Thursday, December 17, 2015

BERSELAWAT KEPADA NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM SUATU RANGKAIAN IMAN DAN ISLAM.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al Ahzab ayat 56 tafsirnya:
' Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi penghormatan  dan kebaikan)kepada Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam, wahai orang-orang yang beriman,berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.' 

Selawat adalah perkataan Arab yang berasal daripada kata kerja ' Shalla' yang bermaksud telah bersembahyang. Ia mengandungi persamaan dengan sembahyang dari sudut perbuatan memuji-muji di mana di dalam sembahyang kita memuji-muji Allah, sedangkan dalam selawat kita memuji-muji Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam. Manakala dari segi bahasa pula, selawat bererti do'a serta permohonan rahmat daripada Allah Subhanahu Wataala.

Keutamaan amalan berselawat kepada Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam serta kelebihannya banyak disebutkan menerusi hadits Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam. Antaranya:

Sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: ' Sesiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali.' hadits riwayat Muslim.

Dalam hadits lain ada juga menyebutkan mengenai amalan ini iaitu sabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud: 
' Sesungguhnya orang yang lebih utama denganku pada hari Kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.' Hadits riwayat at Tirmidzi dan Ibnu Hibban dalam shahihnya.

Menurut mazhab as Syafi'e , selawat adalah wajib dibaca ketika tahiyyat akhir dalam sembahyang sepertimana wajib dibaca ketika sembahyang jenazah dan dalam khutbah Jumaat.

Meskipun kita tidak diwajibkan untuk berselawat ketika di luar sembahyang, amalan berselawat sebenarnya amat digalakkan malah ada ulama seperti ath Thahawi mengatakan bahawa selawat wajib dibaca apabila kita mendengar orang menyebut Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam. Kepentingan berselawat dapat kita fahami menerusi hakikat bahawa do'a kita tidak akan diterima oleh Allah Subhanahu Wataala jika kita tidak sertai doa tersebut dengan berselawat, berdasarkan sepotong hadits Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:
' Semua do'a akan terhalang sehingga diucapkan terlebih dahulu selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad.' Hadits riwayat at Thabarani. 

Terdapat beberapa waktu-waktu di mana kita dituntut supaya berselawat. Antaranya ialah:

1/ Sesudah azan. Sabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud: 
' Jika kamu mendengar tukang azan (melaungkan azan) bacalah seperti yang dibaca olehnya, kemudian ( sesudah selesai azan dilaungkan) berselawatlah kamu kepadaku.'

2/ Ketika hendak masuk dan keluar dari masjid. 

3/ Sesudah membaca tasyahhud di dalam tasyahhud akhir.

4/ Di antara takbir-takbir sembahyang Hari Raya.
5/ Pada permulaan do'a dan pada akhirnya.
6/ Ketika hendak mulai sesuatu urusan penting dan berharga.
7/ Pada akhir qunut.
8/ Pada malam hari Juma'at dan siangnya.
9/ Ketika berziarah ke makam Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam.
10/ Semasa bertalbiah.
11/ Ketika telinga berdengung.
12/ Pada tiap-tiap mengadakan majlis.
13/ Ketika ditimpa kesusahan dan keresahan.
14/ Pada setiap pagi dan petang.

Sabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:
' Barang siapa berselawat kepadaku waktu pagi sepuluh kali dan waktu petang sepuluh kali, maka dia akan mendapat syafaatku pada hari Kiamat.' Hadits riwayat at Thabarani.         


Petikan dari buku Irsyad Hukum, terbitan Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, tahun 2003, di bawah tajuk: ZIKIR SELAWAT DAN DO'A : PERSOALAN SELAWAT KEPADA NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ALAIHI WASALLAM.'

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan