Tuesday, February 22, 2011

AL-QURAN : MEMELIHARA, MENULIS DAN MENYENTUH AYAT-AYATNYA (Bahagian terakhir)

AL-QURAN : MEMELIHARA, MENULIS DAN MENYENTUH AYAT-AYATNYA (Bahagian terakhir)

MENYENTUH DAN MENGANGKAT AL-QURAN

Mengenai hukum yang berbangkit di antara orang yang berhadas (yang tidak suci) dengan mushaf telah disebutkan oleh ulama. Mereka menyebutkan bahawa menanggung mushaf ketika berhadas (tidak ada wuduk atau sebab haid) adalah haram berdasarkan firman Allah Subhanahu Wataala:

لاَ يَمَسُّهُ إَِّلا الْمُطَهَّرُونَ

Tafsirnya:

"Tidak menyentuhnya (Al-Quran) melainkan orang-orang yang suci."

(Surah Al-Waaqiah: 79).

MENGANGKAT AL-QURAN UNTUK TUJUAN BELAJAR

Selain larangan menyentuh, haram juga mengangkat sesuatu yang ditulis padanya hanya ayat-ayat Al-Quran untuk tujuan belajar walaupun yang ditulis itu hanya setengah ayat, kecuali jika tujuannya bukan untuk belajar seperti untuk azimat (tamimah). Ini bermaksud jika diqasadkan sebagai pelajaran adalah haram dan tidak pula menjadi haram jika diqasadkan sebagai mengambil berkat. Jika tidak ada tujuan tertentu, maka yang perlu diperhatikan ialah qarinah atau alamat-alamat tertentu untuk apa tujuan menulisnya (I’anah Al-Thalibin: 1:81)

KANAK-KANAK MUMAYYIZ MENYENTUH AL-QURAN

Bagi guru dan penjaga, tidak mengapa membiarkan kanak-kanak mumayiz sekalipun berhadas menanggung dan menyentuh mushaf kerana keperluan mempelajarinya, seperti membawanya ke sekolah dan membawanya ke tempat guru untuk mempelajarinya. Selain mushaf lengkap, termasuklah papan tulis (buku tulis) yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran. Perkara ini dibenarkan kerana membebani kanak-kanak itu supaya terus berwuduk adalah suatu perkara yang amat berat bagi mereka dan pada lazimnya masa mempelajari Al-Quran itu memakan masa yang lama.

Menurut fatwa Ibn Hajar, guru kanak-kanak itu juga dimaafkan terutama bagi mereka yang tidak berupaya terus-menerus dalam keadaan suci (berwuduk) untuk menyentuh papan tulis yang ada padanya ayat Al-Quran, kerana berwuduk itu mungkin susah dilakukan. Akan tetapi seeloknya ia bertayamum kerana tayamum itu lebih mudah. Walau bagaimanapun bagi guru yang tidak mempunyai masyaqqah (susah) adalah wajib berwuduk ketika menyentuh dan menanggung Al-Quran. (I’anah Al-Thalibin: 1.82-83).

HUKUM MENGANGKAT AL-QURAN BERSAMA BARANG LAIN

Mengangkat mushaf bersama barang lain tidak haram sekiranya tujuan sebenarnya bukan menanggung mushaf saja. Menurut kitab Al-Tuhfah, sekiranya maksudnya hanya :

(1) menanggung mushaf, atau

(2) menanggung mushaf bersama barang, atau

(3) menanggungnya secara mutlak,

ketiga-tiga cara ini adalah haram.

Yang tidak haram itu hanyalah satu cara iaitu jika diqasadkan hanya menanggung barang. Ulama lain pula berpendapat yang dihukumkan itu hanya satu cara iaitu sekiranya diqasadkan menanggung mushaf sahaja, manakala qasad menanggung mushaf bersama barang itu atau menanggung barang itu saja atau menanggungnya secara mutlak, tidak menjadikan haram. (I’anah Al-Thalibin : 1:81).

MENYENTUH KERTAS,KULIT ATAU SARUNG AL-QURAN

Menyentuh lambaran mushaf adalah haram sekalipun bahagian yang tiada tulisan dan haram menyentuh bungkusan atau sarung mushaf yang khusus disediakan untuk menyimpan mushaf dengan syarat pada ketika itu mushaf ada di dalam bungkusan atau sarung berkenaan.

Selain sarung Al-Quran, adalah haram menyentuh benda lain seperti kantung atau peti yang disediakan khusus untuk menyimpan mushaf semata-mata, dan ketika itu mushaf ada di dalamnya. Akan tetapi jika mushaf berkenaan sudah keluarkan dari sarung atau peti tersebut, maka bolehlah mengangkat dan menyentuhnya.

Adapun kulit mushaf haram menyentuhnya sama ada kulit itu bersambung dengan mushaf ataupun tidak dengan syarat kulitnya itu masih tetap dinisbahkan kepada mushaf. Jika kulit mushaf itu diganti baru, maka kulit lama tetap haram disentuh.

Jika kertas mushaf itu hilang atau terbakar, yang tinggal hanya kulit, maka kulit itu tidak haram disentuh. Begitu juga tidak haram membalik kertas mushaf dengan kayu kerana cara itu tidak disebutkan sebagai menanggung.

AL-QURAN DAN TAFSIRNYA

Menanggung dan menyentuh mushaf bersama tafsirnya tidak menjadi haram sekiranya tafsirnya itu lebih banyak. Jika tafsir itu sama banyak, atau tafsirnya sedikit atau diragukan mana yang lebih banyak, maka adalah haram menyentuhnya. Ulama juga menggariskan kedudukan antara mushaf dan tafsir dalam mengukur banyak sedikitnya. Ketika menanggungnya yang diambil kira ialah jumlah Al-Quran dan tafsirnya. Manakala dalam perkara menyentuh, yang perlu diperhatikan ialah tempat di mana ia meletakkan tangannya. Jika pada tempat itu tafsirnya lebih banyak, tidak haram menyentuhnya, tetapi jika Al-Quran lebih banyak, haram menyentuhnya. (I’anah Al-Thalibin : 1:82).

MENULIS AYAT-AYAT AL-QURAN

Ulama sepakat dalam mengharuskan penulisan Al-Quran dengan jelas, indah dan cantik supaya tidak menyusahkan orang-orang yang membacanya. Hal ini berdasarkan kepada pengumpulan dan penulisan mushaf Al-Quran pada zaman Nabi Muhamad Sallallahu Alaihi wasallam dan zaman khulafa ‘Al-Rasyidin.

Bagi menghormati dan menjaga kemuliaan Al-Quran menulis ayat-ayat Al-Quran dengan benda-benda najis adalah haram. Begitu juga haram menuliskan huruf-huruf Al-Quran dengan huruf selain huruf Arab. Ibnu Hajar dalam fatwanya ketika ditanya, adakah haram menulis Al-Quran Al-Karim dengan huruf Arab begitu juga membacanya, beliau menjawab : "Berdasarkan apa yang dijelaskan dalam kitab Al-Majmu’ yang diriwayatkan oleh ulama Syafie bahawa perkara sedemikian adalah haram." (I’anah Al-Thalibin : 1:83).

Apabila menulis Al-Quran pada papan atau selainnya sama ada banyak atau sedikit, maka berlakulah hukum mushaf iaitu haram bagi orang yang dewasa yang baligh menyentuh dan menanggung papan tersebut (berdasarkan pendapat mazhab yang sahih). (Al-Majmu : 2:83)

Manakala mata wang yang diukir padanya Al-Quran, ulama membahagikannya kepada dua perkara iaitu mata wang yang tidak diperlakukan atau digunakan oleh kebanyakan orang dan di dalamnya tertulis ayat Al-Quran seperti Surah Al-Ikhlas tidak harus menanggungnya, sedangkan mata wang yang digunakan oleh orang ramai adalah diharuskan sebagaimana juga menyentuh dan menanggung cincin yang diukir padanya ayat Al-Quran. (Al-Majmu’ : 2:81)

Tulisan-tulisan ayat Al-Quran pada kitab-kitab hadis, fiqh, dirham (mata wang), baju, serban atau kayu adalah harus (tidak haram) menanggung dan mengangkatnya. (Al-Majmu’ : 2:81)

MENULIS AYAT AL-QURAN PADA SURAT, KAD JEMPUTAN DAN LAIN-LAIN

Berdasarkan kepada pandangan ulama mengenai penulisan Al-Quran pada dinding, kayu dan mata wang dirham, tidaklah menjadi kesalahan jika ditulis ayat-ayat Al-Quran atau kalimah-kalimah lain yang dihormati oleh Islam pada surat, kad jemputan atau bahan-bahan cetak yang lain. Walaupun demikian jika tulisan-tulisan itu dibuat daripada bahan-bahan najis serta terdedah kepada pencemaran dan penghinaan, maka ia adalah haram.

Dasar dan dalil hukum harus ini ialah berdasarkan pada surat-surat Nabi Sallallahu alaihi wasallam yang dikirimkan Baginda kepada raja dan pemimpin-pemimpin asing yang mengandungi Basmalah dan petikan ayat Al-Quran seperti ayat 64 Surah Ali ’Imran. tetapi hukum harus ini hanyalah berlaku jika diyakini tulisan ayat berkenaan tidak terdedah kepada penghinaan dan pencemaran kesucian dan kehormatannya. Jika jelas dan pasti akan terhina dan tercemar, maka tidak harus menulisnya.

IMPLIKASI MENGHINA AYAT AL-QURAN

Para ulama telah menyebutkan tentang hukum orang Islam yang menghina dan merendah-rendahkan perkara yang dihormati dalam Islam. Al-Imam Al-Ramli menyebutkan bahawa seseorang itu akan menjadi murtad atau keluar daripada agama Islam apabila dia meletakkan mushaf Al-Quran atau benda-benda yang ditulis dengan nama-nama yang mulia dan dihormati dalam Islam atau benda-benda yang ditulis padanya daripada hadis-hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam pada tempat-tempat kotor dan jijik. (Al-Nihayah : 7:416).

Al-Imam Al-Rauyani pula menyatakan bahawa antara perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam (murtad) ialah apabila benda-benda yang ditulis padanya ilmu-ilmu syariah atau ilmu Islam diletakkan di tempat yang kotor dan jijik, kerana perbuatan-perbuatan sedemikian dengan terang telah menghina dan merendah-rendahkan agama Islam. (Al-Nihayah : 7:416).

Seterusnya Al-Ramli telah menjelaskan bahawa perbuatan-perbuatan seperti meletak Al-Quran di tempat kotor dan jijik dan menyentuh Al-Quran ketika berhadas adalah menjadi tanda atau qarinah yang menunjukkan kepada menghina Al-Quran dan merendah-rendahkan agama.

Berdasaran kepada keterangan-keterangan di atas, demi menjaga kesucian agama, kita wajib berwaspada dan bersungguh-sungguh dalam menghormati ayat-ayat Al-Quran yang ditulis pada suratkhabar-suratkhabar, kad-kad jemputan atau seumpamanya. Begitu juga dengan ayat-ayat Al-Quran yang diukir di papan-papan atau umpamanya agar tidak dibuang atau dicampakkan di merata tempat seperti longkang, jalan raya, tong sampah dan tandas. Helai-helai kertas, akhbar, surat-surat dan kad jemputan tersebut janganlah hendaknya dijadikan pembungkus barangan, alas kaki, alas duduk, barang mainan kepada kanak-kanak kecil atau apa-apa juga keperluan yang boleh dikategorikan sebagai menghina ayat Al-Quran.

CARA MEMUSNAHKAN MUSHAF ATAU KERTAS YANG MENGANDUNGI AYAT-AYAT AL-QURAN

Mushaf atau kertas yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran tidak boleh dikoyakkan atau dicarik-carik kerana cara itu bererti memutus huruf-huruf dan kalimahnya dan mempersia-siakan apa yang termaktub itu.

Jika mushaf atau tulisan-tulisan ayat Al-Quran itu tidak boleh dibaca atau tidak boleh digunakan lagi, ia boleh dimusnahkan di antara caranya ialah dengan membasuh tulisannya sehingga tidak kelihatan lagi atau membakarnya atau menanamnya.

Sebahagian ulama berpendapat membakarnya adalah lebih utama kerana Sayidina Uthman Al-Affan pernah membakar mushaf-mushaf tertentu dan tidak ada sahabat yang membantahnya. Sebahagian ulama pula menetapkan ia tidak boleh dibakar kerana cara itu tidak menghormati namanya sehingga menghukumkannya sebagai makruh.

Selain itu ada yang berpendapat bahawa membasuhnya lebih utama. Sebahagiannya pula mengatakan mushaf itu tidak dibakar, bahkan ia hendaklah ditanam dalam tanah dan dengan cara ini ia tidak akan terkena pijakan. (Al-Itqan: 4:165).

Dalam pada itu, setengah ulama mutakhir berpendapat bahawa cara membakar itu adalah cara yang paling ringan dilakukan. Disertakan dengan niat yang baik, maka cara ini dilakukan hanya semata-mata untuk menjaga kesucian dan kemuliaan Al-Quran, bukan merendahkan, apa lagi menghinanya dan tidak mendedahkannya kepada pencemaran dan penghinaan. (Ahsan Al-Kalam: 2:210).

Disimpulkan bahawa mushaf Al-Quran yang menjadi kitab suci umat Islam adalah wajib dihormati, seperti tidak meletakkan sesuatu di atasnya, menyentuh atau mengangkatnya hanya ketika dalam keadaan berwuduk dan tidak menuliskannya pada kertas, kad, poster atau bahan-bahan cetak yang lain yang terdedah kepada pencemaran kesucian dan kehormatannya itu.

Rujukkan: Irsyad Hukum 1999 - Himpunan Siri Bimbingan Hukum di Pelita Brunei, m.s: 250-266

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan