Monday, December 18, 2017

KEPENTINGAN SUTRAH KETIKA MELAKSANAKAN SEMBAHYANG



Kekhusyu’kan sembahyang amat penting dalam menghadap Allah dan antara cara untuk khusyu’ ialah dengan sentiasa melihat tempat sujud sekalipun bagi orang buta dan jika kita bersembahyang di dalam gelap. Akan tetapi tidak dinafikan kekhusyu’kan dalam sembahyang akan hilang dengan sebab gangguan sekeliling misalnya orang lalu lalang dihadapan  kita ketika kita mengerjakan sembahyang.

Jadi dalam hal ini, sunat bagi orang yang hendak melaksanakan sembahyang, membuat atau meletakkan sutrah ( pendinding ) yang mengarah ke qiblat dan menghadapnya ketika sembahyang. Tinggi sutrah itu hendaklah sekitar 2/3 hasta iaitu kira-kira 30.5cm atau lebih, sementara jarak di antaranya dan sutrah tersebut adalah pada kadar 3 hasta iaitu kira-kira 137.2 cm atau kurang dengan tujuan untuk memberi ingatan kepada orang lain agar menghormati tempat antara sutrah dan orang yang sedang bersembahyang.

Jika tidak ada dinding atau tiang, maka sunat baginya meletakkan tongkat atau barang-barang yang dikumpulkannya dihadapannya untuk dijadikan sutrah.
Jika tidak ada, sunat baginya membentangkan permaidani seperti sejadah atau membuat garisan pada kawasan hadapan dengan garisan memanjang pada kadar 3 hasta iaitu kira-kira 137.2 cm atau kurang daripada kadar tersebut.

Cara ini telah dijelaskan dalam sebuah hadith riwayat Abu Hurairah radhiallahu Anhu, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda: ’ Apabila salah seorang daripada kamu bersembahyang, maka hendaklah menjadikan ( meletakkan ) sesuatu di hadapannya. Jika tidak ada, maka tegakkanlah tongkat ( di hadapannya ). Jika tidak ada tongkat bersamanya, maka hendaklah dia membuat garisan. Dengan demikian , apa sahaja yang lalu dihadapannya tidak akan memudaratkannya.’ Hadith riwayat Abu Daud.

Jika seseorang itu bersembahyang dengan meletakkan sutrah yang menepati syarat-syarat tadi maka sunat baginya atau orang lain mengetahui bahawa sutrah itu bertujuan untuk menghalang atau menolak orang yang hendak lalu di kawasan antaranya dan sutrah tersebut.

Haram bagi seorang mukallaf yang mengetahui kewujudan sutrah itu lalu atau melintas di antara orang yang sedang bersembahyang dengan sutrah itu.

Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: 
’ Seandainya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu tahu berapa beratnya dosa yang akan ditanggungnya kerana perbuatannya itu, tentunya dia akan berhenti ( menanti ) selama 40, lebih baik baginya daripada dia lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu.’ Hadith Mutaffaqun ’Alaih.


Jika seseorang meletakkan sutrah di hadapannya akan tetapi orang lain tidak mengetahui akan adanya sutrah tersebut maka tidak haram bagi orang tersebut lalu di hadapannya. Walau bagaimanapun orang yang bersembahyang itu hendaklah dia menghalangnya.

Cara menghalang orang lalu di hadapan  orang bersembahyang ialah dengan seringan-ringan gerakan iaitu dengan tangan dan dia hendaklah tetap di tempatnya tanpa perlu bergerak untuk menghalang.

Akan tetapi jika dia tidak meletakkan sutrah, dia tidak boleh menghalang orang lain lalu di hadapannya. Oleh kerana itu tidak haram bagi orang lain untuk lalu di hadapannya akan tetapi hukumnya adalah makruh, iaitu lebih baik untuknya tidak lalu di hadapan orang yang bersembahyang. Namun jika mendirikan sembahyang pada tempat-tempat yang selalunya menjadi laluan manusia seperti pintu-pintu masjid dan sebagainya, maka tidak haram lalu di hadapan orang yang bersembahyang walaupun diberi batasan atau pendinding di hadapannya.

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan