Anak-anak, kecintaan dan sayangnya kita kepada Rasulullah adalah dengan mengenali Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana baginda adalah contoh untuk anak-anak berbuat kebaikan yang dapat membawa kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Rasulullah yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang perlu diketahui nasab, kehidupan, akhlak dan mu’jizat yang telah diberikan kepada baginda.
Imam at-Tirmidzi telah meriwayatkan dalam sebuah hadits daripada Anas bin Malik, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencintai aku, adalah ia bersama aku dalam syurga.”
Setiap 12 Rabi’ulawal, kita akan memperingati kelahiran Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dengan memperbanyakkan bacaan selawat tanda kecintaan kita kepada baginda. Anak-anak perlu tahu Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah manusia pilihan yang paling dicintai dan diagungkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala seperti yang terdapat dalam alQur’an Surah Aali ‘Imraan ayat 32, yang tafsirnya:
“Jika kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu.”