Translate

Thursday, August 28, 2025

AKHLAK RASULULLAH : JUJUR

 

بسم الله الرحمن الرحيم



Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam terkenal sebagai manusia yang paling jujur bahkan kejujuran baginda sudah dikenali sebelum kedatangan Islam. Sifat jujur baginda merupakan sifat semula jadi yang terdapat dalam diri baginda sejak zaman kanak-kanak lagi. Dengan sifat jujur ini juga membuatkan orang ramai kagum dengan keperibadian baginda, sekalipun ada di antara mereka itu tidak beriman kepada baginda.

Sejarah merakamkan bahawa baginda telah diberikan kepercayaan oleh Sayidatina Khadijah untuk membawa barang-barang dagangannya yang akan diniagakan di negeri Syam. Ternyata kepercayaan ini dijaga dan dijalankan dengan penuh amanah, sehingga hasil dagangannya memperolehi keuntungan yang besar. Dengan keutamaannya ini, akhirnya telah menambat hati Sayidatina Khadijah untuk menjadikan baginda sebagai pendamping hidupnya. Betapa sifat jujur itu menjadikan seseorang itu sangat bernilai dan mulia di mata manusia apatah lagi di mata Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam sangat menggalakkan umat baginda untuk berlaku jujur di dalam apa jua situasi.

Dalam hadits riwayat Imam al-Bukhari daripada Abdullah Radhiallahu ‘anhu telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud:

“Sesungguhnya kejujuran akan membimbing kepada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga. Sesungguhnya jika seseorang itu sentiasa berlaku jujur hingga ia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan menghantarkan kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan mengiring ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta.”


Rujukan : Buku Bercermin Pada Akhlak Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam Dalam Pergaulan

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan