Monday, December 18, 2017

HIKMAH DISEBALIK TUNTUTAN PUASA ISNIN DAN KHAMIS

Setiap amalan dan pekerjaan yang kita lakukan akan diangkat dan dilaporkan sebanyak dua kali di dalam seminggu, iaitu setiap hari Isnin dan Khamis. Ini bermaksud, setiap amalan dan pekerjaan yang dilakukan bermula dari Hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis akan diangkat ke langit pada hari Khamis, manakala amalan yang dilakukan pada hari Juma’at, Sabtu dan Ahad akan diangkat pula ke langit pada hari Isnin.

Hal ini dinyatakan oleh baginda Shallahu Alaihi Wasallam   melalui sabda baginda, yang bermaksudnya: 


‘ Segala amalan itu dilaporkan pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku suka amalanku dilaporkan ketika aku sedang berpuasa.’ 

Hadits riwayat Imam at Tirmidzi.

Rasulullah Shallahu Alaihi Wasallam   banyak menyebutkan mengenai kelebihan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis antaranya Musnad Imam Ahmad, daripada Usamah bin Zaid berkata yang bermaksud: 


‘ Sesungguhnya Nabi Allah Shallahu Alaihi Wasallam ( melakukan ) puasa pada hari Isnin dan Khamis dan ditanya ( Baginda ) akan (sebab) sedemikian itu, baginda bersabda: ‘Sesungguhnya amalan manusia itu ditunjukkan ( dibentangkan ) pada hari Isnin dan Khamis.’

Mengenai hal ini juga, ada  disebutkan dalam kitab I’anah Ath Thalibin, berpuasa pada hari Isnin adalah lebih afdhal daripada berpuasa hari Khamis kerana keistimewaan yang berlaku pada hari tersebut sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah Al Anshari berkata:

‘ Dan ditanya  ( Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam ) akan perihal berpuasa pada hari Isnin, baginda Shallahu Alaihi Wasallam bersabda: ‘ Itulah hari aku dilahirkan dan hari aku diutus atau diturunkan ( perutusan ) pada hari itu.’ Hadits riwayat Muslim.


Cara menunaikan puasa hari Isnin dan hari Khamis adalah sama seperti puasa bulan Ramadhan kecuali niat sahaja yang berbeza.  Niat puasa sunat sah dilakukan pada siang hari sebelum gelincir matahari iaitu masuk waktu Zuhur.

Adapun lafaz niat puasa hari Isnin:

نويت صوم يوم الإثنين لله تعالى

Ertinya: ‘ Sahaja aku puasa hari Isnin kerana Allah Ta’ala.

Manakala lafaz niat puasa hari Khamis pula:

 نويت صوم يوم الخميس لله تعالى

Ertinya: ‘ Sahaja aku puasa hari Khamis kerana Allah Ta’ala.

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan