Dugaan datang dalam pelbagai cara, tidak kira tempat dan masa. Ini termasuklah di tempat kita bekerja yang sering menyebabkan kita berhadapan dengan situasi yang boleh memberikan impak negatif kepada fizikal, emosi dan mental seandainya tidak ditadbir dan dikawal dengan cara yang tepat. Jika kita bijak mengawalnya, maka akan lebih meningkatkan tahap produktiviti kerja dan motivasi, tetapi jika tidak sebaliknya akan memberi impak negatif bukan sahaja kepada institusi tempat kita bekerja malahan juga kepada diri sendiri dan keluarga.
Tekanan di tempat kerja berpunca daripada pelbagai faktor:
·
Persekitaran pekerjaan
memberi desakan dan tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu
secara mental dan fizikal.
·
Tugas yang terlalu banyak
·
Hubungan dengan rakan
sekerja yang tidak baik
·
Ketua yang tidak sudi
mendengar masalah dan
·
Suasana kerja yang tidak
selesa adalah contoh persekitaran kerja yang memberi tekanan negatif.
Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak
dapat mengawal tekanan dalam menjalankan tugasnya. Antaranya ialah:
·
Menjadikan diri panas
baran, murung, gelisah, lesu, sentiasa rasa bersalah, ketakutan dan hilang
tumpuan sehingga ada yang memilih jalan singkat dalam mengatasi tekanan ini.
·
Ini setentunya akan menimbulkan
pula masalah disiplin di tempat kerja sekaligus akan melepaskan tekanan
di rumah dengan mendera keluarga dan yang mengerikan lagi ada pula yang sanggup
membunuh diri.
Sebagai seorang muslim, kita perlu sedar bahawa banyak
kaedah terbaik dalam menangani tekanan kerja iaitu dengan berpegang erat kepada
ajaran dan syari’at Islam. Islam menggalakkan seseorang yang menghadapi tekanan
dan kesusahan agar sentiasa bersabar, tenang, bersikap rasional dan yakin dengan
ketentuan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan memberikan panduan terbaik dalam
menanganinya sebagaimana firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 155 mafhumnya:
“Dan sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan
sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan harta benda dan jiwa dan
buah-buahan (kerana Kami hendak melihat sama ada kamu sabar atau tidak atas
ujian itu). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Kehidupan manusia akan selalu diuji Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja sebegini adalah
bertujuan untuk memantapkan keimanan, ketaqwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita
kepadaNya. Apabila kita yakin, dengan izin Allah, segala permasalahan yang
membelenggu diri akan terungkai dan kita akan Berjaya menghadapi tekanan dengan
tenang.
Banyak kaedah menghadapi tekanan kerja berlandaskan ajaran Islam
yang cukup berkesan untuk diamalkan. Antaranya ialah :
·
Dengan mendirikan
sembahyang fardhu lima waktu dan dilengkapkan dengan amalan sembahyang-sembahyang
sunat yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolongan Allah Subhanahu
wa Ta’ala dalam sebarang kesukaran termasuklah diberikan ketenangan dalam
menjalani kehidupan seharian.
· Amalan berzikir, beristighfar dan sebagainya merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah ar-Ra’d ayat 28, mafhumnya:
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati
mereka tenteram dengan zikrullah (mengingat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ).”
Ketahuilah dengan zikrullah itu hati menjadi tenteram.”
Selain berzikir, mengamalkan, mendengar, membaca dan menghayati al-Qur’an juga amat berkesan
dalam meredakan tekanan sepertimana dalam surah al-Israa’ ayat 82 mafhumnya:
“Dan Kami menurunkan daripada al-Qur’an suatu penawar (bagi
penyakit rohani dan jasmani) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan
al-Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim (orang-orang
kafir) selain kerugian.”
Membaca al-Qur’an sendiri memberikan ketenangan kepada
pembacanya malah kepada sesiapa yang mendengarkannya apatah lagi jika ayat-ayat
Akkah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Ini kerana
al-Qur’an merupakan sumber teragung dalam merungkai segala permasalahan.
Seringkali berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala
apa yang telah diusahakan dalam mengatasi tekanan diri kepada kententuanNya.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Ghafir ayat 60 mafhumnya:
“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kepadaKu nescaya Aku
memperkenankan doa kamu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri
daripada beribadat kepadaKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”
Akhir sekali, jika telah
bersungguh-sungguh cuba mengatasi tekanan kerja, mengikut saluran dan
kaedah yang tepat, perlulah kita bertawakkal dan ikhlas menerima segala ketentuanNya.
Semoga segala apa yang diusahakan dalam melakukan pekerjaan seharian akan
diberkati oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan