Monday, December 18, 2017

HANYA KERANA MATA

Menjaga pandangan mata daripada melihat dari hal-hal yang diharamkan oleh Allah sebenarnya merupakan akhlak yang mulia dan  bukti lambang jiwa ketaqwaan di dalam jiwa seseorang hamba. 

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah an Nur ayat 30 tafsirnya:  ’ Katakanlah ( wahai Muhammad )kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka ( daripada memandang yang haram ) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka ; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.’

Malah Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam pernah menjamin syurga bagi sesiapa yang menjaga pandangan. 

Dari Umamah Radhiallahu Anhu, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda: ’ Berilah jaminan padaku enam perkara, maka aku jamin bagi kalian syurga: Jika salah seorang daripada kalian berkata janganlah berdusta, jika diberi amanah janganlah berkhianat, jika berjanji janganlah mungkiri, tundukkanlah pandangan kalian,cegahlah tangan-tangan kalian (daripada menyakiti orang lain) dan jagalah kemaluan kalian.’ Hadith riwayat at Thabrani.

Hakikat perintah menjaga pandangan daripada hal-hal yang dilarang memang perkara yang amat sulit dan sukar ditinggalkan. Bahkan di kalangan ahli ibadah sendiri pun masih bermujahadah untuk meninggalkannya walaupun tanpa gangguan alam siber maupun media massa dan cetak.

Bagi orang fasiq, mencuci mata adalah perkara biasa namun tidak bagi orang yang beriman. Ia ibarat cabaran di dalam melaksanakan perintah Allah Azza Wa Jalla dan dugaan dalam mempertahankan aqidah, prinsip dan jati diri. 

Bersabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam di dalam sebuah hadith Qudsi : 
’ Pandangan itu adalah panah beracun di antara panah Iblis. Sesiapa yang meninggalkannya kerana takut kepadaKu, maka Akan Aku gantikan dengan keimanan, yang ia dapatkan manisnya di dalam hatinya.’ Hadith riwayat at Thabrani dan al Hakim.

1 comment:

  1. I could not understand the language.
    Also, Please check out my game Traffic Racer .
    Thanks

    ReplyDelete

Silakan untuk sebarang pertanyaan