Saturday, May 23, 2020

AMALAN-AMALAN SUNAT DILAKUKAN PADA 1 SYAWAL



Alhamdulillah, kita telah pun melangkah ke bulan Syawal, bulan kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan menahan nafsu, lapar dan dahaga. Jadi, ada baiknya kita mengetahui beberapa amalan-amalan sunat dilakukan untuk diamalkan pada 1 Syawal.
1.       Menghidupkan malam hari Raya.
Pada malam hari Raya digalakkan kita menghidupkannya dengan berzikir, bertakbir, bertahmid, berdoa dan istighfar dan juga bersedekah.

Sunat melaungkan takbir dengan suara jahr (nyaring) pada malam Aidilfitri selepas terbenamnya matahari sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya.Disunatkan bertakbir bagi membesarkan Allah Subhanahu wa ta’ala.

2.       Mengerjakan sembahyang Sunat Aidilfitri.

Sembahyang Aidilfitri hukumnya sunat muakkadah dan disunatkan melakukannya secara berjemaah dan menurut mazhab as-Syafi’e boleh juga dilakukan secara bersendirian di rumah. Sembahyang Sunat Aidilfitri sekurang-kurangnya dikerjakan seperti sembahyang sunat wudhu’. Namun yang sempurnanya dikerjakan dengan dua rakaat bersama-sama dengan takbir.

Kaifiat bersembahyang Aidilfitri ialah:

Lafaz niat sembahyang Aidilfitri:

(Jika dilakukan secara berjemaah)

أُصَلّيِ سُنَّةَ عَيْدِ الْفِطْرِرَكْعَتَيْنِ مَأْمُوماً لِلّهِ تَعَالَى

Ertinya:
“Sahaja aku sembahyang sunat Aidilfitri dua rakaat menjadi makmum kerana Allah Ta’ala.”

Manakala (Jika dilakukan secara perseorangan)

أُصَلّيِ سُنَّةَ عَيْدِ الْفِطْرِرَكْعَتَيْنِ لِلّهِ تَعَالَى

Ertinya:
“Sahaja aku sembahyang  sunat Aidilfitri dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Selepas mengangkat takbiratul ihram, disunatkan membaca doa iftitah, dan selepas itu,
melafazkan takbir  (الّلهُ أَكْبَر) sambil mengangkat tangan setiap kali takbir sebanyak 7 kali bagi rakaat yang pertama dengan suara yang terang dan jelas (*). Kemudian membaca surah al-Fatihah dan sunat membaca sesudah itu surah Qaf atau surah al-A’laa atau surah ad-Dhuha atau surah al-Kafirun.

Dan bagi rakaat yang kedua pula, dilafazkan 5 kali takbir (الّلهُ أَكْبَر) dengan suara yang terang dan jelas (*) kemudian membaca surah al-Fatihah dan sunat membaca sesudah itu surah al-Qamar atau surah al-Ghasyiah atau surah al-Insyirah atau surah al-Ikhlas.

(*) Sunat diselangi takbir itu dengan suara yang israr (perlahan) bacaan zikir berikut:

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلّهِ وَلَا إِلَهَ إِلّا اللّه واللّه أَكْبَرُ

Disunatkan Khutbah bagi sembahyang Aidilfitri sebanyak dua kali selepas selesai sembahyang. Tidak disunatkan berkhutbah bagi orang yang mengerjakan sembahyang  Sunat Hari Raya secara bersendirian. Begitu juga bagi Jemaah perempuan, melainkan ada lelaki yang membaca khutbah untuk mereka.

Selain mengadakan di dalam masjid, jika terlalu ramai disunatkan juga mengadakannya di tanah lapang yang luas. Disunatkan pergi ke tempat sembahyang melalui satu jalan dan kembali  melalui jalan yang lain.

3.       Sunat Makan Sebelum Sembahyang Aidilfitri.

Sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallahu ‘anhu, katanya :

كَانَ النّبِيُ لاَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتّى يَطْعَمَ، وَلا يَطْعَمُ يَوْمَ الأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي

(رواه الترمذي)

Maksudnya:
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam tidak keluar (mengerjakan sembahyang Hari Raya) pada Aidilfitri sehinggalah Baginda makan dan tidak makan pada Aidiladha sehinggalah Baginda sembahyang (Aidiladha).

(Hadith Riwayat at-Tarmizi)

Pada Aidilfitri itu sunat makan beberapa biji tamar (dengan bilangan yang ganjil) sebelum mengerjakan sembahyang Hari Raya sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Anas  bin Malik Radhiallahu ‘anhu katanya:


كَانَ رَسُولُ الله لاَ يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ وَقَالَ مُرَجَّأُ بْنُ رَجَاءٍ حَدَّثَنِي عُبَيْدُ الله
  قَالَ : َحدَّثَنِي أَنَسٌ عَنْ النَّبِي وَيَاْكُلُهُنَّ وِتْرَا
(رواه البخاري)

Maksudnya:
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam tidak keluar di awal pagi Aidilfitri sehinggalah Baginda makan beberapa biji tamar. Berkata Murajja’ bin Raja’: “Telah menceritakan kepadaku daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam: “ Dan Baginda memakannya (tamar) dengan bilangan yang ganjil.”

(Hadits riwayat al-Bukhari)

4.       Mandi Sebelum Sembahyang Hari Raya.

Sunat mandi sebelum mengerjakan sembahyang Hari Raya sebagaimana disunatkan mandi sebelum sembahyang Jumaat.

Demikian juga sunat berharum-haruman, mencabut atau mencukur bulu seperti bulu ketiak, menggunting misai dan janggut, memotong kuku dan menghilangkan bau-bauan pada badan dan pakaian.

Sementara waktu mandi pula, menurut pendapat yang ashah dan disepakati oleh ulama-ulama asy-Syafi’iyyah harus mandi selepas fajar atau sebelumnya.

5.       Memakai Pakaian yang cantik.

Sunat memakai pakaian yang terbaik dan afdhal memakai pakaian berwarna putih.

6.       Pada hari raya ini, sangat digalakkan apabila orang-orang Islam berjumpa antara satu sama lain mengucapkan ‘tahniah Hari Raya’ sebagaimana yang diakui oleh Ibnu Hajar Rahimahullah. Ucapan tahniah itu seperti:

تَقَبَّلَ اللهُ مِنّا وَمِنْكَ
Maksudnya :

“Semoga Allah menerima daripada kita (amal ibadat) dan menerimanya daripada awak.”

Sunat dibalas ucapan tahniah ini seperti:

تَقَبَّلَ اللهُ َمِنْكُمْ أَحْيَاكُمُ اللهُ لِأَمْثَالِهِ كُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْر

Maksudnya:
“Semoga Allah menerima daripada kamum, semoga Allah memelihara kamu kerana mentaatiNya, setiap tahun kamu dalam keadaan baik.”



Sumber rujukan : Irsyad Hukum 2004 dan buku Bulan Ramadhan dan Keistimewaan.




No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan