Translate

Wednesday, January 21, 2026

PENGAJARAN DARI PERISTIWA ISRA' DAN MI'RAJ

 

Walaupun peristiwa Isra' dan Miraj ini merupakan kejadian yang hanya berlaku ke atas diri baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, di mana baginda diperlihatkan tanda-tanda kebesaran Allah Yang Maha Agung, namun di sebalik segala apa yang diperlihatkan itu mengandungi maksud yang lebih luas atau mendalam dan lebih umum daripada ianya hanya menjadi suatu lipatan dalam sejarah sahaja.

Sebenarnya kejadian peristiwa Isra' dan Mi'raj ini merupakan suatu gambaran tentang beberapa aspek penting dalam kehidupan umat manusia hari ini. Ianya mengandungi berbagai pengajaran serta contoh teladan. Namun, mungkin ada yang terlepas pandang atau tidak mengambil berat tentang kepentingan dan pengajaran yang terkandung di dalamnya.

Di antara beberapa pengajaran yang dapat disimpulkan melalui peristiwa Isra' dan Mi'raj ini iaitu sebagai pengetahuan dan untuk dipraktikkan dalam kehidupan kita sebagai seorang hamba Allah Subhanahu wa Ta'ala di muka bumi ini ialah:

1. Terjadinya peristiwa ini dengan bermulanya detik-detik sebelum Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam diisra' kan, Malaikat Jibril 'alaihissalam telah menemui baginda, lalu membelah dada baginda yang mulia dan menyucinya dengan air zamzam. Kemudian diambilnya bejana yang berisi hikmat dan iman, lalu dicurahkannya ke dalam dada baginda dan ditutupnya kembali dada baginda Shallallahu 'alaihi wasallam.

Peristiwa ini jika diaplikasikan ke dalam diri kita, maka akan dapat memberi kesedaran betapa mustahaknya pembersihan rohani pada setiap masa dalam kehidupan ini. Inilah juga yang terjadi kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam apabila pembersihan hati ke atas diri baginda juga berlaku beberapa kali dalam hidup baginda.

Apa yang dimaksudkan dengan pembersihan rohani di sini ialah kesedaran untuk bertaubat daripada melakukan perbuatan ataupun perkara-perkara yang keji. Ini sememangnya menjadi tuntutan dalam Islam supaya setiap diri individu yang sememangnya tidak ma'shum wajib melakukan taubat pada setiap ketika. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman dalam Surah at-Tahriim ayat 8, yang menjelaskan tentang wajibnya bertaubat dan kedudukan bagi orang yang bertaubat sebagaimana berikut:


 


Tafsirnya:

Wahai orang-orang yang beriman!  Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan  memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari (Kiamat) yang Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya, cahaya (iman dan amal salih) mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka sambil mereka berkata:  “Ya Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan ampunilah kami, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

2. Allah Subhanahu wa Ta'ala menguji keimanan seseorang hambaNya sama ada mempercayai tentang peristiwa Isra' dan Mi'raj ini ataupun sebaliknya. Kerana apabila imannya kuat, maka tidak ada alasan apapun untuk menolak segala sesuatu dan seterusnya ia akan sanggup memikul segala kewajipan yang diperintahkan ke atasnya, termasuklah keutamaan dalam melaksanakan ibadah sembahyang yang telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui peristiwa Mi' raj Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Ini menunjukkan pengkhususan ibadah sembahyang itu sebagai ibadah utama dalam Islam berbanding ibadah lainnya.

3. Adalah juga menjadi kewajipan ke atas umat manusia untuk beriman (percaya) dan berpegang teguh atas apa yang disampaikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sesuai dengan apa yang telah dijelaskanNya melalui firmanNya di dalam al-Qur'an dan juga dengan apa yang telah dikhabarkan dan diperingatkan melalui sunnah atau hadits-hadits Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.

4. Dalam peristiwa ini, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah diberikan pilihan untuk memilih di antara minuman arak atau susu, dan baginda telah memilih susu. Ini menggambarkan apabila seorang manusia mempunyai iman dan bersihkan hatinya, maka dıa akan memilih sesuatu yang baik untuk keperluan hidupnya, sama ada memilih dari segi makanan, minuman, pakaian dan sebagainya. Akan tetapi jika hidup seseorang itu tanpa berlandaskan iman, maka ia hanya akan memilih jalan hidup mengikut hawa nafsu.

5. Dalam perjalanan Mi'raj Rasulullah Shallallahu 'alaihiwasallam, baginda telah diberikan penghormatan untuk berjumpa dengan nabi-nabi yang lain iaitu Nabi Adam 'alaihissalam, Nabi Isa 'alaihissalam, Nabi Yahya 'alaihissalam, Nabi Idris 'alaihissalam, Nabi Yusuf alaihissalam, Nabi Harun 'alaihissalam, Nabi Musa 'alaihissalam dan Nabi Ibrahim 'alaihissalam. Dalam hal ini, dapat kita ambil pengajaran bahawa pentingnya untuk sentiasa menjalin hubungan silaturrahim dengan sesama manusia.

Walaupun kedudukan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam adalah sebagai penghulu segala nabi, namun baginda tidak sombong. Baginda tetap menghargai dan menghormati nabi-nabi yang lain dengan menziarahi dan menjalinkan hubungan silaturrahim dengan mereka.

6. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah menceritakan tentang balasan baik dan buruk yang telah diperlihatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam perjalanan Mi'raj baginda.

Ini menunjukkan kepada kita bahawa hukuman atau azab neraka pasti berlaku kepada sesiapa yang melakukan perkara-perkara yang keji dan ganjaran yang baik dengan mendapat balasan syurga juga pasti diterima bagi mereka yang sentiasa berbuat kebaikan.

 

(Petikan daripada Buku Peristiwa Isra’ Dan Mi’raj Dalam Al-Qur’an Dan As-Sunnah, Terbitan Pusat Da’wah Islamiah)

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan