilaku keji dan suka berkata kasar.

(Terjemahan Makna Hadits Imam at-Tirmidzi)

Di samping itu anak-anak perlulah dididik dengan pergaulan yang baik sesama mereka. Anak-anak yang lebih kecil perlu dididik agar menghormati saudaranya yang lebih tua dan sebaliknya saudara yang lebih tua perlu bersikap tolak ansur dan belas kasihan terhadap adik-adik yang lebih kecil. Sikap seperti ini adalah amat penting bagi memastikan keharmonian dalam sesebuah keluarga.

Kesimpulan

Anak-anak adalah pelengkap kebahagiaan dalam kehidupan berumahtangga. Anak yang salih menjadi penyejuk dan permata hati ibu bapa yang juga akan menjadi saham akhirat yang tidak ternilai untuk mereka. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Apabila seseorang meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak yang shalih yang selalu mendoakan kedua ibu bapanya.

(Terjemahan Hadits Riwayat Imam Muslim)

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Sesungguhnya seseorang itu diangkat darjatnya di dalam syurga, lalu dia berkata: “Dari manakah semua ini?” Maka dikatakan kepadanya: “Dari anakmu yang memintakan ampun untukmu.”

(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Imam Ibnu Majah)


Petikan dari Majalah al-Huda April 2024M/1445H, Pusat Da'wah Islamiah 

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan