Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah mengkhabarkan bahawa di antara tanda-tanda hari kiamat adalah munculnya pembohongan-pembohongan dan fitnah besar yang bercampur di dalamnya kebenaran dan kebathilan. Jika kita lihat pada zaman ini, pembohongan sememangnya banyak berlaku dan semakin berleluasa lebih-lebih lagi pada era globalisasi dan teknologi kini di mana segala informasi mudah diperolehi dan disebarkan tanpa jelas keshahihannya.
Maksiat dan dosa daripada fitnah yang disebarkan dipandang
mudah dan bebas dilakukan tanpa sebarang halangan. Justeru, atas sebab-sebab
ini kita melihat fitnah maksiat itu menjadi semakin parah lebih-lebih lagi di
dunia akhir zaman ini.
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam al-Musnad dengan sanad
yang shahih dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa sallam telah bersabda:
لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى
تَظْهَرَ الْفِتَنُ، وَيَكْثُرَ الْكَذِبُ، وَتَتَقَارَبَ الْأَسْوَاقُ،
وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ قِيلَ: وَمَا الْهَرْجُ؟ قَالَ:
الْقَتْلُ
Maksud:
“Tidak terjadi hari kiamat sehingga muncul banyak fitnah, banyak
pembohongan, berdekatannya pasar-pasar, berdekatannya zaman (masa) dan
banyaknya al-Harj.” Dikatakan : Dan
apakah itu al-Harj? Rasulullah menjawab: “Pembunuhan.”
Akibat dari fitnah dan pembohongan inilah boleh terjadinya banyak
pembunuhan sepertimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Hakim dalam
al-Mustadrak dari Abdullah bin Mas’ud berkata:
وَإِذَا
كَثُرَ الْكَذِبُ كَثُرَ الْهَرْجُ
Maksudnya:
Apabila banyak berlaku kebohongan, maka banyak pula berlaku
pembunuhan.
Berkata al-Imam Nu’im bin Muhammad
dalam kitab al-Fitan daripada Ziyad atau Ibnu Ziyaad berkata: Saya
mendengar Ka’ab al-Ahbaar berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
sallam bersabda:
يَأْتِي
فِي آخِرِ الزَّمَانِ أَصْحَابُ الْأَلْوَاحِ , يُزَيِّنُونَ الْحَدِيثَ
بِالْكَذِبِ تَفْصِيلَ الذَّهَبِ بِالْجَوْهَرِ
Maksudnya:
“Akan
datang pada akhir zaman tuan-tuan Luh (penulis-penulis buku), mereka menghias
percakapan dengan bohong sepertimana tukang emas menghiaskan emas dengan
permata manikam.”
Petikan daripada Majalah al-Huda 2015, Pusat Da’wah Islamiah
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan