Walaupun peristiwa Isra' dan
Miraj ini merupakan kejadian yang hanya berlaku ke atas diri baginda Rasulullah
Shallallahu 'alaihi wasallam, di mana baginda diperlihatkan tanda-tanda
kebesaran Allah Yang Maha Agung, namun di sebalik segala apa yang diperlihatkan
itu mengandungi maksud yang lebih luas atau mendalam dan lebih umum daripada
ianya hanya menjadi suatu lipatan dalam sejarah sahaja.
Sebenarnya kejadian peristiwa
Isra' dan Mi'raj ini merupakan suatu gambaran tentang beberapa aspek penting
dalam kehidupan umat manusia hari ini. Ianya mengandungi berbagai pengajaran
serta contoh teladan. Namun, mungkin ada yang terlepas pandang atau tidak
mengambil berat tentang kepentingan dan pengajaran yang terkandung di dalamnya.
Di antara beberapa pengajaran
yang dapat disimpulkan melalui peristiwa Isra' dan Mi'raj ini iaitu sebagai
pengetahuan dan untuk dipraktikkan dalam kehidupan kita sebagai seorang hamba
Allah Subhanahu wa Ta'ala di muka bumi ini ialah:
1. Terjadinya peristiwa ini
dengan bermulanya detik-detik sebelum Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam
diisra' kan, Malaikat Jibril 'alaihissalam telah menemui baginda, lalu membelah
dada baginda yang mulia dan menyucinya dengan air zamzam. Kemudian diambilnya
bejana yang berisi hikmat dan iman, lalu dicurahkannya ke dalam dada baginda
dan ditutupnya kembali dada baginda Shallallahu 'alaihi wasallam.
Peristiwa ini jika diaplikasikan
ke dalam diri kita, maka akan dapat memberi kesedaran betapa mustahaknya pembersihan
rohani pada setiap masa dalam kehidupan ini. Inilah juga yang terjadi
kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam apabila pembersihan hati ke atas
diri baginda juga berlaku beberapa kali dalam hidup baginda.
Apa yang dimaksudkan dengan
pembersihan rohani di sini ialah kesedaran untuk bertaubat daripada melakukan
perbuatan ataupun perkara-perkara yang keji. Ini sememangnya menjadi tuntutan
dalam Islam supaya setiap diri individu yang sememangnya tidak ma'shum wajib
melakukan taubat pada setiap ketika. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman
dalam Surah at-Tahriim ayat 8, yang menjelaskan tentang wajibnya bertaubat dan
kedudukan bagi orang yang bertaubat sebagaimana berikut:
Tafsirnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari (Kiamat) yang Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya, cahaya (iman dan amal salih) mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka sambil mereka berkata: “Ya Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan ampunilah kami, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
2. Allah Subhanahu wa Ta'ala menguji
keimanan seseorang hambaNya sama ada mempercayai tentang peristiwa Isra'
dan Mi'raj ini ataupun sebaliknya. Kerana apabila imannya kuat, maka tidak ada
alasan apapun untuk menolak segala sesuatu dan seterusnya ia akan sanggup
memikul segala kewajipan yang diperintahkan ke atasnya, termasuklah keutamaan
dalam melaksanakan ibadah sembahyang yang telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu
wa Ta'ala melalui peristiwa Mi' raj Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.
Ini menunjukkan pengkhususan ibadah sembahyang itu sebagai ibadah utama dalam
Islam berbanding ibadah lainnya.
3. Adalah juga menjadi kewajipan
ke atas umat manusia untuk beriman (percaya) dan berpegang teguh atas apa yang
disampaikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sesuai dengan apa yang telah
dijelaskanNya melalui firmanNya di dalam al-Qur'an dan juga dengan apa yang
telah dikhabarkan dan diperingatkan melalui sunnah atau hadits-hadits
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.
4. Dalam peristiwa ini,
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah diberikan pilihan untuk memilih
di antara minuman arak atau susu, dan baginda telah memilih susu. Ini
menggambarkan apabila seorang manusia mempunyai iman dan bersihkan hatinya,
maka dıa akan memilih sesuatu yang baik untuk keperluan hidupnya, sama ada
memilih dari segi makanan, minuman, pakaian dan sebagainya. Akan tetapi jika
hidup seseorang itu tanpa berlandaskan iman, maka ia hanya akan memilih jalan
hidup mengikut hawa nafsu.
5. Dalam perjalanan Mi'raj
Rasulullah Shallallahu 'alaihiwasallam, baginda telah diberikan penghormatan
untuk berjumpa dengan nabi-nabi yang lain iaitu Nabi Adam 'alaihissalam, Nabi
Isa 'alaihissalam, Nabi Yahya 'alaihissalam, Nabi Idris 'alaihissalam, Nabi
Yusuf alaihissalam, Nabi Harun 'alaihissalam, Nabi Musa 'alaihissalam dan Nabi
Ibrahim 'alaihissalam. Dalam hal ini, dapat kita ambil pengajaran bahawa
pentingnya untuk sentiasa menjalin hubungan silaturrahim dengan sesama manusia.
Walaupun kedudukan Rasulullah
Shallallahu 'alaihi wasallam adalah sebagai penghulu segala nabi, namun baginda
tidak sombong. Baginda tetap menghargai dan menghormati nabi-nabi yang lain
dengan menziarahi dan menjalinkan hubungan silaturrahim dengan mereka.
6. Rasulullah Shallallahu 'alaihi
wasallam telah menceritakan tentang balasan baik dan buruk yang telah
diperlihatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam perjalanan Mi'raj baginda.
Ini menunjukkan kepada kita
bahawa hukuman atau azab neraka pasti berlaku kepada sesiapa yang melakukan
perkara-perkara yang keji dan ganjaran yang baik dengan mendapat balasan syurga
juga pasti diterima bagi mereka yang sentiasa berbuat kebaikan.
(Petikan daripada Buku Peristiwa
Isra’ Dan Mi’raj Dalam Al-Qur’an Dan As-Sunnah, Terbitan Pusat Da’wah Islamiah)
.jpg)
