Asy-syarh bermaksud berlapang dada. Surah ini dinamakan asy-Syarh kerana pada permulaan surah ini menjelaskan salah satu daripada ni'mat yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad Shallallahu 'alaih wa sallam iaitu melapangkan dada baginda dan memeliharanya daripada dosa dan ma'siat serta diterangi dengan hidayat, iman dan hikmah. Nama lain bagi surah ini ialah surah al Insyirah dan surah Alam Nasyrah.
Kandungan Surah Secara Umum:
1) Melapangkan dada baginda dengan hikmah dan iman.
2) Memeliharanya daripada dosa dan ma’siat.
3) Mengangkat kedudukan dan status baginda di dunia dan di akhirat.
Penjelasan ini bertujuan untuk menenangkan hati Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang sering menerima ancaman daripada kaumnya dan seterusnya memberi semangat kepada baginda untuk meneruskan usaha menyebarkan da’wah Islam. Allah menjanjikan bahawa setiap kesusahan dan kepayahan yang baginda hadapi pasti ada kemudahan dan segala kepayahan dan kesusahan itu akan berubah menjadi senang. Justera Allah memerintahkan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam supaya terus-menerus beribadat, berdoa dan berserah diri kepada Allah kerana kepadaNyalah sahaja seseorang itu patut berharap dan berserah diri.
Surah ini mengandungi pengajaran supaya manusia terus membuat amal salih walaupun menghadapi rintangan dan cabaran. Manusia juga mestilah mengharapkan redha Allah dan memohon segala hajat hanya kepadaNya.
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan